Monday, April 30, 2007

Budaya Infaq

Nampaknya minggu ini saya banyak mendengar tentang infaq. Pagi ini kelas pengajian Al-Quran kami sampai kepada Surah Al Munaafiquun.

Ayat 10 dari surah itu bermaksud: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang salih."

Tetapi Allah Ta'ala menjawab dalam ayat 11 (maksudnya): "Dan ingatlah Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan. "

Pada hari Jumaat lepas saya telah mendengar khutbah yang dibacakan di Masjid Adamiah Kasa, juga tentang infaq. Beberapa ayat Al Quran dan hadith Nabi telah dibacakan untuk menggalakkan orang-orang menginfaqkan sebahagian harta mereka. Kisah-kisah sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman membelanjakan harta mereka di jalan Allah juga turut disebut.

Sewaktu membuat persiapan untuk peperangan Tabuk, misalnya Rasulullah s.a.w telah menggalakkan para sahabatnya berkorban harta mereka. Umar telah membawa separuh daripada hartanya. Tetapi Abu Bakar telah membawa semua harta yang ada di dalam rumah beliau. Rasulullah bertanya, "Abu Bakar, apakah yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?"

Abu Bakar menjawab,"Saya tinggalkan Allah dan Rasul untuk mereka."

Di antara ayat yang saya ingat dibacakan dalam khutbah itu ialah: "Dan belanjakanlah (harta bendamu di jalan Allah dan janganlaah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik."(Maksud Ayat 195, Al Baqarah).

Dan satu lagu ayat (yang bermaksud): "Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah seumpama biji yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada tiap-tiap tangkai itu berisi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah amat luas (rahmat-Nya) lagi amat mengetahui." (Al Baqarah, 261).

Barangkali ini bukan kebetulan. Allah ingin mengajar saya supaya tidak bakhil, suka bersedekah dan berbelanja di jalan Allah.

Untuk tujuan itu, satu daripada caranya ialah keluar di jalan Allah seperti dilakukan oleh jemaah tabligh. Insya Allah, dari 2 Mei hingga 11 Jun 2007 saya akan mengikuti satu jemaah 40 hari ke Sabah. Jemaah itu terdiri dari 5 orang siswa USM dan 7 orang awam. Kami ber-4 dari PM akan bertolak ke KL malam ini dengan Ekspress Wau dan akan berlepas ke KK dengan penerbangan AirAsia AK5120 jam 18.20 pada 2 Mei dari KLIA-LCC. Kami akan balik ke KL dengan penerbangan AK5121 pada 11 Jun 2007.

Barangkali ini adalah entri terakhir untuk kali ini. Doakanlah semoga kami selamat dan amalan kami diredhai Allah.

Thursday, April 26, 2007

Pengkalan Hulu

"Sejak jalan baru Gerik-Butterwoth dibuka, tidak banyak lagi pemandu lori yang lalu dan singgah makan di sini," kata Jah kepada isteri saya ketika kami singgah makan di warungnya di Pengkalan Hulu hujung minggu lepas.

"Ibu bapa dari Kelantan dan Terengganu yang datang menghantar dan mengambil anak juga tidak ramai yang lalu dan singgah di sini," kata Zah yang memiliki sebuah warung di depan Petronas.

Rupanya pembukaan jalan baru tersebut "terkesan" juga kepada peniaga-peniaga makanan di Pengkalan Hulu, dan mungkin juga Baling. Kedua-dua pekan tersebut tidak lagi menjadi laluan
utama.

Kalau dulu, kedua-dua pekan inilah biasanya menjadi tempat persinggahan orang-orang dari Kelantan dan Terengganu untuk makan dan sembahyang. Pada musim cuti atau buka sekolah, memang ramai ibu bapa yang datang dan singgah di sini. Kita akan dapat melihat kereta-kereta yang memakai plet Kelantan dan Terengganu berhenti untuk mengisi minyak atau makan.

Tapi lain pula bagi Awi. Dia dan isterinya yang juga mengusahakan warung makanan panas tidak mengharapkan kepada pelanggan luar. Mereka sudah mempunyai pelanggan tempatan. Ketika kami makan malam di situ, kami lihat warungnya memang penuh, terutama dengan anak-muda walau pun malam itu hujan. Saya tidak pasti apakah daya penarik yang ada pada warung Awi, apakah kerana kelazatan makanannya, harga berpatutan, atau layanannya.

Kami pernah bermukim di Pengkalan Hulu selama kira-kira lima tahun. Walau pun sebuah pekan kecil, bagi saya PH ada beberapa keistimewaannya. Pekan ini bersempadan dengan Baling di Kedah dan Betong di Thailand. Iklimnya agak sejuk. Pokok-pokok masih menghijau walau pun sudah banyak ditebang untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Ramai pesara kerajaan yang pernah bekerja di sini menetap di sini. Bahkan seorang teman saya, bekas pengetua SMK Gerik, tidak pun pernah bekerja di sini, tetapi telah tertarik dan membeli tanah dan membuat rumah di sini berhampiran dengan kampus MRSM yang sedang dalam pembinaan.

Kemudahan asas cukup. Masjid, sekolah rendah, sekolah menengah, pasar, gerai makanan, pejabat pos, bank dan taman rekreasi semuanya ada. Selepas Subuh sudah boleh membaca akhbar. Di sini terdapat beberapa hotel, rumah rehat dan chalet yang boleh digunakan sebagai tempat kursus. Sebuah padang golf yang sederhana juga terdapat di sini.

Kalimullah Hassan, bekas Ketua Editor NST yang mempunyai keluarga di sini, pernah menulis sebuah artilel mengenai Pengkalan Hulu atau Keroh dalam kolum Ahadnya suatu masa dulu.

Tuesday, April 10, 2007

Beberapa Catatan

Khamis, 5 April: Kami bertolak ke KL kira-kira pukul 9.30 pagi ini. Singgah sekejap di Machang untuk membayar cukai tanah yang sudah enam tahun tertunggak. Mujurlah cukainya hanya RM 10.00 saja setahun. Termasuk tunggakan denda RM 48.00, jumlah yang dikenakan ialah RM118.00.

Kami berhenti makan tengah hari di sebuah kedai makan di Merapoh dan solat di Penjom. Kami sampai di KL kira-kira 4.30 petang.

Jumaat, 6 April: Ikut Kak Long membeli barang-barang keperluan untuk kenduri naik rumah dan menyambut hari lahir Yasmin. Selepas itu menziarahi isteri Khalid yang baru bersalin anak pertama di Ampang Puteri.

Solat Jumaat di Masjid Amru Al As Bandar Baru Sentul. Khutbah hari ini mengenai matlamat kerja dan cara hidup Nabi s.a.w. Tajuk dan isi-isi penting ditayangkan di skrin besar di hadapan melalui 'power point'.

Kira-kira 3.00 petang ke Istana Budaya menemui Sutung Umar. Khalid Salleh juga ada di situ. Sambil mengirup teh, kami bersembang tentang macam-macam, dari konsert Bahtera Merdeka Ahmad Jais ke pameran Latiff Mohidin (khabarnya lebih 7 juta dapat dipungut oleh Latiff), dari sastera ke teater, dari politik ke pendidikan. Khalid masih menghisap kretek Ji Sam Soe, dari sebatang ke sebatang.

Selepas Sutung naik ke atas untuk menghabiskan kerjanya, aku dibawa oleh Khalid dengan kancil merahnya ke Rumah Pena. Oleh kerana masih awal kami ke gerai mamak berhampiran DBP dahulu. Sabri Yunus tiba beberapa minit selepas kami. Macam-macam tajuk menjadi perbualan kami, termasuk tentang Akademi Fantasia.

Menjelang Maghrib, aku dan Khalid beredar ke Rumah Pena tidak jauh dari situ. Ketika kami sampai Ahmad Razali dan S.M. Zakir sedang makan dan mengajak kami makan sama. Di atas meja di ruang tamu sudah tersedia mee dan bihun goreng, karipap dan dua bekas teh.

Seperti biasa, malam Sabtu pertama setiap bulan, diadakan Malam Baca Puisi Pena. Tetapi pada malam ini, tidak ada penyair jemputan khas yang akan membuat pengakuan. Di antara orang yang awal tiba ialah Dr Ibrahim Ghafar yang menjadi pengacara malam itu. Kemudian pelajar-pelajar serta pensyarah UiTM dari Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, termasuk A. Ghafar Ibrahim.

Majlis bermula kira-kira 8.30 malam dengan bacaan puisi dari penyair-penyair yang ada sebelum diserahkan kepada pelajar-pelajar UiTM. Di antara persembahan menarik dari mereka ialah dekon dari Drs Bambang, Tari Puisi oleh Amandus Paul Panan dan monolog "Adik" dari Hishamudin Ahmad.

Penyair yang turut hadir dan membaca puisi pada malam itu ialah Pyanhabib, Muhd Mansur Abdullah, Khalid Salleh, Dr Victor Pogadaev, Yassin Salleh, Malim Ghozali, Sutung Umar dan Dinsman. Zubir Ali dan Ladin juga hadir tetapi hanya sebagi penonton saja.

Majlis berakhir pada 11.30 malam.

Sebelum balik, aku, Sutung, Dinsman dan Malim Ghozali singgah di sebuah gerai mamak untuk minum. Dinsman menghadiahkan buku 'Tamu Dari Medan Perang" dan Malim Ghozali "Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan". Kisah kembara Malim Ghozali mencari guru dan kebenaran memang menarik. "Pengalamannya dahsyat" kata Sutung. Malim Ghozali menceritakan bagaimana dia menemui guru itu di sebuah warung di Tanjung Pinang. Ketika itu dia berseorangan sedang minum dan orang tua itu juga berseorangan. Selepas bertegur sapa dan bertanya khabar, orang tua itu mengajak Malim Ghozali ke rumahnya, 14 jam perjalanan dengan bot dari situ. Oleh kerana Malim Ghozali mula tertarik dengan orang tua itu, lalu dia mengikutinya dan terpaksa meninggalkan kawan-kawan serombongannya.

Dari situlah dia mula berguru dengan guru itu. Dan dia adalah murid yang kedua. Murid pertama tidak diberitahu kepada kami.

Sebagai seorang penulis novel dan cerpen, Malim Ghozali memang pandai bercerita. Begitu jugalah, misalnya Abdullah Hussein, Ajikik dan S. Othman Kelantan yang aku kenali.

Sabtu, 7 April: Kak Long mengadakan kenduri kecil untuk merayakan Hari Lahir Yasmin, sekali gus naik rumah baru. Dia telah mengajak jiran-jirannya, keluarga terdekat dan kawan-kawannya. Majlis bermula 3.00 petang.

Ahad, 8 April: Kami ke Seremban pagi ini. Kami singgah di rumah En Zainudin/Jah yang kami kenal dan jiran kami sejak di PH dulu. Dia berkali-kali mengajak kami ke rumahnya kalau kami ke KL. "KL-Seremban bukanlah jauh. Kalau tak mau bawa kereta, naik komuter," kata mereka.
Tapi aku lebih suka memandu sendiri. Lagi pun Boboi, Farhan dan Yasmin ikut sama.

Sementara aku ke Mesyuarat Agung Gapena di Allson Klana, aku tinggalkan mereka di rumah En Zaidudin. Jah akan membawa Mama ke Nilai membeli belah.

Bahagian pertama mesyuarat berakhir kira-kira pukul 5.00 petang. Dan bahagian kedua disambung selepas makan malam dan berlanjutan hingga lebih 11.00 malam. Di antara usul penting ialah dari KALAM mendesak pihak pemerintah memansuhkan segera dasar penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains di sekolah rendah dan menengah kebangsaan Malaysia yang mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Isnin, 9 April: Kami bertolak balik ke PM pagi ini. Hujan turun di beberapa tempat dalam perjalanan kami. Kami selamat sampai di rumah kira-kira 7.00 petang, selepas lebih tujuh jam memandu.

Wednesday, April 04, 2007

Mengubat Kekecewaan

Untuk mengubat kekecewaanku, sebaik hujan kembali rintik-rintik kecil, aku terus melangkah ke Perhentian LRT PWTC untuk ke Masjid Jamek dan seterusnya ke toko buku Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin. Hujan masih rintik-rintik ketika aku melangkah turun dari LRT. Aku menyusuri laluan pejalan kaki yang berbumbung sepanjang Jalan Melayu. Apabila sampai di Wisma Yakin, aku terus menaiki lif untuk ke FIB yang terletak diTingkat 2. Di pintu toko FIB tertampal sebuah pemberitahuan pada kertas putih A4: Kami tutup hari ini 1 April 2007.

Aku berpaling menuju lif kembali. Setelah ditekan butang, nampaknya tidak ada tanda-tanda lif akan naik. Barangkali, hari ini lif hanya berfungsi untuk naik saja. Betul, ada berlaku kerosakan pada lif kerana ketika naik tadi, aku lihat ada penghadang pada sebelah pintunya. Lalu aku turun ikut tangga saja.

Aku masuki toko Pustaka Rezeki Harapan (dulu: Pustaka Indonesia). Setelah mencari dan membelek-belek, akhirnya aku memilih dua buah buku: Di Atas Sajadah Cinta dengan judul kecil Kisah-kisah Teladan Islami Peneguh Iman dan Penenteram Jiwa oleh Habiburrahman El Shirazy, pengarang novel bestseller Ayat-Ayat Cinta; dan Dari Khazanah Dunia Islam, sebuah kumpulan karangan oleh Ali Audah.

Tuesday, April 03, 2007

Rupanya Pesta Belum Bermula

Ketika aku menaiki LRT dari Sentul tadi, hujan baru rintik-rintik; tetapi apabila sampai di perhentian PWTC, bertukar menjadi lebat. Aku melangkah cepat-cepat bila hujan rintik-rintik kembali. Mula-mula ke Hentian Putra untuk membeli teket, kemudian ke PWTC. Aku melangkah menuju pintu utama. Sebuah bas MRSM sedang menurunkan pelajar-pelajarnya untuk menyaksikan karnival pendidikan yang sedang dijalankan di ruang legar.

Aku mencari-cari petunjuk arah ke pameran. Nampaknya tidak ada. Aku berjalan terus menuju eskalator di sebelah kanan. Mungkin pameran itu diadakan di tingkat atas seperti biasa. Tetapi ada seorang dua saja yang menaiki eskalator itu. Barangkali terlalu awal. Aku lihat jam di tanganku: sudah pukul sepuluh setengah lebih.

Aku cuba pula mencari poster pameran. Juga tidak aku temui. Aku berjalan lagi menghampiri eskalator, tapi aku membuat keputusan untuk tidak naik. Aku berundur balik. Tiba-tiba aku terpandang poster yang aku cari-cari terpampang di sisi sebatang tiang besar. Aku mendekatinya. Betul, poster yang aku cari-cari: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007. Aku cepat-cepat mencari tarikhnya: 27 April 2007 hingga... Aku tatap sekali lagi: 27 April 2007.

Aku terhenti seketika. Aku ke KL pun semata-mata untuk ke Pesta Buku. Rupanya pesta belum bermula.

Sebelum datang pun aku telah mengesahkan tarikhnya dari laman web pesta buku: klibf. Pesta itu berlansung dari 23 Mac hingga 2 April. Sdr Darma juga memberitahuku beberapa minggu dulu, pesta itu akan diadakan akhir Mac.

Barangkali tarikh itu adalah tarikh pesta tahun lepas? Laman webnya belum dikemaskinikan.

Di luar hujan mula lebat kembali. Aku masuk semula. Mujurlah ada karnival pendidikan itu. Dapatlah meninjau gerai-gerai dan peluang-peluang pendidikan yang ditawarkan sementara menunggu hujan berhenti.