Menyusun Selipar di Tangga Masjid
1.
Walaupun Hari Raya sudah berlalu, tetapi suasananya belum berakhir. Kelantan mendapat cuti panjang tahun ini - lima hari. Majlis rumah terbuka di samping kenduri kahwin dan naik rumah baru masih dilangsungkan. Semalam, kami menghadiri sebuah majlis rumah terbuka dan sebuah majlis kenduri kahwin. Hari ini kami akan memenuhi satu lagi majlis kenduri kahwin.
Menghadiri majlis memang menyeronokkan - dapat menemui saudara mara dan sahabat handai, yang kadang-kadang sudah bertahun tak jumpa - juga meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan jalan dan lorong. Perut pun kadang-kadang meragam, kerana makan tak menentu.
Anak-anak sudah mulai pulang ke rumah mereka. Ateh paling awal. Petang hari raya kedua sudah pun bertolak ke KL. Kesesakan memang teruk hari itu. Pukul 3.00 pagi baru sampai ke rumah. Kak Long bertolak balik selepas Asar semalam dan sampai ke KL pukul 1.30 pagi. Alang akan bertolak petang ini.
Umi terpaksa menangguhkan perjalanannya ke suatu masa yang belum dapat ditentukan. Bas sewaannya rosak. Sepatutnya dia menaiki bas itu pukul 10.00 malam tadi. Pagi ini dia merancang untuk bersama-sama kawannya di kampus membuat persediaan untuk peperiksaan yang bermula Isnin ini.
Tetapi itulah kehendak Tuhan. Manusia hanya merancang.
2.
Di India, cerita maulana membersih tandas dan menyusun selipar di tangga masjid memang biasa didengar. Mereka melakukan kerja itu waktu tengah malam atau dinihari, ketika orang sedang tidur, supaya tidak diketahui oleh sesiapa pun.Tetapi di Malaysia cerita begini jarang didengar. Saya sudah dua kali terpandang Prof Dr Muhammad Uthman El Muhammady menyusun selipar di tangga masjid. Pagi ini, saya turun dari masjid selepas Isyrak, iaitu selepas mengikuti kelas membaca dan tafsir Al Quran. Saya dapati selipar-selipar sudah tersusun rapi. Ustaz Uthman (kami biasanya memanggil begitu) baru saja menyusun selipar di tangga sebelah jalan raya. Saya memberi salam kepadanya. "Menjadi siak," katanya setelah menjawab salam saya. "Bila selipar tersusun rapi, orang akan tengok bahawa orang-orang yang datang ke masjid tenang dan berdisiplin.
"Kita ulama kampung," saya mendengar dia berkata ketika saya bertemu dengannya yang sedang membeli surat khabar dan majalah. Saya tidak tahu dalam konteks apa diucapkan kata-kata itu, kerana saya baru sampai. Saya juga tidak tahu berapa jumlah surat khabar dan majalah yang dibelinya. Yang saya tahu dia memang banyak membaca, dan selalu merendahkan diri.
Selamat Hari Raya
SELAMAT HARI RAYA 'IDILFITRI
1 SYAWAL 1427
MAAF ZAHIR & BATIN
WAN A. RAFAR
SEKELUARGA
Balik Kampung
Orang-orang Kuala Lumpur sudah mulai balik kampung sejak petang Khamis kelmarin. Kak Long dan keluarganya sampai kira-kira pukul 1.30 pagi Jumaat. Alang dan keluarganya sampai jam 6.00 pagi. Tetapi dia singgah di rumah mertuanya terlebih dahulu. Arief dan keluarganya dari KB juga turut balik. Ateh dan keluarganya sampai waktu hampir berbuka. Seronok berbuka beramai-ramai.
Tapi saya berbuka di masjid. Pada tahun ini saya banyak berbuka di masjid. Berbuka di masjid dapat mengawal selera saya - hanya cukup dengan segelas air, sebiji tamar dan sepinggan nasi saja. Saya juga dapat bersolat Maghrib secara jemaah lebih cepat.
Di rumah sudah pasti tak cukup dengan segelas air. Kadang-kadang 2-3 jenis air - air tebu, air kelapa dan air cendol misalnya. Dan kueh mueh juga bermacam-macam. "Kueh yang tak pernah ada pada bulan lain pun ada pada bulan puasa," kata seorang ustaz dalam kuliah Subuhnya.
Mama selalu pening untuk memikirkan persediaan berbuka. "Berbukalah dengan apa yang ada," kataku.
Sebelum berbuka - mulai kira-kira 5.30 petang, kami 5-6 orang (kadang-kadang sampai 10 orang) bertadarus Al Quran untuk selama satu jam. Selepas itu kami menyertai pula majlis tahlil hinggalah waktu berbuka. Inilah rutin saya setiap petang sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Umi dari Nibong Tebal sampai pagi ini.
Saat-Saat Akhir Ramadan
Pada tahun ini saya banyak mengerjakan solat tarawih di Masjid Besar Pasir Mas. Saya pilih masjid ini kerana saya suka bacaan imamnya, seorang hafiz muda. Bacaannya bagi saya syahdu dan fasih, bertartil, suaranya merdu, sebutannya ringan dan lancar. Walaupun jumlah rakaatnya 20 + 3, tapi tidak menjemukan. Beliau membaca setengah muka surat untuk satu rakaat. Ertinya setengah juz untuk satu malam.
Bagi saya inilah masanya untuk saya menyemak Al Quran.
Saya berusaha pergi awal untuk mendapat tempat di saf pertama di belakang imam berhampiran muazzin, kerana di samping dapat mendengar bacaan imam dengan jelas, saya juga dapat mengerling teks Al Quran di hadapan yang digunakan oleh muazzin untuk menegur imam jika terlupa atau berlaku kesilapan.
Anak saya, Asyraf dan Haikal, dengan alasannya sendiri juga suka bersolat di sini.
Pada malam-malam terakhir ini memang terasa berat. Doa qunutnya juga agak panjang. Kita sudah pun terasa penat. Jumlah jemaah pun sudah berkurangan jika dibandingkan dengan awal puasa dulu. Ramai juga yang hanya mengerjakan lapan rakaat saja. Tapi itulah ujian. Saat-saat untuk mencapai garis penamat, adalah saat paling genting.
Rasulullah dan para sahabat merasa sedih apabila sampai saat-saat akhir. Inilah saat perpisahan dengan Ramadan, bulan istimewa dan penuh keberkatan. Tahun depan belum tentu akan jumpa kembali. Berlainan dengan kita sekarang, kita seronok apabila sampai akhir Ramadan kerana hari raya akan menjelang. Kata seorang ustaz dalam kuliah subuhnya, "susah bagi kita untuk mengeluarkan air mata perpisahan dengan Ramadan, tapi tidak ketika penyanyi AF tersingkir."
Kita juga tidak begitu ghairah untuk mencari Lailatul Qadar, sedang kita tahu kelebihannya amat besar "lebih baik daripada seribu bulan." Inilah kelebihan umat Muhammad yang disebut sebagai "khaira ummatin", walaupun umurnya pendek, amal ibadatnya sedikit; tetapi ganjaran pahalanya berganda jika dibandingkan dengan umat terdahulu.
Mudah-mudahan kami mendapat tiga bentuk ganjaran sebagaimana maksud hadith Rasulullah saw, iaitu rahmat, keampunan dan bebas daripada api neraka. Insya Allah.
Tentang Mulla Nasruddin
(Dua buah buku Mulla Nasrudin oleh Idries Shah)
Sewaktu di sekolah rendah dahulu, guru saya sentiasa mengisahkan cerita Abu Nawas. Cerita kepintaran dan kelucuan Abu Nawas sangat menarik hati saya. Abu Nawas sentiasa dapat menyelamatkan dirinya dari ujian yang diberikan oleh Khalifah Harun Al Rasyid. Saya suka mendengar/membaca kisah Abu Nawas.
Ketika itu nama Mulla Nasruddin tidak pernah saya dengar. Saya hanya baru mendengar dan mengenali nama Nasruddin pada akhir tahun 1970an. Allahyarham Mohamed Abdullah (pemegang watak Pak Usu dlm Pi Mai Pi Mai) lah yang memperkenalkannya kepada saya. Dia menunjukkan kepada saya dua buah buku tulisan Idries Shah. Satu daripadanya The Exploits of the Incomparable Mulla Nasrudin. Saya terus tertarik kepada cerita-cerita di dalamnya. Selepas itu saya terus mencari buku itu dan saya temui di sebuah kedai mamak di Kompleks Pertama. Pada buku itu tercatat tarikh saya membelinya: 16.10.1979.
Allahyarham Mohamed Abdullah, bersama-sama Latif Mohidin, Mustapha Hj Ibrahim, Pyan Habib dan beberapa orang lagi ketika itu tinggal di rumah Anak Alam. Kalau ke KL saya selalu singgah dan bermalam di situ.
Kemudian saya temui juga sebuah rencana tentang Nasrudin dalam majalah "Kurier" terbitan UNESCO edisi Bahasa Melayu, Februari 1978. Rencana itu berjudul "Nasrudin Hodja Orang Yang Menunggang Kaldainya Secara Songsang" ditulis oleh Ivan Sop, seorang penulis dan pengkritik berbangsa Yugoslav.
Saya temui juga buku-buku tentang Nasrudin yang disusun oleh Abdul Hadi W.M dan Sapardi Djoko Damono, iaitu dua orang penyair terkenal Indonesia.
Beberapa tahun kemudian, saya telah menulis kisah-kisah Nasrudin ini dalam majalah "Fantasi", terbitan Creative Ent. Hampir dua tahun (1987-1988) kisah-kisah itu disiarkan dengan ilustrasi bergilir-gilir oleh Ujang, Tazidi Yusof, Long dan Don.
Berikut saya perturunkan sebuah lagi kisah Nasrudin:
BALA TIDAK MEMILIH
(Untuk Puan Ainon Mohd)
Seorang perempuan telah membawa anak lelakinya ke rumah Nasrudin. "Dia sangat nakal," jelasnya. "Saya harap tuan dapat menakut-nakutkannya."
Nasrudin membuat wajah yang ngeri dan menakutkan, dengan mata yang garang menyala. Dia melompat ke atas, ke bawah dan tiba-tiba berlari keluar.
Melihat keadaan itu, perempuan itu pun kecut dan takut serta hampir pengsan. Bila keadaan pulih kembali, perempuan itu menunggu Nasrudin yang kemudiannya masuk dengan letih lesu.
"Saya menyuruh tuan menakutkan budak ini, bukan saya!"
"Benar puan," kata Nasrudin. "Tidakkah puan lihat bagaimana takutnya juga saya pada diri saya? Bila bala datang, dia tidak memilih. Dia mengancam semua, sama saja."
Nasruddin Menguji Tuan Syaikh
Pada suatu hari seorang syaikh berkunjung ke kota Nasruddin. Syaikh itu sangat terkenal di seluruh negeri. Konon, dia menguasai pelbagai ilmu dengan sempurna. Namun Nasruddin meragukan hal itu. Dia ingin menguji kehebatan tuan syaikh.
"Tuan syaikh, saya ingin mengajukan satu pertanyaan kepada tuan. Kalau tuan tidak dapat menjawabnya, tuan kena membayar kepada saya sepuluh dirham. Kemudian tuan boleh mengajukan pertanyaan kepada saya. Kalau saya tidak dapat menjawabnya, saya akan membayar kepada tuan satu dirham. Syarat ini cukup adil, mengingatkan tuan seorang yang terpelajar dan mahir dalam berbagai hal, sedangkan pendidikan saya tidak setinggi tuan."
Tuan syaikh berfikir sejenak, dan menyetujui usul itu. Nasruddin tersenyum lalu mengajukan pertanyaannya, "Makhluk apakah yang mempunyai tiga kaki?"
Kembali tuan syaikh berfikir. Kali ini agak lama. Akhirnya dia menyerah. Katanya, "saya tidak tahu." Lalu dia menyerahkan wang sepuluh dirham kepada Nasruddin.
Orang-orang yang berkerumun menyaksikan "pertandingan" itu pun ikut berfikir, namun tidak juga menemui jawabannya.
Selanjutnya tiba giliran tuan syaikh bertanya. "Sekarang giliran saya bertanya,"kata tuan syaikh, "Makhluk apakah yang berkaki tiga?"
"Saya pun tidak tahu, tuan syaikh," kata Nasruddin sambil segera menyerahkan kembali wang satu dirham, sedangkan yang baki sembilan dirham dimasukkan ke dalam sakunya.