Kahirah (2)
(Bergambar ramai berlatarkan piramid dan sphinx)Barangkali, tidak sah kalau berada di Kahirah tidak berkunjung ke piramid. Piramid adalah salah satu daripada keajaiban dunia. Kami ke sana pada hari kedua. Piramid terletak kira-kira 10 km dari pusat bandar, di sebelah barat Sungai Nil. Piramid mula dibina oleh dinasti ketiga fir'aun kira-kira tahun 2680 SM. Kebanyakan fir'aun dikatakan membina piramid masing-masing sebagai tempat menyimpan mayat/mummy mereka. Tiga buah piramid yang terbesar terletak di Giza. Piramid Khufu adalah yang terbesar dan termasuk salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia, dibina daripada susunan batu blok di atas kawasan seluas 13 padang bola.
Ramai pelancong datang untuk melihat piramid dan warisan sejarah lainnya.
Kami berada di Kahirah hanya empat hari tiga malam saja. Selama tempoh tersebut kami telah menziarahi, selain daripada piramid, ialah masjid dan makam-makam aulia termasuk makam Imam Syafi'e, makam Saidina Hussein, Zainab binti Rasulullah, makam Roqaiyah binti Ali, dan makam Nafisah. Makam-makam tersebut terletak di dalam masjid. Kami juga menziarahi masjid-masjid bersejarah seperti Masjid 'Amru bin Al 'As, Masjid Saidina Hussein dan Masjid Empat Mazhab. Masjid 'Amru al 'As adalah masjid pertama dibina di Mesir oleh sahabat Nabi yang diutus untuk membuka Mesir.
Kami juga telah melawat ke kompleks perkuburan yang sangat luas. Di sini setiap keluarga mempunyai kawasan kubur masing-masing yang dipisahkan di antara satu sama lain dengan tembok/dinding. Di atas tanah perkuburan itu juga banyak didirikan tempat kediaman, terutama bagi penjaga kubur dan orang-orang miskin. Van yang membawa kami mencelah-celah di lorong-lorong sempit di kawasan perkuburan yang luas itu.Di antara kubur yang kami ziarahi di sini ialah kubur Hassan al Banna, Abu Zar al Ghifari dan kubur Ibn Attoilla as Sakandari, pengarang kitab tasauf terkenal, Al Hikam. Barangkali inilah yang disebut "City of the Dead" oleh National Georaphic.
Lebih daripada 90% penduduk Mesir adalah Islam, tetapi bukanlah Islam yang ekstrem, bahkan dikatakan wanita-wanita di bumi Cleopatra ini lebih bebas jika dibandingkan dengan negara-negara Arab lain. Di sini kita akan temui wanita yang tidak bertudung, memakai jeans dengan kemeja t yang ketat, rambut berwarna dan memandu sendiri kereta ke tempat kerja atau ke pasar.
Kahirah
Sebelum mengerjakan umrah, kami terlebih dulu ke Kahirah. Kami berlepas dari KLIA dengan penerbangan MS 969 EgyptAir kira-kira jam 00:40 pagi. Penerbangan kami mengambil masa kira-kira 12 jam dengan kelajuan(ground speed) yang mencecah 895 km/j. Selepas kira-kira lima jam penerbangan, pesawat kami telah singgah di Mumbai, India untuk menurunkan penumpang-penumpang di situ dan mengambil penumpang baru yang akan ke Kahirah. Jarak perjalanan, mengikut skrin di depan kami ialah KL-Mumbai 3621 km, Mumbai-Kahirah 4339 km.
Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kahirah kira-kira pukul 07:35 pagi (Waktu Malaysia 12:35). Kami telah disambut oleh beberapa orang pelajar Malaysia berasal dari Terengganu yang diketuai oleh Ehsanuddin. Kami telah dibawa dengan sebuah coaster ke apartment sewa kami tidak jauh dari lapangan terbang, di Hayyu Thamin (Seksyen 8). Setelah kami mendapat bilik masing-masing, kami berkumpul dan mengadakan mesyuarat ringkas. Ustaz Wan Ahmad Zikri, yang kami lantik menjadi amirshab kami, mengingatkan kami supaya membetulkan niat kami. "Kita datang bukan semata-mata makan angin, tetapi untuk membuat umrah. Kahirah hanyalah tempat persinggahan untuk kita ziarahi masjid-masjid dan makam-makam aulia yang terdapat di Mesir, termasuk makam Imam Syafi'e," katanya.
Kerana keletihan dan mengantuk, petang itu kami tidur nyenyak sekali.
"Bang, bangun! bangun! Azan Subuh sudah berbunyi," kejut isteriku. Aku terpinga-pinga, lalu menggosok-gosok mataku. Aku bangun dan membuka pintu di luar. Dari tingkat 11, aku dapat melihat jalan di bawah. Lampu masih terang dan beberapa orang masih lalu lalang. Aku cuba mengingat balik. Tadi aku tidur sebelum asar. Aku bercadang selepas bangun, akan merayau di kawasan berhampiran. Apakah lama benar kami tidur hingga melewati waktu Maghrib dan Isya?
Di luar kedengaran ketukan di pintu. Kubuka pintu. Kelihatan Amirshab dan Z. "Sedap betul tidur?" tegur Amirshab. "Kami ingat apa berlaku pada cikgu. Kami dah dua kali naik. Kami ketuk pintu. Tapi tidak ada apa-apa jawaban. Cikgu tidak ada apa-apa ke?"
"Alhamdulillah, tidak ada apa-apa," kataku. Memang bilik kami jauh di hujung. Kami menyewa dua unit apartment, satu di tingkat 9 dan satu lagi di tingkat 11, iaitu tingkat paling atas. Aku dan isteri ditempatkan di sebuah bilik di tingkat 11 yang mempunyai tiga bilik. Dan satu lagi bilik didiami oleh Z. Yang lain ditempatkan di tingkat 9.
"Kalau begitu, bersiap untuk makan malam," kata lagi Amirshab.
Kami berjalan-jalan di kawasan berhampiran untuk mencari kedai makan (mat'am) sambil melihat persekitaran dan kehidupan malam di Kahirah. Kami juga mencari masjid yang berdekatan. Akhirnya kami membeli sedikit roti, nasi, ayam panggang dan buah-buah dan makan bersama-sama di apartmen.
Sambil makan sambil bersembang. "Saya ingat saya ditidurkan seperti Ashab-ul-Kahfi tadi," kata saya. "Saya tidak tahu berapa lama saya tidur."
"Kami tunggu juga tadi untuk solat Maghrib. Tapi kerana tak turun kami terus solat," kata Abang Din.
Setelah makan, kami sekali lagi berkumpul. Abang Din mengedarkan sehelai kertas putih mengandungi senarai amalan yang patut dilakukan. Kami juga membincangkan program yang akan dilaksanakan selama beberapa hari di Kahirah.
Bibliobankrapsi
Saya harap saya tidak menjadi bibliobankrapsi dengan membeli buku. Memang kedai buku menjadi tujuan utama saya bila pergi ke mana-mana. Hati saya tidak dapat dikawal lagi bila melihat buku yang saya ingini. Di Madinah (ketika mengerjakann umrah minggu lepas), selepas menunaikan solat di Masjid Nabawi, saya selalu singgah di kedai buku sebelum balik ke hotel. Sayang saya tidak tahu berbahasa Arab. Kalau tidak banyak lagi buku yang saya beli.
Di antara buku yang saya beli:
- The Qur'an & Modern Science: Compatible or Incompatible? oleh Dr. Zakir Naik, Maktaba Darussalam, 2007
- Keagungan Al Qur'an Al Karim, oleh Syaikh Mahmud bin Ahmad Shalih Al Dosari, Darussalam, 2006
- The Sealed Nectar: Biography of the Noble Prophet oleh Safi-ur-Rahman Al-Mubarakpuri, Darussalam, Revised Edition, 2002
- Fiqh-us-Sunnah oleh As-Sayyid Sabiq, American Trust Publications, 1991
- The Beard and other Traits of Fitrah oleh Muhammad al-Jibaly, Al Kitaab & As Sunnah Publishing, 2005
- Real & Wonderful Stories, compiled by Abdurahim bin Mizhir Almalki, Abul Qasim Publishing House, 2002.
Sebelum balik ke Kelantan, ketika menuju ke Mydin di Jalan Masjid India, saya sempat singgah di Fajar Ilmu Baru dan di situ melayang dua keping not 50 untuk 2 buah buku ini:
- Keajaiban Tidur: Menjelajah Misteri Alam Kematian Kecil oleh Dr Ahmad Syawqi Ibrahim, Serambi, 2007
- My Name is Red: Namaku Merah Kirmizi oleh Orhan Pamuk, Serambi, 2006.
Begitulah kalau dah ulat buku.
Umrah Pada Bulan Ramadhan
Saya baru balik dari mengerjakan umrah. Mengerjakan umrah dalam bulan Ramadhan dan musim panas yang suhunya melebihi 40 darjah Celcius, amat mencabar. Bahang panas menyelar muka seakan duduk di tepi bara. Barangkali tidak jauh seperti yang digambarkan Habiburrahman El Shirazy dalam permulaan novel
Ayat-Ayat Cinta tentang suhu kota Cairo, "Tanah dan pasir seakan menguapkan bau neraka."
Walaupun begitu orang tetap ramai datang mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan kerana kelebihannya daripada bulan-bulan lain. Mafhum sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah (s.a.w.) bersabda, "Umrah pada bulan Ramadhan menyamai (pahalanya) haji."
Kami sampai di Mekah dari Madinah ketika azan Isya berkemundang di udara. Kami ditempatkan di sebuah hotel tidak jauh dari bukit Marwah. Sebaik menempati bilik masing-masing, kami berkumpul dan mengadakan mesyuarat ringkas. Kami mengambil keputusan untuk menyempurnakan umrah kami selepas makan. Aku dan Z ditugaskan mencari makan. Setelah menjenguk beberapa restoran, akhirnya kami membeli nasi bukhari dari sebuah restoran Turki.
Ketika kami keluar hotel menuju Masjidil Haram, orang sudah berkurangan. Kami melalui jalan Suq al Lail yang suatu masa dulu berteduh. Kami tidak dapat memasuki Bab-us-Salam, kerana pembinaan sedang dilakukan sepanjang tempat sa'i. Kami melalui Pintu Uthman di hujung Marwah dan turun ke tingkat bawah melalui eskalator. Kami terpaksa berpapasan dengan orang-orang yang sedang mengerjakan sa'i. Akhirnya kami dapat memasuki masjid dan terus turun menghampiri ka'abah. Orang-orang yang bertawaf masih ramai nampaknya. Barangkali inilah masa paling baik untuk tawaf.
Kami memulai tawaf dari penjuru yang ditandai dengan lampu hijau bersetentang dengan penjuru Hajar-ul-Aswad. Oleh kerana aku tidak membawa buku do'a, maka aku bertakbir bertasbih dan berdoa mengikut doa yang aku tahu, kecuali ketika melalui di antara Rukun Yamani dan Hajar-ul-Aswad, aku membaca "doa sapu jagat" seperti ditulis Danarto dalam bukunya,
Orang Jawa Naik Haji, iaitu
Rabbana aatina fiddunya hasanat....
"Nah, gunakanlah doa ini saja untuk mengganti doa-doa yang bermacam-macam itu. Insya Allah Tuhan berkenan," tulis Danarto memetik pesanan pembimbing.
Setelah selesai tawaf dan solat sunat tawaf, kami berjalan menuju Bukit Safa untuk memulakan sa'i. Barangkali tawaf tidaklah seberat sa'i. Kami berjalan di celah-celah ribuan manusia berulang-alik dari Safa ke Marwah tujuh kali. Beberapa kali berhenti untuk minum air zamzam yang banyak disediakan di tepi tepi dinding. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana Siti Hajar berlari ke sana ke mari di antara Safa dan Marwah di bawah panas terik untuk mencari air untuk anaknya Ismail.
Akhirnya kami dapat sempurnakan umrah kami kira-kira pukul 1:00 pagi. Dan malam (pagi) itu kami tidur nyenyak sekali hingga Subuh pun hampir terlepas. Kami berkejar ke Masjidil Haram untuk berjemaah. Dan aku hanya sempat rakaat akhir saja di pintu Uthman.