Hujan
Musim hujan nampaknya sudah bermula. Sejak Rabu, hujan turun berpanjangan dan sekali sekala agak lebat dengan angin yang kuat. Air melimpahi jalan di depan rumah kami, tetapi tidak lama. Bila hujan berhenti, air pun surut.
Langit gelap, hujan berlarutan. Tanda awal banjir akan berlaku.
Gempa Padang Jam 17:16
Ustaz Abdulrahman Lubis dari Indonesia mengaitkan ayat Al Quran (17:16) dalam bayan Maghribnya di Masjid Seri Petaling, malam Ahad lalu dengan gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 September 2009, jam 17:16. "Ini bukan satu kebetulan," katannya, "tetapi adalah ketentuan dan kekuasaan Allah."
Ayat Al Quran tersebut bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancunya.
(Al Isra', ayat 16 - Al Quran dan Terjemahannya, Pustaka Antara)
Satu lagi keajaiban Al Quran!
Musim Haji
Sejak minggu lepas, beberapa orang jiran dan saudara mara telah berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Hari ini tiga orang jiran kami telah pun berangkat. Mariani dengan pesawat awal pagi tadi, Pak Nik dan Mak Ngah pada tengah hari.
Memang perpisahan untuk pergi ke tanah suci berbeza dengan perpisahan lain - terasa sayu dan sebak. Mungkin kerana orang yang pergi haji sudah berumur, perpisahan terasa seperti tidak akan berjumpa lagi.
Esok, anak saudaraku dan suaminya pula akan berangkat.
Dan semua mereka telah pun mengadakan sembahyang hajat memohon keselamatan perjalanan pergi dan balik, dan keselamatan dan kesihatan sepanjang di Tanah Suci.
Dari RM100 ke RM20
Suatu ketika dulu saya terbaca sebuah buku berjudul amat sederhana:
ASK!Dengan menggunakan kuasa 'Asking', Barbara Rollin, penulis buku itu mendapat bayaran balik (refunds), diskaun, harga rendah dan kepuasan pengguna.
Melalui kisah dan anekdot, penulis telah menunjukkan "kuasa" itu kepada pembaca, so that you can begin getting more than you ever dreamed possible through these simple techniques.
Minggu lepas saya terima sepucuk surat sampul putih bertingkap dari Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) meminta saya menjelaskan kompaun RM100 dalam masa 14 hari kerana kesalahan letak kereta pada bulan November 2008. Saya tidak tahu kesalahan itu dilakukan oleh siapa. Tetapi yang pasti salah seorang anak saya yang menggunakan kereta saya.
Saya telah membebel anak saya. Tak pasal-pasal 100 ringgit.
Hari ini saya ke MPKB untuk menjelaskan bayaran itu. Saya sudah sedia untuk minta pengurangan. Kata Darma yang bersama saya, "ada juga orang yang mengoyak terus surat seperti itu. MPKB tak akan bawa kes itu ke mahkamah."
Tapi biarlah saya bayar, kata saya. Hanya saya ingin minta pengurangan atau diskaun. Saya ingin menguji kuasa "asking" yang saya baca itu -
if you don't ask, the answer is always no, tulis Barbara Rollin.
Jadi bila saya tunjuk surat itu kepada kerani di kaunter pembayaran, saya terus bertanya jika boleh dikurangkan kompaun itu. "Saya tak ada kuasa untuk mengurangkannya," jelas kerani itu. "Encik naik tingkat satu, encik boleh jumpa dan tanya pegawai di bahagian undang-undang. Guna lif boleh. Naik tangga pun boleh."
Mungkin saya guna tenaga dan masa sedikit.
But I had nothing to lose.Kami memilih untuk naik tangga saja. "Itu pun zon undang-undang," kata Darma setelah kami berada di tingkat satu. Kami masuk dan bertanya seseorang, siapakah yang patut kami temui. "O, bos tak ada. Dia ada miting," seorang kerani memberitahu setelah saya menjelaskan tujuan kedatangan kami. " Mungkin setengah jam lagi dia ada. Tapi kalau encik tak mau tunggu, saya boleh tolong jelaskan. Tinggal 20 ringgit pada saya. Saya akan jelaskan dan hantar resit pada encik."
Saya tidak bertanya, apakah RM20.00 itu bayaran yang patut saya jelaskan, atau duit pengurusan. "Encik jangan bimbang. Itu resit yang orang minta saya jelaskan, akan dihantar kepada orang berkenaan". Dia menunjukkan beberapa resit dan sampul surat di atas mejanya.
"Apakah kena bayar 20 ringgit saja?" tanya Darma ingin penegasan. " Ya," jawabnya.
Saya menyerahkan surat dan wang RM20.00. Sebelum keluar, saya sempat mengerling papan carta struktur organisasi pejabat di dinding tepi pintu masuk. Bosnya wanita. Masih muda.
Ketika kami hendak keluar, seorang wanita melangkah masuk. "Nasib baik encik. Bos dah datang," ujar kerani lelaki itu. "Encik tunggu sekejap." Kami pun duduk di atas kerusi yang disediakan. Menunggu. Saya ingat dia akan panggil saya masuk ke dalam. Saya membetul-betulkan kolar kemeja-t putih yang saya pakai. Tapi tidak. Dia tidak panggil saya.
Beberapa minit kemudian, kerani itu membawa keluar surat dan wang tadi, lalu diserahkannya kepada saya. Terdapat catatan kecil bertulisan biru dan bertanda tangan. "20 ringgit?" tanya saya. "Ya, encik boleh buat pembayaran di bawah."
Kami turun ke bawah dan membuat pembayaran.
Terima kasih MPKB. Memang kuasa "asking" telah terbukti.
Dampak Media Baru

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaysia Sarawak menulis dalam PEMIKIR terbaru (Bil 58, Oktober -Disember 2009) sebuah makalah menarik bertajuk "Dampak Media Baru Terhadap Sastera Nasional". Mengikut penulis, dampak alam maya penting dikaji untuk meninjau sejauh manakah kesusasteraan nasional dapat terbina dengan lebih kukuh hasil daripada dampak tersebut.
Di bahagian awal makalah, penulis cuba menyelusuri perkembangan internet dunia dan alam maya di Malaysia dan pertumbuhan kesusasteraan nasional secara ringkas. Mengikut penulis internet bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1969. Ia digunakan untuk maklumat perisikan atau pertahanan negara oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Dampak alam maya di Malaysia bermula pada tahun 1992 apabila MIMOS melancarkan JARING sebagai Penyedia Khidmat Internet.
Pengguna internet di Malaysia berjumlah 11,292 juta (2007) berbanding dengan penduduk 25 juta (2006). Ini bermakna sebahagian besar rakyat Malaysia adalah pengguna internet.
Dalam perkembangan sastera nasional, penulis mengupas manfaat dari penggunaan media baru ini kepada persatuan penulis dan penulis-penulis tanah air bagi menyebarluaskan maklumat dan karya. Kehadiran e-sastera dan blogger juga disambut baik oleh penulis. Kehadiran e-sastera menjanjikan impian untuk memperkasa kesusasteraan nasional. Kehadiran blog pengarang dan laman-laman sastera di alam maya dapat berperanan sebagai pengukuh kepada kesinambungan kesusasteraan nasional dan dapat dianggap sebagai satu bentuk wacana tandingan terhadap perkembangan kesusasteraan dunia.
Blog Nisah Haron dan Faisal Tehrani, disebut sebagai blog yang berjaya meraih pengunjung yang ramai. Jumlah pelawat yang dicatat blog Nisah Haron ialah 185,770. Pelbagai isu sastera, budaya dan agama dimuat dalam blog mereka, selain dari karya dan pemikiran mereka dalam isu-isu tersebut.
Antara aspek menarik dalam blog pengarang ialah bukan sahaja karya kreatif, malah terkandung catatan perjalanan, refleksi dan tanggapan mengenai kehidupan juga ditulid secara kreatif. Penulis telah menyenaraikan antara blogger yang menarik termasuklah: marslino blogspot.com, sahrunizam blogspot.com, shamsudinothman blogspot.com, hasyudaabadi blogdrive..com, zurinahhassan blogspot.com, jendeladankemeja blogspot.com, smzakir blogspot.com.....
Penulis merumuskan bahawa dalam konteks pembinaan kesusasteraan nasional di Malaysia, terdapat beberapa perubahan yang berlaku kesan daripada kehadiran dunia maya. Antaranya ialah kehadiran karya net, e-sastera, blogger, pencarian bahan di talian maya, kumpulan perbincangan secara maya, jualan buku secara maya dan sebagainya.
Terkandas di Jeddah
Pesawat Airbus A310 kepunyaan Biman, syarikat penerbangan Bangladesh yang saya tumpangi dari Dhaka selamat mendarat di KLIA tepat jam 01:30. Kami berenam baru saja berkunjung ke Tanah Suci mengerjakan umrah bulan Ramadhan.
Sebelum itu kami terbang dari Jeddah dengan syarikat penerbangan yang sama. Sudah dua malam kami terkandas di Jeddah. Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz pada petang Khamis. Penerbangan kami dijangka berlepas jam 05:00 pagi Jumaat.
Sebaik kaunter check-in dibuka kami terus menolak troli yang penuh barang-barang, beratur di salah satu kaunter yang ditetapkan untuk ke Dhaka. Kami yang nak ke Kuala Lumpur, diminta beratur di kaunter hujung sekali. Kami sungguh terkejut apabila diberitahu kami terpaksa membayar USD50.00 untuk membolehkan kami terbang. Teket kami rupanya belum diupgrade walaupun sudah reconfirm. Pakca memberitahu bahawa beliau telah menjelaskan bayarannya melalui wakil penerbangan di KL, tetapi mengikut pegawai bertugas tidak ada di dalam sistem komputer Biman Jeddah. Dia minta bukti pembayaran dari Pakca. Tapi Pakca tidak mempunyai resit dan tidak dapat membuktikannya.
Kami terpaksa mengumpulkan jumlah wang tersebut untuk enam orang. Dan pihak Biman hanya menghendaki USD saja. Kami terpaksa menukarkan wang ke dalam mata wang USD. Kemudian apabila wang diserahkan, mereka meminta nombor tiket pula. Pakca terpaksa menelepon ke KL untuk mendapatkan nombor itu. Apabila nombor diserahkan, pegawai itu mengatakan bahawa nombor itu bukan nombor tiket. Keadaan sungguh agak gawat. Menelepon KL lagi. Kredit hp dah hampir habis. Kami diminta menemui pengurus di pejabatnya.
Akhirnya masa check-in berakhir. Pegawai itu meninggalkan kaunter. Tunggu esok saja, katanya. Kami pun dengan lesu menolak 3 troli barang-barang keluar dan mencari tempat yang sesuai untuk menunggu satu hari dan satu malam lagi.
Peristiwa ini sungguh menguji kesabaran kami. Pakca sudah pun meninggikan suara dengan pegawai bertugas dan wakil penerbangan di KL. Dan kepada kami, berkali-kali meluahkan rasa kecewanya.
2/
Kami berusaha menemui pengurus Biman di Jeddah. Kali ini kami cuba menukar pendekatan yang lebih lembut, lebih diplomatik - memujuk dan merayu. Pegawai bertugas itu pun nampaknya bersimpati dan bersedia membantu kami. Sambil menghadapi komputer sambil bercerita. Kami pun bertanya sudah berapa lama bertugas di Jeddah dan jumlah keluarganya. Bagaimana dengan keadaan Jeddah dan wanita Arab.
Akhirnya kami berjaya mendapat tiket. Bahkan berjaya juga mendapat jaminan sarapan, makan tengah hari dan makan malam di kafetaria lapangan terbang, Le Cuisine.
Kami terpaksa lepak di lapangan terbang sehari lagi - tidur di atas kerusi, keluar mengambil angin atau masuk ke masjid membaca Al Quran. Di lapangan terbang ini, nampaknya tidak ada kedai buku seperti di lapangan terbang negeri lain. Saya juga tidak nampak orang membaca. Apakah orang Arab tidak suka membaca?
Sesekali saya membuka juga buku yang saya bawa dari rumah.
3/
Saya juga suka membaca tayangan komputer tentang jadual ketibaan dan pelepasan beberapa syarikat penerbangan di lapangan terbang ini. Penerbangan kami BG038 ke Dhaka mula keluar menjelang tengah malam: berlepas 06:30. Tentu sekali kami dapat menunaikan solat subuh di lapangan terbang bukan dalam pesawat.
Apabila kaunter check-in dibuka, kami diberi keistimewaan. Kami dipanggil awal. Borang transit juga diisi oleh pegawai bertugas. Barang-barang kami ditimbang dan tidak dikenakan sebarang bayaran, walaupun saya percaya beratnya berlebihan daripada yang dihadkan.
Kami mula masuk ke dewan pelepasan dan menunggu waktu subuh di surau.
Tetapi kami terkejut sebaik saja kami selesai solat Subuh, kami dipanggil segera kerana pesawat akan berlepas beberapa minit lagi. Rupanya kami berenam adalah penumpang yang terakhir sekali. Kami berlari menuju pintu. Pegawai-pegawai bertugas menyemak boarding pass kami. Ada yang sibuk menyemak di komputer. "Kamu tidak tahu, pesawat akan segera berlepas?" salah seorang bertanya dalam bahasa Inggeris. "Bukan 06:30?" tanya kami. "Bukan. Itu salah! Bukankah kami dah beritahu masanya 05:30? Cepat!" Kami segera menaiki bas shuttle yang sedang menunggu dan membawa kami ke pesawat.
Penumpang-penumpang lain ( kebanyakan Bangladesh) sudah pun berada di tempat duduk masing-masing. Kami adalah penumpang yang terakhir.
4/
Penerbangan dari Jeddah ke Chittagong mengambil masa kira-kira enam jam. Dan satu jam lagi ke Dhaka.
Kami sampai ke Dhaka hampir Maghrib. Kami tunaikan jamak Zohor dan Asr dahulu, sebelum menguruskan sambungan penerbangan kami ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, kami bernasib baik penerbangan malam itu masih lagi terdapat kekosongan. Jadi tidaklah lama kami menunggu.
Kami temui lagi beberapa orang jemaah dari Malaysia yang akan bersama kami ke Kuala Lumpur. Mereka tiba di Dhaka semalam. Dan mereka juga telah membayar untuk "transit visa" sebanyak USD20.00 seorang.
Penerbangan Dhaka-Kuala Lumpur mengambil masa tiga setengah jam. Sebaik saja pesawat berlepas, saya terus terlena dan terjaga apabila dikejutkan untuk makan malam.
Di Makkah, Hati Saya Masih Keras
Di Makkah, hati saya masih keras. Air mata saya enggan keluar. Baik ketika di depan Kaabah, baik ketika mengaminkan doa qunut yang dibacakan oleh Sudais pada malam khatam solat tarawih. Juga pada pagi raya ketika mendengar takbir bergema dilaungkan di Masjid al Haram.
Mengapakah hati saya tidak tersentuh? Apakah kerana iklim Makkah yang panas dikelilingi bukit-bukit batu yang keras, atau kerana suasana berebut dan bersesak-sesak dengan jemaah yang lain telah mempengaruhi hati saya?
Tetapi semalam ketika lepas solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim, hati saya begitu tersentuh. Tanpa disedari air mata saya menitis. Tulisan Rina yang mengiringi gambar keluarga yang biasanya kami ambil pada hari raya, berkali-kali muncul di kepala saya:
1st time beraya without papa.Tentu sekali mereka merasa kehilangan. Saya tidak ada bersama. Saya tidak bersama untuk menghadapi juadah hari raya, untuk bersalaman dan bermaafan. Juga untuk bergambar yang biasa kami lakukan setiap hari raya.
Saya di sini juga merasa kehilangan sebenarnya, walaupun di tengah keriuhan dan kesesakan di Masjid al Haram. Saya keseorangan di sini, jauh dari isteri dan anak-anak dan cucu-cucu yang nakal.
Memang ini adalah kali pertama saya tidak berhari raya bersama keluarga.