Wednesday, August 30, 2006

Banyak Buku Nak Baca, Sedikit Masa Yang Ada


Betul, banyak buku nak dibaca, tapi sedikit saja masa yang ada. Juga bagi pesara. Masa yang ada harus berbagi dengan urusan menghantar anak ke sekolah, menjaga cucu (bagi yang ada cucu), menemani isteri ke pasar atau ke klinik, membersihkan bilik atau kawasan rumah, masa ke masjid, menziarahi keluarga atau jiran yang sakit, berjogging dan menonton tv bersama keluarga.

Di antara buku yang ada di atas rak buku atau mejaku yang baru aku beli di Pesta Buku Kelantan minggu lepas, atau yang sudah beberapa bulan nak dibaca:
  • Sirah Nabi ( Sirah Nabawiah oleh Syaikh Shafiyyurahman Al-Mubarakfury, Cetakan kedua puluh, 2005 - buku ini pemenang juara dari pertandingan kajian sirah nabawiyah yang dianjurkan oleh Rabithah Al-Alam Al-Islamy dalam tahun 1396H; Fiqh Al-Sirah 1,2,3 oleh Muhammad Said Ramadan al-Buti - buku ini digunakan oleh Ustaz yang memberi kuliah mingguan di Masjid Kasa, Pasir Mas; Genius Muhammad bin Abdullah oleh Roziah Sidik, PTS 2004; Wasiat-Wasiat Akhir Hayat dari Rasulullah, Abu Bakar Dll oleh Zuhair Mahmud Al-Humawi, Gema Insani, Cetakan kedua 2006.
  • Penciptaan Alam Semesta oleh Harun Yahya, terjemahan Rohidzir Rais, Jahabersa 2006; Kaum-Kaum Yang Pupus oleh Harun Yahya, terjemahan Rozalli Hashim, Saba Islamic Media, cetakan 2005.
  • Buku-buku puisi, termasuklah Border of a Dream, selected poems of Antonio Machado, Copper Canyon, 2004; Beyond the Walls, selected poems Nazim Hikmet, Anvil Press, 2003; Collected Poems in English oleh Joseph Brodsky, FSG, 2002; Francis Ponge: Selected Poems, Wake Forest University Press, 4th printing 2003; World Beat, International Poetry Now from New Directions, New Directions, 2006;
  • Beberapa novel: The Harmony Silk Factory oleh Tash Aw, This Blinding Absence of Light oleh Tahar Ben Jelloun, Mengembara Mencari Tuhan oleh Syaikh Nadim Al-Jisr dan Sorga Bagi si Buta oleh Duong Thu Huong, sebuah novel Vietnam terjemahan oleh Sapardi Djoko Damono.
  • Beberapa buku Esei: Sastra Revolusioner oleh Sitor Situmorang dan Six Walks in the Fictional Woods oleh Umberto Eco.
  • Buku Isu Semasa: The World is Flat oleh Thomas L. Friedman.
  • Dan banyak lagi. Ini tidak termasuk majalah-majalah mingguan dan bulanan. Oh terlalu banyak yang nak dibaca...

Tuesday, August 29, 2006

Cuti Telah Berlalu

Musim Cuti Sekolah telah berlalu. Anak-anak telah kembali ke sekolah masing-masing. Ibu bapa juga mengambil kesempatan untuk bercuti di kampung. Tetty dan keluarganya kembali ke KL pagi semalam setelah empat hari di kampung. Kak Long dan keluarganya kembali dengan bas pada malam Jumaat lepas. Syamimi juga bercuti seminggu. Dia sampai pada pagi Sabtu. Rina akan kembali pada minggu depan.

Kali ini kami banyak makan di luar. Opah tidak larat untuk memasak dan mengemas. Pada tengah hari Sabtu kami hanya makan nasi air Mak Su Nab. Pada hari itu, kami menziarahi nenekanda Wani yang meninggal di KL dan disemadikan di Perkuburan Langgar, KB. Pada malamnya kami mencuba makanan di Restoran New Horizon, Wakaf Che Yeh.

Pada hari Sabtu kami ke RP. Memang RP menjadi destinasi wajib kalau balik ke Kelantan. Kami makan tengah hari di sebuah restoran yang baru dibuka, Restoran Malaysan-Thai yang menyediakan pelbagai masakan panas dari Thai.

Kini rumah kami kembali sunyi, terutama waktu pagi. Yang masih tinggal hanya Syamimi. Asraf dan Haikal ke sekolah. Dan aku akan kembali membaca. Banyak buku yang sedang menunggu, yang baru dibeli pada Pamerana Buku Kelantan di Balai Islam minggu lepas.

Monday, August 21, 2006

27 Rajab: Israk dan Mikraj


Ketika masih budak-budak, saya masih ingat malam Israk dan Mikraj adalah malam yang ditunggu-tunggu. Sebelum tiba malam itu, sudah diwar-warkan dari mulut ke mulut di seluruh kampung.

Apabila tiba masanya kami dari awal lagi telah bersiap untuk solat maghrib di surau. Selepas solat Maghrib, Tuan Guru akan membaca apa yang disebut Israk Mikraj. Kadang-kadang bersambung sampai 2-3 malam atau mungkin sampai seminggu. Kisah-kisah nabi diceritakan satu demi satu: Nabi Adam, Nabi Yusuf, Nabi Harun, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim. Kadang-kadang sampai larut malam, hingga setengah daripada kami tertidur sebelum sampai penghujung dan dikejutkan apabila hendak solat Isyak.

Tuan guru amat pandai bercerita. Kadang-kadang disentaknya kami dengan kail jenakanya, membuat kami terjaga dari lena.

Kami juga mendengar balasan bagi orang-orang yang membuat kebajikan dan ancaman bagi orang yang meninggalkan sembahyang atau mengumpat misalnya.

Dan yang menyeronokkan: ibu-ibu menyediakan kuih muih tradisional seperti "puteri mandi", "buah mulung", dan"lompat tikam" sebagai pembasah mulut sebelum kami bersurai pada malam itu.

Kemeriahan malam itu masih lagi tergambar, walaupun sudah lama terlipat dalam ingatan.

Israk dan Mikraj adalah peristiwa penting dalam takwim Islam. Pada malam itulah Allah memerintahkan "solat lima puluh waktu kepada umatku". Tetapi setelah bertemu Nabi Musa, Nabi Musa a.s. menyuruh kembali kepada Tuhan "sebab para pengikutmu tidak akan sanggup menjalankan perintah itu." Begitulah beberapa kali baginda turun naik menemui Allah meminta keringanan untuk umatnya, sehingga akhirnya Allah berfirman, " Ini (perintah) solat lima waktu dan solat lima waktu ini (nilainya) setara (dengan solat) lima puluh (waktu) sebab Kalam-Ku tidak akan berubah."

Itu pun Nabi Musa menyarankan lagi supaya Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah. Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, " Sekarang aku merasa malu untuk meminta (keringanan) kepada Tuhanku."

Betul, solat amat berat untuk dikerjakan walaupun lima waktu saja. Tetapi itulah perintah Allah.Dan Allah memang berkehendakkan kita sebagai hambanya, setiap masa mengingatinya. Tidak boleh berpaling kepada selain daripada-Nya.

Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Begitu tulis Amir Hamzah dalam sajaknya yang terkenal, PADAMU JUA.

Tuesday, August 15, 2006

Dakwah Kerja Allah

1
Kami sampai di Masjid Jame' Seri Petaling kira-kira pukul 5.00 pagi. Kebanyakan orang sudah bangun untuk tahajjud dan membuat persiapan solat Subuh. Khemah-khemah didirikan di sekeliling masjid untuk menampung 8,000 orang yang bakal menghadiri Jorh Malaysia yang diadakan dua tahun sekali itu. Peserta dari Pantai Timur ditempatkan di sayap kanan masjid. Kami mencari tempat untuk meletakkan beg dan bedding. Hampir tidak ada lagi tempat kosong.

Bilik air dan tandas juga penuh. Kami terpaksa berbaris untuk mendapat giliran. Kolah-kolah sementara disediakan untuk mengatasi tempat mengambil wudhu.

Apabila azan Subuh dilaungkan, kami terpaksa pula mencari tempat untuk solat. Hampir setengah jam masa diberikan untuk mencari tempat dan memenuhkan saf, termasuk di tingkat atas.

Perhimpunan tiga hari itu diisikan dengan bayan Subuh, bayan Maghrib, karguzari (laporan jemaah) dan pembentukan jemaah untuk dihantar ke negara-negara jauh dan negara jiran. Bayan disampaikan oleh beberapa orang maulana dari India yang sudah lama berpengalaman dalam kerja dakwah. Kebanyakan bayan adalah untuk memberi semangat dan targhib dan membetulkan tertib dan usul supaya kerja ini dapat dipertingkatkan.

Beberapa jemaah telah dibentuk. Dua jemaah empat bulan ke negara jauh (Brazil dan Greece), beberapa jemaah jalan kaki dan beberapa jemaah empat bulan ke negara jiran dan dalam negeri.

Perhimpunan berakhir selepas "bayan hidayah" dan "musafahah" kepada jemaah-jemaah yang akan keluar. Majlis ditangguhkan selepas solat Zuhr hari Ahad.

2
Kerja dakwah ialah kerja Allah. Allah sendiri menyeru manusia kembali ke syurga. Allah berfirman (maksud Surah Yunus, ayat 25): dan Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga). Kerja ini kemudian diberikan kepada nabi-nabi. Mereka diajar cara dan tarekat dakwah. Mereka diutus kepada kaum tertentu dan dalam masa tertentu saja. Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah nabi penutup. Selepas baginda tidak ada lagi nabi. Tetapi kerja kenabian masih terbuka. Inilah keistimewaan umat Nabi Muhammad. Mereka diberi tugas kenabian, tidak seperti umat terdahulu. Sebab itu umat baginda disebut "khaira ummatin" (umat yang terbaik) sebagaimana firman Allah dalam ayat 110 Surah Ali 'Imran.

Apakah tugas yang lebih baik, lebih mulia daripada tugas nabi? Firman Allah dalam surah Fussilat, ayat 33: Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?

Nabi Muhammad hanya sempat hidup 63 tahun dan terbatas di tanah Arab saja. Tetapi tugasnya hingga hari kiamat dan untuk seluruh alam. Siapakah yang patut meneruskan tugas ini?

Maksud usaha dakwah ialah untuk menghidupkan semula cara hidup nabi dan hukum-hukum Allah dalam setiap orang. Kejayaan sebenar manusia ialah apabila mereka dapat taat perintah Allah ikut cara nabi.

Tuesday, August 08, 2006

Sedikit Catatan Tentang Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006

Sampai balik ke rumah awal pagi ini. Selepas menghadiri Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional di PD, aku menumpang Amran Daud dari DBP ke Kajang. Dari Kajang terus ke KL dengan komuter. Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit. Darma dan Norhisham terus ke Seremban untuk menaiki kereta api malam ini.

Kami bertiga di antara peserta yang awal tiba di Hotel Le Paris @ Costa Rica. Pendaftaran akan bermula jam 12.00 tengah hari. Kami diberi bilik sementara untuk berehat oleh urusetia. Walaupun letih perjalanan dari 7.00 petang ke 6.30 pagi dengan Ekpres Wau dari Pasir Mas ke Seremban, tetapi keindahan pantai PD dari tingkat 10 menyegarkan kami.

Peserta makin ramai menjelang tengah hari. Kami hanya membayar RM30.00 untuk pendaftaran. Kami diberikan sebuah beg seminar yang mengandungi buku kertas kerja, pen dan buku nota. Aku ditempatkan di bilik 410 bersama Nazel Hashim Mohamed dari Perlis. Darma dan Norhisham mendapat bilik 507.

Petang tidak ada apa-apa, hanya sesi taklimat saja.

Acara perasmian pada malamnya tidaklah begitu menarik. MB yang dijangka merasmikan seminar tidak dapat hadir, begitu juga Presiden PENA dan Ketua Pengarah DBP. Persembahan kesenian juga kurang menarik. Sebab itu peserta-peserta tidak memberi tumpuan. Mereka menonton sambil makan dan bersembang dengan rakan-rakan yang lama tak jumpa.

Dua ucap utama yang disampaikan oleh Prof Dr Awang Sariyan dari UPM dan Prof Dr Mohd Yusof Othman dari UKM pada hari kedua agak menarik dan hangat. Kedua-dua pembicara jelas kecewa dengan dasar kerajaan yang beralih dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. "Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah," tegas Prof Awang. "Negeri-negeri maju seperti German, Perancis, China dan Korea tidak pernah mengubah dasar bahasa mereka, mereka tidak pernah beralih kepada bahasa Inggeris untuk bahasa sainsnya," tegasnya lagi. Beliau menghuraikan dengan panjang lebar hakikat bahasa dan persuratan sebagai akar peradaban dan peranan dan sumbangan bahasa dan persuratan Melayu sebagai akar peradaban.

"Sains tidak perlu bahasa Inggeris," kata Prof Mohd Yusof, "tetapi kefahaman terhadap sesuatu fenomena - itu yang perlu." Sains adalah analisis fenomena alam tabi'e. "Apakah perlu bahasa Inggeris untuk memahami bagaimana lembu bernafas atau bagaimana pokok membesar?" tanya Prof Mohd Yusof.

Kedua-dua pembicara banyak mengambil ayat-ayat Al Quran untuk menguatkan hujah mereka. Bahasa Melayu perlu diperkasakan, bahasa Melayu perlu diselamatkan.

"Kalau kita tidak menyelamatkan/ memperjuangkan BM, siapakah yang nak kita harapkan - orang Melayu Sri Langka?, orang Melayu Afrika Selatan atau orang Melayu Madagaskar?" tanya Prof Yusuf.

Dalam sesi yang lain Dr Abu Hassan Hasbullah dari UM berpendapat, " Sastera sebagai roh peradaban. Masyarakat akan rosak kalau tidak belajar sastera." Mengikutnya, "Di Austria, sastera dijadikan sebagai teras dalam pendidikan di samping sains." Beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa bersusah payah mengisi borang dalam bahasa mereka sewaktu pendaftaran universiti. "Saya tidak faham, katanya. Itu bukan urusan kami, jawab mereka," cerita Abu Hassan. Beliau juga menceritakan bagaimana isterinya yang memohon untuk membuat Ph.D dalam fizik (?), tapi ditanya soalan: bagaimana musik Johann Strauss dapat merawat pesakit. Dia tidak dapat menjawab, maka dia gagal, kata Abu Hassan.

"Bahasa tidak menentukan status ilmunya, tetapi isinya," kata Dr Lim Kim Hui dari UKM dalam sesi yang lain. "Freud tidak menulis dalam bahasa Inggeris. Derrida menulis dalam bahasa Perancis," katanya, "tetapi ilmu yang dikembangkan oleh mereka mempengaruhi dan membawa impak yang besar dalam perkembangan pemikiran dan peradaban dunia."

Dr Lim juga menyatakan kekeliruan orang-orang bukan Melayu tentang peralihan dari penggunaan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. "Orang-orang Melayu sendiri tidak yakin dengan keupayaan bahasa Melayu," katanya.

Begitulah di antara beberapa pendapat yang menarik perhatian saya.

Di KL, saya bermalam di rumah anak di Sentul. Pada siang Isnin, saya sempat merayau di Kinokuniya dan membeli empat buah buku: Six Walks in the Fictional Woods oleh Umberto Eco, This Blinding Absence of Light (Tahar Ben Jelloun), World Beat, International Poetry Now from New Directions (edited by Eliot Weinberger) dan Kalau Kita Menjadi Kayu (antologi cerpen, puisi, kajian dan rencana sastera yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005).