Kesusasteraan Indonesia Modern Dalam Kritik dan Esei

Judul: Kesusasteraan Indonesia Modern dalam Kritik dan Esei II
Pengarang: H.B. Jassin
Penerbit: Gunung Agung, Jakarta
Tahun: 1962
Tebal: 253 muka surat
Buku ini saya beli pada 26 September 1962 di sebuah kedai buku di Kota Bharu dengan harga $4.50. Ketika itu saya dalam Tingkatan II di SM Sultan Ibrahim, Pasir Mas (lebih dikenali sebagai SIS = Sultan Ibrahim Secondary School). Buku ini merupakan jilid kedua, iaitu lanjutan dari jilid satu yang sudah saya baca dari perpustakaan sekolah.
HB Jassin dalam buku ini melanjutkan perbincangannya tentang karya dan tokoh-tokoh yang mulai menulis dalam tahun 1950-an. Di antaranya ialah Muhammad Ali dengan karyanya Hitam atas Putih, sebuah kumpulan tulisan terdiri dari sandiwara, sajak dan cerita pendek; Toto Sudarto Bachtiar, seorang penyair dengan karyanya Suara dan Etsa; Ajip Rosidi yang dianggap oleh Jassin sebagai tunas harapan dengan dengan buku-bukunya Tahun-Tahun Kematian (cerpen), Sebuah Rumah buat Haritua (cerpen), Ketemu di Jalan (sajak) dan Pesta (sajak); A.A. Navis, pengarang kumpulan cerita pendek Robohnya Surau Kami; Nh. Dini dengan kumpulan cerpen Dua Dunia; Toha Mohtar dengan novel Pulang; Trisnojuwono dengan dua kumpulan cerpennya Angin Laut dan Laki-Laki dan Mesiu; Rijono Pratikto dengan dua kumpulan cerita "serem" Api dan Si Rangka; Nugroho Notosusanto (Hujan Kepagian dan Tiga Kota), Kirdjomuljo (Romansa Perjalanan) dan tiga pemenang drama tahun 1958, iaitu Motinggo Boesje (Malam Jahanam),Misbach Jusa Biran (Bung Besar) dan Nasjah Djamin (Titik-Titik Hitam).
Selain itu dimuat juga sebuah esei panjang, "Kesusasteraan Indonesia Modern Tak Ada Krisis" yang diangkat dari "pidato simposion" yang diadakan di Universitas Indonesia pada tahun 1954.
Ulasan Jassin terhadap himpunan puisi Subagio Sastrowardojo, Simphoni mendapat reaksi dari penyairnya. Jassin menjawabnya dengan sebuah esei bertajuk "Penolakan Dogma Yang Tak Lepas dari Dogma".
Buku inilah di antara buku awal yang memperkenalkan saya dengan karya-karya dan pengarang Indonesia. Dan buku-buku yang dibicarakan oleh HB Jassin itu kebanyakannya dapat saya beli di Kota Bharu ketika itu.
Ada pun buku Kesusasteraan Indonesia Modern dalam Kritik dan Esei I (cetakan III, 1962), dapat saya beli di Pustaka Antara pada 10 Ogos 1963. Ketika itu saya datang ke Kuala Lumpur (pertama kali) untuk menerima hadiah pertama lukisan poster (hebat juga saya dalam seni lukis ni ya, tetapi sayangnya bakat ini tidak saya kembangkan) sempena Bulan Bahasa. Saya mencari Pustaka Antara sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman. Akhirnya bertemu di hujung jalan itu, no 531.
Dalam buku I ini Jassin membahaskan antara lain karya-karya dari Angkatan 45 seperti Chairil Anwar, Idrus, Pramoedya Ananta Toer, Utuy Tatang Sontani, Achdiat K. Mihardja, Mochtar Lubis dan M.Balfas. Selain itu terdapat juga esei tentang Kesusasteraan Dimasa Jepang dan esei-esei tentang Angkatan 45.
Dalam tahun 1960-an, buku ini telah berkembang dalam beberapa jilid lagi. Sayangnya saya tidak memiliki jilid-jilid berikutnya, kecuali Jilid I yang sudah mengalami perubahan dalam cetakan ke-empat 1967 dengan tambahan esei tentang bahasa serta pengarang-pengarang Pujangga Baru seperti ST Alisjahbana, Sanusi Pane, Armijn Pane dan Hamka.
Bengkel Pemantapan Penulis Kelantan dan Terengganu

1.
Bengkel ini diadakan di Perhentian Island Resort, Pulau Perhentian dari 23-25 Mac 2007. Kira-kira 20 orang penulis yang mewakili persatuan penulis di Kelantan dan Terengganu menghadiri bengkel yang dianjur oleh DBP Wilayah Timur ini.
2.
Kami diminta berkumpul di jeti Kuala Besut sebelum 10.00 pagi Hari Jumaat untuk dibawa ke destinasi dengan bot. Ketika saya bersama Norhisham Mustafa, Leo A.W.S. dan Aziz Mohd Nor sampai di jeti, hanya ada beberapa orang peserta dan petugas dari DBP saja. Sharif Putera, S.M. Noor dan Helmi Rindu dari PELITA sampai tidak lama selepas kami. Dato' Aziz Deraman dan isteri, Hj Mohamad Yussop Ishak, Pengarah DBP Wilayah Timur dan isteri juga kelihatan selepas itu. Sementara menunggu, kami mencari barang-barang keperluan dan makanan seperti roti, biskut dan air mineral untuk dibawa ke sana. Manakala yang lain mengambil kesempatan untuk bergambar dan melihat pemandangan sekitar, minum di beberapa gerai dan saling bertanya khabar.
Setelah semuanya berkumpul kami diarahkan untuk membawa beg kami ke bot yang sedia menunggu. Kami naik bot itu dari hadapan. Setelah semuanya naik, kami diarahkan supaya memakai jaket keselamatan. Bot bertolak meninggalkan jeti kira-kira pukul 10.30.
Aku mengambil tempat duduk di hadapan bersama Cikgu Ismail, Ketua Satu PESISIR. Bot yang dipandu agak laju mula mengharungi ombak laut China Selatan. Kadang-kadang cemas juga kami apabila bot dilambung ombak, bagaikan kereta terjun lubang. Bahkan bila sampai di suatu tempat, lambungan ombak terlalu kuat menyebabkan sekeping cermin pecah. Ketika bot berhenti sekejap, terasa kepala agak pening. Tetapi nasib baik tidak ada yang muntah.
Hati kami lega apabila bot mendekati Pulau Perhentian Kecil. Rumah dan bangunan sudah mula kelihatan. Kelihatan dari jauh ialah bangunan sekolah, balai polis marin dan sebuah plaza. Tapi destinasi kami ialah Pulau Perhentian Besar di sebelah kanan kami.
Bot mulai perlahan apabila membelok ke jeti di Pulau Perhentian Besar. Air kelihatan biru dan jernih. "Biru yang agak lain," kata Sharif Putera. Pasirnya putih bersih. Beberapa orang kelihatan sedang berjemur di pantai, manakala yang lain sedang berendam di dalam air yang jernih itu.
3.
Aku ditempatkan sebilik dengan Norhisham Mustafa di bilik 332 yang berhadapan dengan kolam mandi. TV dan surat khabar tidak disediakan.
4.
Kami sembahyang Jumaat di masjid di Pulau Perhentian Kecil. Hanya di pulau ini saja terdapat penduduk awam. Di Pulau Perhentian Besar hanya terdapat resort sahaja. Khutbah Jumaat hari ini tentang Mat Rempit dan kemalangan jalan raya, sesuatu yang tidak relevan dengan pulau ini.
Di sini tidak ada pun jalan raya atau sebarang kenderaan termasuk motosikal.
5.
Sesi bermula dengan kertas kerja Norhisham Mustafa yang bercakap mengenai Perkembangan Persuratan Melayu di Kelantan dan Terengganu. Pada malamnya berlangsung sesi dialog tentang Kebangkitan Penulis dan Karya-Karya Mutakhir Kelantan dan Terengganu. Kertas kerja disediakan oleh Sharif Putera dan Aziz Mohd Nor.
Pada hari kedua, Hamdan Yahaya membentangkan kertas kerja mengenai Pembinaan dan Perkembangan Bahasa Melayu, dan Bimbingan Penyediaan Kertas Awalan dan Laporan Program. Pada sebelah petangnya Dato Aziz Deraman bercakap tentang wacana sastera dan budaya Melayu dalam konteks perkembangannya di nusantara.
Majlis Baca Puisi diadakan pada malamnya di dataran Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian dengan tetamu Megat Nordin, seorang penyanyi dan Jali dan Osman Kering dari Salam Pantai Timur.
6.
Waktu tidak ada program kami bersantai menikmati keindahan pantai Pulau Perhentian. Setengahnya mandi, setengahnya berjalan atau berjogging atau menikmati kehijauan pohon-pohon di belakang chalet.
7.
Barangkali sudah menjadi budaya orang barat, di mana saja mereka berada mereka akan membaca. Di sana sini, kami lihat mereka membaca. Bahkan sambil berbaring di atas pasir. Di atas rak di sudut restoran, kelihatan buku-buku dalam bahasa Russia, Itali dan Inggeris yang ditinggalkan oleh mereka yang pernah sampai di sini. Memang tempat ini selalu dikunjungi oleh ramai pelancong dari barat. Hari ini kami temui pelancong dari Russia, German dan Itali. Mereka tahu tempat ini dari kawan-kawan mereka atau internet.
8.
Program kami berakhir tengah hari Ahad dengan perasmian penutup oleh Hj Mohamad Yussop Ishak. Kami meninggalkan jeti Pulau Perhentian Besar kira-kira 1.30 tengah hari. Perjalanan balik agak tenang dan kami sampai di Kuala Besut dalam masa setengah jam saja.
(Foto: Leo A.W.S., S.M. Noor, Wan A. Rafar dan Helmi Rindu)
Ijtimak Bangkok
Pada hari Jumaat lepas (2 Mac 2007) saya telah pergi ke Bangkok untuk menghadiri ijtimak tahunan Jemaah Dakwah Tabligh. Dua buah bas disewa khas untuk membawa kami ke sana. Sebuah bertolak dari Sungai Golok, sebuah lagi dari pekan Takbai. Saya menaiki bas dari Takbai. Kami dikenakan RM140.00 seorang.
Beberapa orang lagi pergi dengan kereta api.
Kami sampai di tapak Ijtimak hampir jam 12.00 tengah hari keesokannya, setelah lebih dua puluh jam dalam perjalanan. Kami disambut oleh petugas dan dibawa masuk ke kawasan perkhemahan. Kami diberi minum dan sedikit makanan ringan sebelum dibawa ke khemah istiqbal untuk mendaftarkan diri dan diberikan kad keluar masuk. Kemudian kami dibawa ke khemah kami. Kami segera mencari tempat kosong untuk diletakkan beg dan bedding. Beberapa orang tetamu dari Myanmmar, Singapura dan Indonesia sudah pun ada yang tiba sejak pagi tadi. Kami berehat sebentar sambil menunggu solat Zuhur.
Kami mula berhimpun di Masjid Al Ehsan Takbai seawal 11.00 pagi kerana bas dijangka bertolak selepas solat Jumaat. Sementara itu kami telah membeli buah-buah dan makanan untuk bekalan dalam perjalanan dan menukarkan wang Malaysia ke baht Thailand.
Kira-kira pukul 3.30 baru kami dapat bertolak. Bas yang kami naiki bas dua tingkat. Kebanyakan kami duduk di tingkat atas. Di tingkat bawah hanya terdapat beberapa tempat duduk saja, dengan sebuah meja di tengah. Sesuai benar untuk dijadikan tempat makan atau mesyuarat.
Perjalanan lancar. Tidak ada apa-apa masalah. Lebuh raya Sungai Golok ke Bangkok luas, mempunyai empat lorong, iaitu dua lorong sehala. Di tengahnya ditanami pokok-pokok sepanjang jalan. Tidak ada tol rupanya. Kami nampak beberapa sekatan jalan oleh tentera terutama di wilayah Narathiwat dan Yala, tetapi mereka tidak menahan kami.
"Bom meletup hari-hari di sana. Tak takutkah? Selamatkah?" beberapa orang kawan saya bertanya sebelum saya pergi. "Insya Allah, tak ada apa-apa. Kita tidak bersalah," jawab saya, meyakinkan mereka dan diri saya juga. Kalau ajal kita di sana, kita tidak dapat lari. Pada tahun lepas pun tidak ada apa-apa berlaku. Semua yang pergi selamat kembali.
Saya teringat kisah seorang yang takut mati pada zaman Nabi Sulaiman. Ketika itu dalam sebuah majlis seorang "lelaki" selalu merenungnya dengan tajam. Dia merasa takut dengan renungan itu, lalu bertanya Nabi Sulaiman, siapakah lelaki itu. Nabi Sulaiman memberitahu: itulah malaikat maut. Dia terkejut dan hampir pengsan. Dia lalu segera memohon Nabi Sulaiman menghantarnya jauh beribu-ribu batu dari situ. Nabi Sulaiman terus menunaikan hajatnya. Apabila dia sampai di situ, dia lagi-lagi terkejut: malaikat maut telah menunggunya. Rupanya malaikat maut hairan bila melihat saat dan tempat kematian lelaki itu jauh beribu-ribu batu dari situ. Masanya hanya beberapa saat saja lagi, sedangkan dia masih berada dalam majlis Nabi Sulaiman.
Program ijtimak bermula selepas solat Asar dengan bayan disampaikan oleh seseorang yang tidak saya kenal. Memang begitulah biasanya. Tidak ada pengerusi, tidak ada pengenalan siapa yang bercakap. Yang penting ialah isi pembicaraannya.
Selepas mengucapkan kata-kata pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi s.a.w., membaca beberapa potong ayat Al Quran dan beberapa potong hadith Nabi s.a.w. pembayan meneruskan dengan huraian ayat ke sepuluh Surah As-Saf (Barisan) tentang suatu "perniagaan" yang Allah Taala janjikan akan memberi beberapa perkara kepada orang yang menjalankannya, iaitu
- selamat daripada azab yang pedih
- diampuni dosa-dosanya
- dimasukkan ke dalam surga 'adn
- pertolongan dari Allah
- kemenangan
Syarat untuk mendapatkannya ialah:
- beriman kepada Allah dan Rasul-Nya
- berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.
Setiap satu daripada janji Allah itu dan syarat untuk mendapatkannya dihuraikan secara panjang lebar dengan contoh diambil daripada kehidupan para sahabat.
Kemudian dhuraikan pula kaitan iman dengan solat kerana tanda orang beriman ialah solatnya. Solat yang perlu diusahakan ialah solat yang ada ruh, solat yang boleh menarik khazanah Allah.
Begitulah pengisian program ijtimak, penuh dengan pesan dan seruan mengajak manusia beriman. Dan hakikat iman hanya boleh dikekal dan disuburkan melalui usaha dakwah.
Maulana Samin, dalam bayan Maghribnya menekankan tentang musibah dan bala yang menimpa umat hari ini. Katanya, "Musibah yang menimpa umat hari ini adalah hasil dari tangan manusia sendiri. Allah tidak menzalimi seseorang, melainkan orang itu sendirilah yang menzalimi dirinya." Katanya lagi, "Bala hanya bagi orang yang tidak beriman; tapi bagi orang beriman ianya satu rahmat untuk mereka bertaubat dan memperbaiki iman mereka."
"Iman yang rosak dan cacat, tidak akan diterima oleh Allah,"katanya lagi. "Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap orang mengusahakan imannya,"katanya lagi. "Dan iman boleh terbentuk hanya melalui usaha dakwah sebagaimana diusahakan oleh Rasulullah ke atas sahabat-sabahatnya.
Umat ini adalah umat dakwah, bukan umat ibadah seperti umat-umat terdahulu. Umat ini mulia kerana adanya kerja dakwah. Kalau dulu kerja kenabian akan berakhir dengan kewafatan nabi itu. Tetapi tidak selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Kerja kenabian diteruskan hingga hari kiamat dan bukan terhad di satu-satu tempat saja, bahkan meliputi seluruh alam termasuk alam jin dan alam ghaib.
Sebab itu kerja dakwah menjadi kerja umat ini. "Kita dihantar ke muka bumi bukan sebagai doktor, bukan sebagai petani atau guru, tetapi sebagai da'i ilallah. Settiap orang mesti menjadi dakwah sebagai maksud hidup mereka.
Itulah intisari daripada bayan Maghrib dan Subuh pada pagi berikutnya. Kisah-kisah daripada Al Quran, daripada kehidupan nabi dan sahabat-sahabatnya diambil sebagai contoh.
Saya tidak tahu berapa jemaah dapat dikeluarkan daripada ijtimak itu, tetapi tentulah ramai yang dihantar ke seluruh Thailand.
Ijtimak berakhir dengan doa selepas bayan hidayah yang disampaikan oleh Maulana Samin dari Markaz Nizamuddin.
Kami bertolak balik selepas Solat Zuhur. Saya mendapat tahu hampir 100,000 orang telah menghadiri ijtimak itu. Selain daripada warga Thailand, terutama dari wilayah selatan (saya dengar hingga kehabisan bas), ijtimak itu dihadiri juga oleh orang-orang dari Malaysia, Singapura Myanmar, Kemboja, Indonesia dan beberapa orang dari China. Panjang saf sembahyang lebih daripada setengah kilometer.
Kesesakan jalan berlaku ketika balik. Ratusan kenderaan seperti bas, kereta dan van memenuhi jalan keluar. Kesesakan masih berlaku ketika puluhan bas dan kereta berhenti di suatu masjid di Segenting Kra untuk solat maghrib dan isya dan makan.
Bas kami sampai ke Masjid Ehsan Takbai kira-kira jam 11.00 pagi Selasa.