Monday, July 31, 2006

Judul

Pernahkah anda dengar judul-judul novel ini?

"Gerhana" oleh A. Samad Said, "Tumbangnya Pokok Tak Berlangit" oleh Arena Wati?

Sebenarnya judul di atas adalah judul asal novel "Salina" dan "Lingkaran". Kedua novel ini pernah menyertai Peraduan Novel DBP 1958 dan Peraduan Novel DBP 1962. Mengikut A. Samad Said, pertukaran itu dilakukan setelah "di-fikirkan sa-mula nama yang simbolik itu saya tukar kapada nama yang lebeh tepat. Salina ia-lah nama pelakun utama yang menjadi himpunan segala peristiwa dan terajedi yang di-olah menjadi satu kehidupan dalam novel ini. SALINA-lah saya jadikan nama-nya." (Petikan dari "Sa-Patah Kata" novel Salina, DBP, Cetakan kedua 1965, tanpa mengubah ejaannya.)

Arena Wati tidak memberi sebarang sebab tentang pertukaran itu.

F. Scott Fitzgerald lebih suka memilih tajuk Trimalchio in West Egg untuk novelnya yang akhirnya terkenal sebagai The Great Gatsby? Editornya di Scribner menolak tajuk pilihan Fitzgerald itu dan meminta tajuk lain. Di antaranya beliau memberi Gold-batted Gatsby dan The High-bouncing Lover. Fitzgerald tidak pernah menyenangi mana-mana tajuk untuk novelnya ini, bahkan selepas The Great Gatsby diterbitkan.

Seseorang pengarang mempunyai caranya tersendiri memberi judul kepada karyanya. Judul mempunyai pengaruh dan daya penarik kepada sesebuah karya. Sebab itu tidak hairan seseorang pengarang akan menukarkan tajuknya beberapa kali sebelum diterbitkan.

Mengikut Hemingway, pengarang "The Old Man And The Sea", beliau menyediakan satu senarai judul selepas menyiapkan satu-satu cerita atau buku. Kadang-kadang sampai seratus judul. "Then I start eliminating them, sometimes all of them," katanya.

Untuk buku "A Moveable Feast" (1964), sebuah memoir kehidupannya sebagai penulis di Paris pada tahun 1920an, sampai meninggal dia tidak dapat memberikan judulnya. Untuk beberapa lama, dia telah menimbangkan beberapa judul seperti The Eye and the Ear, To Write It Truly, Love Is Hunger, It is Different in the Ring and The Parts Nobody Knows. Buku ini diterbitkan setelah dia meninggal (posthumously), dengan judul A Moveable Feast yang diberikan oleh balunya, Mary setelah dia mendapat ilham dari sepucuk surat Hemingway yang ditulis kepada seorang kawan pada tahun 1950: "If you are lucky enough to have lived in Paris as a young man, then wherever you go for the rest of your life, it stays with you, for Paris is a moveable feast."

Begitulah pentingnya judul bagi seorang penulis.

Di antara novel-novel Inggeris, ada judul yang diambil dari Shakepeare, seperti: Brave New World, Remembrance of Things Past, The Sound and the Fury, Cakes and Ale dan The Dogs of War. Ada juga diambil dariapda alam: The Sun Also Rises dan The Good Earth.

Bagaimana dengan judul-judul novel kita? Hari Mana Bulan Mana, Bulan Tak Bermadu di Fatehfur Sikri, Merinci Ufuk?

Sunday, July 30, 2006

Dari Subuh di Parit Buntar

Dari Subuh di Parit Buntar ke Maghrib di Pasir Mas. Itulah perjalanan saya hari ini. Saya telah memulai hidup saya hari ini dengan solat Subuh di Masjid Parit Buntar. Jemaahnya tidak ramai, hanya satu saf saja. Masjid ini terletak di tepi jalan besar, mudah kelihatan. Dewan solat di tingkat atas. Tingkat bawah kosong saja. Mungkin penuh pada hari Jumaat. Saya pernah singgah sembahyang di sini dahulu bersama Cikgu Amin, dalam perjalanan balik dari taklimat di Taiping.

Saya telah sampai di Parit Buntar petang semalam untuk menziarahi anak perempuan saya yang baru sebulan menuntut di USM. Tentulah dalam pertemuan itu, kami bertanya bagaimana kuliahnya, keadaan asrama, makan minum dan kawan-kawannya. Dia nampaknya sudah agak gembira dan mulai berminat dengan kursus yang ditawarkan kepadanya. Sebelum ini dia selalu memberitahu Mama melalui telefon, kursus ini susah, memeningkan kepala; lagi pun dia tidak mengambil fizik waktu matrikulasi. Dia juga selalu memberitahu untuk tukar kursus. Dia lebih berminat bidang perubatan atau farmasi. Tetapi Mama selalu menasihatinya supaya bersabar dan memberi perhatian kepada kuliah. Mungkin kursus ini memberi kebaikan kepadanya.

Betul, aku teringat sepotong ayat Al Quran. Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu; dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah, 216).

Malam tadi kami mengajaknya makan bersama. Seorang guru yang pernah berkhidmat dengan saya di SMK Tun Saban dulu, Yeoh Hee Hee yang kini tinggal di Nibong Tebal membelanja kami makan di sebuah kedai makan yang terkenal di Parit Buntar. Kenyang sungguh, tak larat rasanya nak habiskan. Ikan siakap masam manis, tomyam, ayam goreng halia dan kangkung goreng. Terima kasih Yeoh. Selepas makan Yeoh membawa kami berpusing-pusing di sekitar Nibong Tebal, sebelum menghantar Syamimi di asramanya.

Pagi ini kami sekali lagi ke kampus, bersarapan. Selepas itu kami berkeliling melihat sekitar kampus: dewan kuliah, masjid dan perpustakaan. Kampusnya luas - bekas ladang kelapa sawit. Dan beberapa tempat yang belum dibangunkan, banjaran kelapa sawit masih dikekalkan. Satu keunikan kampus ini, sistem salirannya dibina begitu rupa tanpa parit atau longkang.

Sebelum kami balik kami membawa Syamimi untuk membeli barang-barang makanan di sebuah supermarket di Parit Buntar. Kami kemudian pergi ke Bagai Serai, yang tidak jauh dari PB dengan tujuan mencari anak saudara Mama, yang tidak dijumpainya hampir 20 tahun, yang tinggal dengan bapanya setelah kematian ibunya.Tetapi tidak jumpa. Mungkin kami tidak mempunyai cukup keterangan.

Setelah itu kami menghantar Syamimi balik ke kampus. Kami bertolak balik kira-kira pukul dua belas tengah hari melalui jalan Nibong Tebal-Junjung-Kulim.

Jiwa Rasa menghubungi saya melalui sms dan memberi nombor telefonnya. Ketika itu saya sudah meghampiri Kulim dan kami tidak dapat bertemu. Kami meneruskan perjalanan dan berhenti makan dan solat di Baling sebelum meneruskan lagi perjalanan ke PM.

Kami sampai di rumah hampir Maghrib. Catatan di speedometer kereta menunjukkan perjalanan kami pergi balik lebih daripada 800 km.

Friday, July 28, 2006

Mendapat Balik Barang Yang Hilang.

Apakah perasaan anda, bila barang yang hilang didapati semula?
Tentulah gembira. Begitulah apabila saya menerima semula dompet yang hilang tiga bulan lalu di Kuala Lumpur. Pagi semalam saya telah menerima surat berdaftar daripada seseorang yang tidak saya kenali. Namanya: Hj Mohd Jahaber Sathik b Hj Md Kassim dari Sungei Besi. Saya teragak-agak untuk membukanya. Puas saya memikirkan siapakah orang ini. "Apakah isi kandungan surat ini?" tanya saya sendirian.

Akhirnya saya membuka surat itu. Saya terkejut. Di dalamnya mengandungi sepucuk surat, sekeping kiriman wang dan beberapa keping kad ATM, Kad Pengenalan dan lain-lain yang ditampalkan pada sekeping kertas putih A4. Memang, barang-barang itu adalah kepunyaan saya.

Betul agak saya, dompet saya tercicir di dalam teksi yang saya tumpangi. Mengikut Hj Jahaber, pemandu teksi itu, En Letchumanan telah menemui dompet itu dalam teksinya. Dompet itu telah diserahkan kepada Hj Jahaber untuk diserahkan kepada pemiliknya. Mengikut Hj Jahaber, beliau cuba menghubungi En Usman Ibrahim di Benta, kerana dalam dompet itu terdapat no telefon pada kad businness En Usman, tetapi tidak berjaya.

Lalu akhirnya beliau mengirimkan barang-barang itu ke alamat yang terdapat pada Kad Pengenalank saya.

Tetapi surat itu telah terlewat. Saya sudah pun mendapat gantian baru Kad Pengenalan, Lesen Memandu dan lain-lain kad.

Walau bagaimana pun saya bersyukur pada Allah. Masih ada lagi orang yang jujur dan berhati mulia di Malaysia. Saya telah mendapat balik barang-barang saya, (kecuali dompet).

Saya telah menghubungi Hj Jahaber untuk mengucapkan terima kasih kepadanya. Tetapi yang menjawab panggilan saya ialah isterinya. "Salam kepada Hj Jahaber. Saya akan hubungi semula,"kata saya kepadanya setelah memberitahu barang-barang kirimannya telah saya terima.

Tuesday, July 25, 2006

Think The Opposite


Buku WHATEVER YOU THINK, THINK THE OPPOSITE Oleh Paul Arden (Penguin Books, 2006) sangat menarik. Buku ini mengutarakan beberapa pemikiran (dan perbuatan) yang bertentangan dengan kebiasaan. Saya petik dua contoh yang diberikan:

1. Back to the future : bagaimana Dick Fosbury memulakan cara baru bagi lompat tinggi yang akhirnya dikenal sebagai Fosbury Flop. "He took off, but instead of turning his body towards the bar, he turned his back on it. He brought his legs up and flipped over the bar backwards," tulis Paul Arden. Akhirnya dia dapat mencatat rekod Olimpik di Mexico pada tahun 1968 dengan 7' 4.25". Sebelum itu para atlet menggunakan teknik Western Roll dengan catatan rekod 5' 8" saja.

2. Penerbit buku Penguin memulakan edisi paperback dengan harga sixpence. Sebelum itu idea ini dianggap "a bad idea". Penerbit tidak bersetuju untuk menjual buku-buku paperback ini. Penulis-penulis menganggap mereka akan kehilangan royalti. Itulah yang berlaku pada tahun 1934.

Tetapi tidak Allen Lane, pengasas Penguin. Dia berfikir sebaliknya.

The rest is history.

Sunday, July 23, 2006

Cerita Dari India (4)

Seorang lelaki berwasiat kepada ahli keluarganya, "Kalau aku mati nanti, kapankan aku dengan kain buruk dan kuburkan di kubur lama,"

"Mengapa?" tanya keluarganya.

"Supaya nanti Mungkar dan Nangkir tidak lagi bertanya, kerana mereka anggap aku sudah lama mati dan sudah diperiksa."

Friday, July 21, 2006

Ikrar Siswa Kejuruteraan USM


Syamimi menghantar sms menyatakan gambar beliau dan rakan-rakannya sedang membaca ikrar disiarkan oleh akhbar The Star semalam (Rabu, 19 Julai 2006). Oleh kerana aku tidak membeli akhbar itu semalam, aku terus ke kedai untuk mencarinya. Nasib baik masih ada lagi.
Betul, terdapat gambarnya (kanan sekali) di bawah berita bertajuk: USM freshies make a pledge.

Berita The Star itu menyebut seramai 749 pelajar baru memulakan pengajian mereka di kampus kejuteraan USM di Trans Krian, Nibong Tebal dengan ikrar untuk belajar bersungguh-sungguh "so that their parents can be proud of them."

Mereka melafazkan ikrar tersebut di dewan yang penuh sesak di hadapan Timbalan Naib Chanselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Madya Datuk Jamaludin Mohaiadin.

Prof Jamaludin, menasihati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, "to enjoy campus life and be active in extra-curricular activities."

He said USM has carved a name both locally and globally as a research-intensive university and advised the students to uphold the name of the university.

Di antara kursus kejuruteraan yang ditawarkan di kampus itu ialah aerospace, civil, material, mineral resources, polymer, electrical, electronic, mechatronic, mechanical, chemical and manufacturing.

Seramai 115 orang ditawarkan kejuruteraan awam, 106 kejuruteraan elektronik, 93 kejuruteraan kimia, 90 kejuruteraan bahan, 80 kejuruteraan mekanikal, 58 kejuruteraan angkasa, 53 kejuruteraan polymer, 40 kejuruteraan sumber mineral, 40 kejuruteraan manufacturing, 38 mekatronik dan 36 kejuruteraan elektrikal.

Syamimi ditawarkan kejuruteraan bahan.

Kami telah menghantarnya pada awal bulan yang lalu.

Thursday, July 20, 2006

Semulia-mulia Kitab


Kelas Pengajian Al Quran kami pagi ini sampai kepada Surah Yusuf. Kelas kami dipimpin oleh seorang ustaz, diadakan setiap pagi (kecuali Jumaat dan Sabtu) selepas solat Subuh hingga waktu Isyrak. Seperti biasa, ustaz akan membaca ayat demi ayat dan diikuti oleh kami. Selepas itu dibacakan terjemahannya dalam Bahasa Melayu dan sekali lagi terjemahan frasa demi frasa. Naskhah yang digunakan "Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al Qur'an" terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.

Dalam mentafsir ayat kedua yang bermaksud: Sesungguhnya kami menurunkan Kitab itu sebagai Qur'an yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya, kitab ini memetik Tafsir Al-Qaasimi, 9:3502:

Al Quran diturunkan oleh Allah Taala dalam bahasa Arab supaya dapat difahami makna dan rahsianya. Bahasa Arab jualah yang dapat menampung dan menghimpunkan makna-makna Al Quran yang luas itu; kerana bahasa Arab ialah sepetah-petah bahasa, sejelas-jelas dan seluas-luasnya berbanding dengan bahasa-bahasa lain.

Sebab itulah diturunkan semulia-mulia Kitab (Al Quran), dengan semulia-mulia bahasa (bahasa Arab), kepada semulia-mulia Rasul (Nabi Muhammad s.a.w.), dengan perantaraan semulia-mulia malaikat (jibril a.s.); dan kejadian ini berlaku pada semulia-mulia masa (Lailat u'l Qadar), dan di semulia-mulia negeri (Tanah Suci Makkah al Mukarramah); maka dengan yang demikian sempurnalah kemulian Al Quran dari segala-galanya.

Monday, July 17, 2006

Beberapa Fakta

Reading Stats In Malaysia:

  • A survey conducted in 1996 showed that Malaysians read an average of two books a year. The results of a survey of 60,441 Malaysians in 2005 show that things have not improved at all: 98% of 10+-year olds still only read two books a year.
  • Literacy rates by area: Peninsula (91.3%), Sabah (86.4%), Sarawak (83%).
  • Literacy rates by sex: male (92.2%), female (88%).
  • Preferred reading material: Newspapers (77.4%), Magazines (3%), Books (3%), Comics (1.6%).
  • Reasons given for not reading: Other interests (60.4%), No leisure time (15.2%), No interest in reading (13.5%).

(Source: Ministry of Arts, Culture and Heritage)

Piala Dunia 2006

Piala Dunia 2006 akan diingat kerana banyak perkara, antara lain kerana kejayaan pasukan Itali yang tidak diduga dan 117 gol yang dijaringkan dalam masa 31 hari itu. Juga kerana 27 pemain dibuang padang dan 336 kad kuning yang dilayangkan, paling banyak dalam sejarah Piala Dunia. Seramai 34 bilion manusia menonton 64 perlawanan di 12 stadium membabitkan 736 pemain di TV sepanjang temasya itu.

"Tetapi," tulis Johan Jaaffar dalam DI LUAR LINGKARAN (BM 16 Julai 2006), "orang akan lebih mengingat apa yang dilakukan Zidane dengan kepalanya. Jika benar Materazzi menghina agama dan keluarganya maka yang malang bukan Zidane tetapi semangat kesukanan dan kemanusiaan itu sendiri."

Thursday, July 13, 2006

Abu Bakar dan Umar Berlumba Dalam Menderma


Kisah kedermawanan dan pengorbanan para sahabat biasa kita dengar. Hazrat Umar menceritakan:
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kami untuk mengorbankan harta di jalan Allah. Kebetulan pada masa itu saya mempunyai sedikit harta. Saya telah berkata sendirian, "kebetulan pada ketika ini aku mempunyai harta. Sekiranya ada peluang untuk aku mengatasi Abu Bakar, maka inilah masanya."

Setelah berfikir demikian, dengan perasaan gembira saya pulang ke rumah dan telah membawa separuh daripada harta yang ada di rumah. Rasulullah s.a.w. bertanya, "Apakah yang telah kamu tinggal untuk keluarga kamu?"

Saya menjawab, "Ada sedikit."

Rasulullah bertanya lagi, "Berapa banyak yang kamu tinggalkan?"

Saya menyatakan, "Saya tinggalkan separuh."

Hazrat Abu Bakar As Siddiq telah membawa kesemua harta yang ada di dalam rumah beliau. Rasulullah bertanya, "Abu Bakar, apakah yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?"

Abu Bakar menjawab, "Saya tinggalkan Allah dan Rasul untuk mereka."

Hazrat Umar berkata, "Sekali-kali saya tidak akan dapat mengatasi Abu Bakar."

Peristiwa di atas berlaku semasa persiapan peperangan Tabuk, iaitu menghadapi tentera Rom yang sangat ramai yang sedang mara untuk menyerang Madinah. Pada masa itu Rasulullah s.a.w. telah mendorong para sahabat secara khusus untuk menderma. Para sahabat bukan saja memberi bantuan setakat yang mampu malah melebihi kemampuan mereka sendiri.

Tuesday, July 11, 2006

Warren Buffett Gives It Away


Nampaknya cerita tentang Warren Buffett menarik hati saya minggu ini. Kebetulan dua bulan lepas saya membeli sebuah buku mengenainya The Warren Buffett Way. Hartawan dan tokoh pelaburan yang terkenal ini menjadi perhatian dunia kerana sumbangan terbarunya bukan kepada pertubuhan biasa tetapi kepada Yayasan Gates - milik orang terkaya dunia, pengerusi Microsoft, Bill Gates dan isterinya Melinda. Sumbangan bukan sejuta dua tetapi kira-kira RM105 bilion ($37 billion) atau 85% daripadajumlah kekayaannya bernilai RM158 bilion.

Dia dikatakan seorang hartawan yang 'bakhil'. Dia pernah menghalau anak perempuannya yang mahu meminjam sedikit wang untuk membesarkan ruang dapur biar pun si bapa mempunyai harta berbilion ringgit sebagai orang kedua terkaya dunia.

Malah jika hartawan 'billionaire' lain mendiami istana besar, dia sebaliknya memilih untuk terus mendiami rumah lama berharga $31,500 (RM116,550) yang dibeli pada tahun 1958.

Buffett yang digelar Oracle of Omaha kerana kepakarannya dalam pelaburan sejak 40 tahun lalu, sememangnya sudah lama berhasrat mendermakan hartanya itu. Namun sebelum ini pengasas syarikat pelaburan Berkshire Hathaway itu mahu menyerahkan dana itu selepas kematiannya kepada badan amal milik isterinya sendiri, Susie. Tetapi semua berubah berikutan kematian isterinya dua tahun lalu.

"I know what I want to do," katanya memberitahu majalah Fortune, "and it makes senses to get going." Temuramah eksklusifnya dapat dibaca dalam Fortune 17 Julai 2006.

Sunday, July 09, 2006

Cerita Dari India (3)

Seorang lelaki berkata kepada kawannya, "Apabila awak bertemu dengan anjing pada malam hari, maka bacalah ayat berikut, yang maksudnya 'hai jamaah jin dan manusia, jika kamu sanggup merentasi penjuru langit dan bumi, maka rentasilah; kamu tidak dapat merentasinya kecuali dengan kekuatan.' (maksud Surah Ar Rahman, ayat 33.)

Kawannya kemudian menjawab, "Yang paling tepat menurutku adalah sebaiknya awak bawa kayu dan batu, kerana tidak semua anjing faham Al Quran!"

Saturday, July 08, 2006

Tentang Pramoedya


Bagi saya, menulis esei bukanlah mudah. Untuk menyiapkan esei di atas (Dewan Sastera, Julai 2006), saya telah membaca lebih daripada 100 halaman yang meliputi lebih 30 judul artikel, surat terbuka, wawancara dan ulasan buku. Selain itu saya juga telah pernah membaca karya-karya Pramoedya seperti Keluarga Gerilya, Bukan Pasar Malam, Perburuan, Mereka Yang Dilumpuhkan, tetralogi Pulau Buru, Gadis Pantai dan Nyanyi Sunyi Seorang Bisu.

Hari ini kita beruntung, Internet telah memberi kemudahan untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Di manakah kita boleh mendapat surat terbuka Pramoedya kepada Keith Foulcher yang ditulis pada tahun 1985, dengan cepat dan mudah kalau tidak melalui Internet?

Saya juga beruntung kerana mempunyai koleksi karya Pramoedya dan beberapa buah buku HB Jassin dan A. Teeuw yang membicarakan karyanya.