Thursday, September 28, 2006

Memberi dan Menerima

Suatu kali, si bakhil berjalan-jalan dengan teman-temannya, termasuk Maulana Nasarudin. Ketika melalui tepi sebuah kolam, kaki si bakhil tergelincir dan terjatuh ke dalamnya. Teman-temannya segera menolong. Seorang di antara mereka membongkok, sambil menghulurkan tangannya.

"Ayuh, berikan tanganmu, supaya dapat kutarik kamu ke atas," kata teman itu.
Tapi si bakhil diam saja, tidak mahu menghulurkan tangannya.

Seorang teman yang lain datang dan mengucapkan kata yang sama. Tapi si bakhil tetap juga tidak mahu memberikan tangannya untuk diangkat ke atas.

Akhirnya Nasarudin datang, lalu membongkok ke tepi kolam dan berkata, "Nah, terimalah tanganku ini Kawan supaya dapat aku menarikmu ke atas.

Kali ini barulah si bakhil bergerak dan menghulurkan tangannya. Setelah itu, ia pun di angkat ke atas.

"Ah, kamu seperti tidak faham sifat kawan kita ini," kata Nasarudin kepada kawan-kawannya. "Jika kamu berkata berikan kepadanya, tentu dia akan diam saja. Cuba kamu kata 'terimalah wahai kawanku' pasti ia akan menerimanya.

Catatan: Terdapat banyak ayat suci dan hadith nabi s.a.w. menyuruh kita membelanjakan harta di jalan Allah, satu daripadanya ayat berikut: Dan belanjakankanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan. (Maksud ayat 195, Al Baqarah).

Selamat berpuasa dan berbelanja (infaq).

Sunday, September 17, 2006

'How To Find Time To Read'

Tajuk di atas adalah tajuk tulisan Louis Shores. Saya temui tulisan ini dalam buku A Collection of Readings for Writers (Harper & Row, Sixth Ed. 1967). Louis Shores (1904- ), pernah menjadi dekan di Sekolah Perpustakaan di Florida State University. Beliau menulis bagaimana seorang ahli fizik terkenal, Sir William Osler yang sibuk dengan kerjayanya sebagai pengajar di Johns Hopkins Medical School dan pakar penyelidik perubatan, menyelesaikan masalahnya. Dia mewajibkan dirinya membaca 15 minit terakhir sebelum tidur. Jika dia menetapkan jam 11:00 malam untuk tidur, maka dia akan membaca antara jam 11:00 hingga 11:15. Jika dia terpaksa membuat kerja hingga 2:00 pagi, dia akan membaca dari 2:00 hingga 2:15. "Over a very long lifetime, Osler never broke the rule once he had established it," tulis Shore. Dan terbukti sesudah beberapa waktu, tidak mudah baginya untuk tidur sebelum menghabiskan 15 minit masa membaca.

Fikirkanlah berapa banyak buku yang dapat kita baca, jika kita dapat luangkan 15 minit sahaja sehari untuk membaca. Inilah jawapan bagi orang-orang yang sibuk yang selalu bertanya: Bagaimana saya harus mencari masa untuk membaca?

Jawabannya bukan hanya 15 minit terakhir sebelum tidur. Tetapi mungkin masa yang lain juga. Mungkin ketika menunggu makanan, menunggu bas, doktor, panggilan telefon, Atau menunggu untuk menemui seseorang.

Kita harus mencari masa kita sendiri. Mungkin tidak sama dengan orang lain. Elok kalau dapat istiqamah. Mahfum hadith Rasulullah (s.a.w.): Amalan yang baik adalah amalan yang istiqamah, walaupun sedikit.

Jika anda dapat lebih 15 minit, itu adalah bonus. Percayalah hasilnya mengejutkan. Mengikut Shores dalam tulisan itu: Jika anda seorang pembaca biasa, anda akan dapat membaca dengan kadar 300 perkataan seminit. Mungkin kurang dari itu jika anda tidak dapat membaca secara tetap setiap hari. Atau buku yang anda baca agak berat seperti buku-buku dalam bidang sains, pertanian, ekonomi atau bidang yang anda kurang minati. Tetapi buku-buku novel, biografi, hobi atau catatan perjalanan, tidak jadi masalah bagi anda untuk memahami dan menikmati dengan kadar 300 perkataan seminit.

Statistik tidak selalunya benar. Tetapi cuba perhatikan ini: Jika pembaca biasa dapat menghabiskan 300 perkataan seminit, dalam masa 15 minit, dia akan dapat membaca 4,500 perkataan; jika seminggu 31,500 perkataan (4,500 x 7), sebulan 126,000 (31,500 x 4) dan setahun 1,512,000 perkataan (126,000 x 12). Ini adalah jumlah perkataan dari bacaan biasa yang dihasilkan hanya jika membaca 15 minit saja sehari dalam setahun.

Setiap buku berbeza jumlah perkataannya, dari 60,000 hingga 100,000. Katakanlah sebuah buku biasa berjumlah 75,000 perkataan, berapa buah buku yang anda dapat baca dalam setahun?

Sunday, September 10, 2006

Diari/Journal


Di antara tulisan yang saya suka baca ialah tulisan berbentuk diari atau journal. Saya telah membaca diari A. Samad Said dan diari Zakaria Ali. Samad Said dan Zakaria Ali adalah di antara dua orang penulis Malaysia yang telah menerbitkan diari mereka dalam bentuk buku. Samad Said menerbitkan "Diari Kembara"nya yang mencatat pengalamannya di Sabah, England dan Peranchis sepanjang tahun 1989. Zakaria Ali pula mencatatkan kesan dan ingatannya sepanjang belajar di Mexico dalam tahun 1970an.

Sebelum itu, dalam tahun 1960an, saya telah membaca catatan oleh seorang penulis yang bernama Non. Catatan itu diberi nama "Catatan Sayup dari London" dan disiarkan dalam Berita Minggu. Sayangnya, catatan itu tidak dibukukan.

Saya juga telah membaca The Diary of A Young Girl oleh Anne Frank. Diari ini sangat terkenal dan menjadi satu dokumen penting Perang Dunia 2. Nuha Al-Radi, seorang pelukis, sculptor dan ceramist telah menerbitkan diarinya tentang Perang Iraq, Baghdad Diaries.

The Haldeman Diaries juga menarik. Diari ini ditulis oleh H.R. Haldeman, seorang pegawai penting Presiden Richard Nixon. Haldeman mencatatkan peristiwa yang berlaku di Rumah Putih ketika dilanda skandal Watergate.

Beberapa orang penulis besar dunia juga telah menerbitkan diari mereka. Diari Franz Kafka, yang berupa catatan di antara tahun 1910 hingga 1923 menceritakan kehidupannya di Prague, perasaan dan kegelisahannya sebagai seorang penulis, impian dan kehidupan peribadinya.

Fernando Pessoa, penyair besar Portugis menerbitkan diarinya "The Book of Disquiet", manakala penyair pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Czeslaw Milosz menerbitkan A Year of the Hunter. Allen Ginsberg menerbitkan Indian Journalnya tentang pengalamannya di India di antara Mac 1962 hingga Mei 1963.

Beberapa orang pengarang lain menulis novel mereka dalam bentuk diari. Di antaranya Sue Townsend (The Secret Diary of Adrian Mole), William Boyd (Any Human Heart) dan Helen Fielding (Bridget Jones's Diary).

Menulis diari adalah di antara latihan yang baik untuk seseorang penulis. Catatan ini amat berguna suatu masa nanti apabila beliau menghasilkan karya kreatifnya, seperti pernah dilakukan oleh A.Samad Said atau Somerset Maugham dalam karya mereka.

Thursday, September 07, 2006

Lagi-Lagi Buku

Rupanya, sepanjang Ogos lalu, saya telah menghabiskan RM800 (lebih tepat:RM797.03) membeli 32 buah buku. Buku-buku itu ada yang dibeli di kedai buku (Kinokuniya, Alam Raya dan Popular), ketika menghadiri seminar (Seminar Persuratan dan Peradaban di PD), dan di Pesta Buku Kelantan. Buku-buku itu terdiri daripada buku agama, sastera, novel, memoir dan kumpulan puisi. Tentu sekali buku-buku itu tidak dapat dibaca dalam masa yang singkat. Dan setengahnya mungkin akan kekal di atas rak untuk beberapa bulan.