Saturday, June 30, 2007

Penerbangan ke KK

Pesawat Air Asia AK5120 dari KLIA-LCC ke Kota Kinabalu mendarat tepat jam 2105 di Terminal 2. Dengan kelajuan 850 km sejam, pesawat Airbus 320 itu mengambil masa hampir dua setengah jam. Kami telah disambut oleh seorang karkun dan terus dibawa ke Markas Beaufort yang jaraknya kira-kira 90 km dari KK. Dia mohon maaf kerana terpaksa menyumbat kami 11 orang bersama bagasi ke dalam sebuah van saja. Oleh kerana waktu malam, kami tidaklah terasa panas sangat. Dia memandu agak laju dan nampaknya sangat mahir dengan jalan yang dilalui.



Air Asia tidak menyediakan minuman secara percuma kepada penumpang. Kalau nak minum penumpang terpaksa membayarnya. Menu dan harga minuman dan makanan disediakan. Sebab itu sebelum menaiki pesawat kami telah pun menyediakan roti dan minuman untuk dimakan.

Sewaktu kami sedang membelek-membelek menu, seorang pramugari membawa secawan teh untukku dan secawan lagi untuk Cikgu Rahim yang duduk di sebelahku. Aku lihat penumpang-penumpang lain tidak diberinya. Mungkin salah seorang daripada kami telah memesan dan membayarnya. "Terima kasih," kataku.

Kami sedar bahawa tidak ada pun daripada kami yang membayar teh itu. "Saya pun tidak tahu siapa membayarnya," kata Shahnon yang berjubah Oman, setelah kami mendarat. "Tetapi sewaktu pramugari memberi teh itu kepada saya, dia minta saya doakan keselamatan mereka. Saya pun doalah."

"Itulah rezeki. Dan itulah berkat kerja agama," kata saya.

Kami sampai ke Markas Beaufort hampir jam 11.00 malam. Kami disambut oleh beberapa orang karkun tempatan. Sebelum memasuki masjid, Hj Mohd Isa, yang dilantik sebagai Amirshab mengingatkan kami supaya membetulkan niat kami. "Kedatangan kita bukanlah untuk melihat tempat dan bersuka, tetapi untuk mengislahkan diri sendiri di samping mengajak saudara-saudara di sini berusaha memajukan amalan agama. Tugas kita amat besar - jumpa setiap orang Islam, ajak buat usaha agama." Itulah antara pesan Amirshab.

Setelah kami mengangkat barang-barang kami ke tingkat atas, kami mengambil wudhu dan menunaikan tahiyatul-masjid dan solat jamak qasar Maghrib-Isyak. Kami dijamu dengan nasi dan buah-buahan sebelum kami tidur.

Tuesday, June 26, 2007

Pengiktirafan

"Memang tidak adil, unfair seorang penulis atau penyair menerbitkan sendiri karyanya," kata Dr Anuar Nor Arai. Beliau berhenti dan memerhati muka kami. Kami diam.

"Mengapa?" tanya saya setelah tidak ada yang memberi respon terhadap kenyataan Dr Anuar itu.

"Memang tidak adil," tegas Dr Anuar lagi, tanpa memberi alasan.

"Saya tidak tahu dalam seni sastera. Tapi dalam seni lukis saya ada pengalaman. Saya pernah mengurus Muzium Seni USM," kata Wan Zakaria. "Saya kira seorang pelukis perlu recognition, pengiktirafan. Dia tidak wajar menganjurkan sendiri pamerannya. Dia perlukan badan lain untuk menganjurkan pamerannya."

Wan Zakaria menceritakan pengalamannya bagaimana dalam sebuah kelas lukisannya, dia menemui seorang suri rumah China yang tidak ada pengalaman formal dalam seni lukis, telah melahirkan lukisan yang betul-betul seperti fotografi. Dia telah membeli sebuah lukisannya dengan harga RM300 dan dipamerkan di Muzium Seni USM. Lukisan itu telah menarik perhatian Naib Chanselor (atau YDP Pulau Pinang, saya sudah lupa) dan membelinya. "Sekarang," kata Wan Zakaria lagi, "lukisan-lukisan suri rumah itu sudah boleh dijual antara RM700 - RM1000."

"Itulah saya maksudkan - pelukis perlu recognition. Dalam sastera juga barangkali begitu," kata Wan Zakaria. "Karya-karya penulis perlu diterbitkan oleh badan-badan tertentu seperti DBP. Itulah pengiktirafan."

Saya teringat Leo A.W.S, seorang penyair yang banyak menerbitkan karyanya sendiri. Dan menjualnya juga sendiri. Kesian Leo. Dia terpaksa bertungkus lumus untuk mendapat pengiktirafan.

Friday, June 22, 2007

Tulis Novel?

"Jangan lupa tulis novel" kata Dr Anuar Nor Arai sekali lagi kepadaku sewaktu aku turun dari Naza Ria milik UiTM. Dia duduk di kerusi depan sebelah pemandu. Bersama kami dalam kereta itu ialah A. Ghafar Ibrahim (AGI) dan Wan Zakaria.

Sebelum itu kami ke Tawang, Bachok untuk menyaksikan penggambaran filem oleh Hatta Azad Khan. Tetapi oleh kerana cuaca pagi itu tidak mengizinkan (hujan rintik-rintik dan cuaca agak mendung), penggambaran ditangguhkan. Kami berbalik semula ke Kota Bharu. Sebelum balik ke hotel, kami singgah di Restoran Nasi Air Maksu Nab.

Sementara menunggu makanan dan minuman dihidangkan (dan ketika makan dan sesudah makan) kami bersembang tentang macam-macam termasuk seni perfileman dan sastera. Dr Anuar menyebut dia sudah lama tidak membaca karya sastera. "Tetapi saya suka sebuah novel nipis oleh Pramoedya, kalau tak silap saya Midah Si Manis Bergigi Emas. Ceritanya lancar dan straight forward. Bahasanya sederhana, tidak berbunga tapi indah," katanya. "Saya setuju," kata saya, "walau pun saya tidak membaca novel itu, tetapi novel-novel lain Pram yang saya baca memang mengasyikkan. Ceritanya hebat, bahasanya kuat."

AGI dan Wan Zakaria tidak memberi apa-apa komen.

"Saya heran mengapa orang memberi pujian terhadap && (Dr Anuar menyebut judul buku itu) . Ceritanya tidak kuat, bukan berlatarkan Malaysia. Bahasanya terlalu berbunga. Saya hanya membaca satu cerita. Lepas itu saya letak," kata Dr Anuar lagi.


Saya pula menyebut di antara novel yang saya suka (selain karya Pram) ialah Olenka oleh Budi Darma. Cara Budi Darma bercerita lancar dan bersahaja. Misalnya bagaimana dia memulakan novel itu dengan menceritakan pertemuannya dengan seseorang dalam lif.


Cara bercerita begini juga saya temui dalam Snow oleh Orhan Pamuk. Dia memulakan kisahnya dengan watak utama yang baru saja naik bas dalam perjalanannya dari Erzurum ke Kars. Gambarannya terperinci seperti saya lihat berlaku di depan mata.


"Vivid, sangat jelas," kata Dr Anuar.

"Tapi bukankah itu perjalanan plotnya lambat?" sampuk AGI.

"Munkin lambat sikit, tapi gambarannya jelas dan bermanfaat," kata saya.


"Kalau you tulis novel," kata Dr Anuar, "jangan peduli plot. Tulislah novel perwatakan. Plot akan berkembang mengikut perkembangan perwatakan."

Saya tidak tahu apakah Dr Anuar tahu saya tidak menulis novel. Memang saya banyak bercerita tentang novel yang saya baca. Tentang Hujan Pagi, tentang Bukan Pasar Malam, tentang One Hundred Years of Solitude, tentang realisme magic, tentang Orhan Pamuk, tentang Budi Darma. Dan Kosinski. Novelnya, Steps misalnya, menarik perhatian saya. Novel ini, bagi saya boleh dibaca dari mana saja. Boleh dari mula, dari tengah atau dari akhir dulu. Episodnya kadang-kadang tidak kait mengait. Novel ini pernah memenangi National Book Award suatu masa dulu.

AGI memang tahu, saya bukan penulis novel.