Arifin C Noer: Orkes Madun

ORKES MADUN ialah kumpulan lakon oleh Arifin C Noer. Saya beli buku ini di Fajar Ilmu Baru (dahulu: Pustaka Indonesia) di Wisma Yakin. Sdr Darma barangkali masih ingat, kami pernah menonton satu daripada lakon itu, iaitu OZONE Atawa ORKES MADUN IV di Kuala Trenganu pada tahun 1990.
Orkes Madun adalah sebuah lakon panjang yang merupakan nyanyian kemiskinan Abad XX. Tokoh-tokoh dalam lakon ini terdiri dari rombongan Para Nabi dan Para Badut yang dikepalai Semar. Kedua rombongan ini berkelana dari abad ke abad menghibur manusia dari lakon deritanya.
Dalam OZONE, Semar memainkan kembali tokoh Waska, sementara Petruk dan Gareng memerankan tokoh Ranggong dan Borok. Saat itu mereka sedang mengarungi galaksi demi galaksi untuk mencari mati setelah kehilangan tujuan dalam hidup mereka. Sehingga kemudian mereka menyedari bahawa kematian juga adalah unsur yang mereka inginkan. Tapi persoalannya, mereka terlanjur minum ubat penangkal ajal dan mereka tidak mati-mati.
Pada akhir cerita sepasang petapa tua, Wiku dan Nini menyedarkan mereka akan kesalahan-kesalahan dasar mereka sekaligus menghibur mereka bahawa umur yang panjang adalah ungkapan Cinta Tuhan. Dan hidup bererti memikul tugas budaya, kata petapa tua itu. Dan tugas budaya yang mendesak sekarang adalah menutup lubang-lubang Ozon demi kelansungan hidup itu sendiri.
"Lihatlah," katanya lagi "betapa kotor angkasa dan samudera kita." "Kita harus membersihkan Langit. Kita harus membersihkan Bumi. Artinya kita harus membersihkan Diri."
Arifin C Noer, selain aktivis teater (melalui Teater Kecil), adalah seorang penulis skenario dan sutradara filem dan tv yang disegani. Di antara skrip lakon yang pernah ditulis untuk dipentaskan ialah "Sumur Tanpa Dasar", "Mega-Mega" dan yang paling banyak dipentaskan ialah "Kapai-Kapai". Kapai-Kapai pernah menjadi teks kajian kami sewaktu di Universiti Malaya pada awal 1970an dulu. Barangkali Ainon Mohd juga masih ingat teks itu, tentang watak Abu yang hanyut dengan dongeng emak dan Cermin Tipu Dayanya.
Arifin lahir di Cirebon pada 10 Mac 1941 dan meninggal pada 28 Mei 1995.
Donald Hall named new poet laureate

Donald Hall telah dilantik menjadi poet laureate Amerika yang baru menggantikan Ted Kooser. Beliau yang dilahirkan di Connecticut pada tahun 1928 akan memulakan tugasnya pada musim luruh akan datang. Poet laureate akan menerima $35,000 dan juga elaun kembara.
Dalam masa enam dekad kerjaya penulisannya, Hall telah menerbitkan 15 buku puisi, dan paling akhir "White Apples and the Taste of Stone: Selected Poems 1946-2006". Di dalamnya termasuk dua buah sajak yang oleh Ted Kooser dikatakan "two of my favorite poems" ~ "Names of Horses" dan "Maple Syrup."
Di antara penyair Amerika yang pernah menjadi poet laureate ialah Stanley Kunitz (baru meninggal), Mark Strand, Joseph Brodsky, Rita Dove, Robert Hass dan Billy Collins.
Na'udzubillah
Suatu hari Timurleng (Tamerlane), seorang raja Mongol (1336-1405) bertanya kepada seorang menterinya:
"Kamu tentu tahu setiap khalifah Bani Abbas mempunyai gelarannya masing-masing. Ada yang bergelar Al-Muwafiq Billah, dan ada Al-Mutawakkil Billah. Ada pula bergelar Al- Mu'tasyim Billah dan sebagainya. Kalau sekiranya aku termasuk seorang di antara mereka, apakah gelaran yang patut kau pilih untukku?"
"Orang besar seperti tuanku, patut diberi gelar "Na'udzu Billah..." jawab menterinya spontan.
Cerita Dari India (2)
Seorang ibu tua dari Mewat, sebuah kampung miskin di selatan Delhi, membawa seekor ayam untuk disedekahkan kepada satu jemaah dakwah yang tiba di kampung itu. Amir(ketua) jemaah, dengan lembut menolak pemberian itu, kerana katanya mereka sudah pun mempunyai bekalan.
Ibu tua mendesak supaya menerima pemberian itu. Katanya, "Berilah peluang makcik mendapat pahala dengan sedekah ini."
- Maaf makcik, bekalan kami sudah cukup. Kami datang semata-mata kerana Allah. Kami tidak mengharapkan bantuan makanan orang sini.
- Makcik juga sedekah kerana Allah. Tolonglah terima sedekah ini. Inilah peluang makcik mendapatkan pahala.
Akhirnya amir jemaah mengalah. "Beginilah makcik, hari ini kami sudah ada makanan. Esok sajalah makcik bawa ayam ini."
"Apakah kamu pasti makcik masih boleh hidup esok?" jawab perempuan itu.
Cerita Dari India
Pada hari itu kami sampai di markas agak lewat. Ini kerana masalah kenderaan. "Lewat biasa saja di India," kata Firdaus. "Bukan saja time Melayu, time India pun begitu," sambungnya.
Firdaus menceritakan bagaimana seseorang yang ingin menaiki kereta api, menunggu di sebuah stesen. Apabila sebuah kereta api sampai, dia melihat jam di tangannya dan berkata kepada kawannya, "Eh cepat hari ini."
"Itu kereta api semalam," balas kawannya.
Adab Berdakwah
Antara adab berdakwah adalah bercakap dengan lemah-lembut. Apabila seorang pendakwah telah terkasar bahasa ketika menasihati Khalifah Ma'mun al-Rashid, baginda telah berkata, "Berlemah-lembutlah terhadap saya kerana apabila Allah menghantar orang yang lebih baik daripada kamu, iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun kepada orang yang lebih buruk daripada saya, iaitu Firaun, maka Allah telah berfirman:
"Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut supaya dia sedar atau berasa takut." (Maksud Surah Taha, ayat 44.)
(Saya suka dengan kata-kata yang diucapkan Khalifah Ma'mun itu - membayangkan baginda seorang yang arif dan bijak, bercakap berdasarkan al Quran.)
Delhi 2

Delhi 2
Kususuri lorong-lorong sempit berdebu
di Delhi tua ini
kupelajari susah payah kehidupan
kulihat manusia tak bertanah, tak berumah
peminta sedekah yang sentiasa menadah tangan
di pintu masjid, di simpang-simpang jalan.
Kususuri sejarah silam
dari menara dan istana lama
keagungan dan kehebatan Kesultanan Delhi
kini terhakis oleh arus zaman.
Dari lorong ke lorong kusaksikan
warna-warni budaya
penunggang basikal unta
kesibukan pejalan kaki
loceng-loceng dan horn ricksaw meminta jalan
suara tawar menawar antara penjaja dan pembeli.
Kusaksikan juga manusia
nyenyak dengan mimpi indah
di kaki lima itu
sementara seekor lembu tua
dengan tenang mengunyah rezekinya.
Wan A. Rafar
Delhi, Disember 2004.
(Dewan Sastera, Jun 2006)