Thursday, November 22, 2007

Buku dan Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad

1.

Biasanya kita akan mudah dan cepat membaca bahan bacaan yang ada kaitan dengan kita. Buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" oleh Muhd Kamil Ibrahim, misalnya begitu cepat dapat saya menghabiskannya. Buku ini mengisahkan perjalanan dan pengalaman Kamil dan tiga orang di bawah tanggungannya mengerjakan haji pada tahun lepas (2006). Saya dan isteri juga terpilih pada tahun itu. Tentu sekali pengalaman kami berbeza. Kamil mengerjakannya untuk pertama kali dan ketika berusia 42 tahun, sedang saya untuk kali kedua ketika berumur 59 tahun. Keghairahan Kamil untuk mendapat "tempat terbaik" dan saf pertama berhampiran kaabah ketika sembahyang tidak ada lagi pada saya. Juga debaran melihat kaabah tidak sama. Kamil tiba di Mekah seminggu sebelum wuquf ketika hampir semua jemaah sudah sampai. Saya tiba dari Madinah, beberapa minggu lebih awal, ketika jemaah belum begitu padat.

Kerana itu kesan pengalamannya di Mekah lebih banyak diceritakan berbanding dengan Madinah.

Kami tidak pernah berjumpa, kerana pintu masuk kami tidak sama malah bertentangan. Saya menggunakan pintu Hijrah dari arah Syubaikah, Kamil menggunakan pintu Salam dari arah timur. Jarak hotel saya 800 km dengan Masjidil Haram, tidak mengizinkan saya untuk berjalan lebih jauh lagi. Saya dan isteri suka menggunakan pintu ini kerana mudah melihat kaabah, berbanding dengan pintu Malik Fahad, terpaksa berjalan jauh sebelum dapat melihat kaabah. Saya jarang bersolat di dataran kaabah seperti Kamil, yang hampir setiap waktu bersolat di belakang imam.

Kekuatan semangat Kamil untuk menjadi tetamu istimewa sungguh mengkagumkan. Dia benar-benar minta dan bergantung kepada Allah melalui doa dan solat hajatnya. Tahniah Kamil.

Sebuah lagi buku yang dapat saya habiskan dengan cepat ialah "Ayat-Ayat Cinta" oleh Habiburrahman El Shirazi. Walau pun buku ini sudah saya beli pada tahun 2005, tetapi baru dapat saya baca selepas balik dari Cairo September lepas. Kisahnya amat menarik, kisah cinta, mendebarkan, berlatarkan kota Cairo. Kota Cairo seperti berada di depan mata saya - dengan kepadatan dan kesibukan jalannya, manusia dan jenis makanannya, tempat-tempat bersejarah dan masjid lamanya.

Begitulah mudah kita membaca jika bahan yang dibaca ada kaitan dengan kita.


2.

Saya sempat menghadiri Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pada minggu lepas (13-14 November 2007) di Dewan Bahasa dan Pustaka. Lebih daripada 20 kertas kerja dibentangkan oleh para sarjana dan sasterawan, termasuk SN S. Othman Kelantan, Dr Anwar Ridhwan, Dr Sohaimi Abdul Aziz, Dr Zariat Abdul Rani, Dr Rahimah Abdul Hamid dan Faisal Tehrani. Kertas utama disampaikan oleh Prof Dr Mohd Yusof Hassan yang banyak mengkaji karya-karya Shahnon Ahmad.

Pelbagai aspek karya Shahnon telah dibincangkan dengan menggunakan beberapa pendekatan dan teori. Aspek pemikiran global dan pemikiran kritis Shahnon dibincangkan oleh Mohd Yusof Hassan dan Anwar Ridhwan. Jaafar Rahim melihat Tunggul-Tunggul Gerigis dan Srengenge dalam Teori Kecerdasan Emosi. Paparan citra wanita dan kajian pendekatan gender dibincangkan oleh Dr Siti Hajar dan dan Ong Eng Lye. Azhar Ibrahim dari Singapura melihat Shahnon Ahmad Intelegensia Sastera dan Pemihakan kepada Massa Melayu.

Shahnon yang terkenal dengan Ranjau Sepanjang Jalan, Rentong, Protes,Perdana, Menteri, Sampah dan Patriarch, pada tahun 2007 telah menerbitkan Setitis Embun Semarak Api, sebuah autografi dan Mahabbah, novel yang memenangi hadiah kedua Sayembara Novel Kemerdekaan Dewan Bahasa dan karya mutakhirnya Durian Hujung Julai masih belum diterbitkan.

Shahnon Ahmad telah mengabdikan diri dalam dunia sastera lebih 50 tahun (1954-2007) dengan menghasilkan ratusan cerpen dan lebih daripada 20 buah novel.

Tuesday, November 06, 2007

Dulu Minum di Benteng, Sekarang di Chinos

Selepas membaca tulisan M.Hanafiah A.Samad dalam ruangan Forum Utusan pagi ini (5 Nov.2007), saya terus menghantar sms kepadanya melalui nombor hp yang diberikan oleh Pyanhabib. Tidak lama kemudian dia membalas sms saya: "Terima kasihlah. Selamat hari raya. Apa kabar? Pencen buat apa? Jaga kesihatan baik-baik." Selepas saya memberitahu saya berada di KL, dia sekali lagi membalas: "Kalau free marilah minum kopi di klcc. Jam 2 aku free." "Boleh, insya Allah," jawab saya.

Memang sudah lama saya tidak jumpa Hanafiah. Dalam majlis-majlis sastera juga tidak. Saya dengar dulu dia pernah menjadi SU Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor ketika itu. Selepas itu tidak kedengaran lagi. Walau pun begitu, saya tahu beliau berada di KL.

Kami selalu bertemu di Anak Alam pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dulu. Kami juga sering minum di Benteng bersama-sama Latiff Mohidin yang kami panggil Om, Khalid Salleh, Pyanhabib dan lain-lain keluarga Anak Alam. Hanafiah ketika itu bekerja di RTM.

Sebelum ke KLCC, saya singgah dulu di Alam Raya mencari buku-buku baru, kalau ada. Setelah membelek-belek, saya telah membeli beberapa kumpulan sajak terjemahan dalam Seri Puisi Jerman, iaitu Candu dan Ingatan oleh Paul Celan, Satu dan Segalanya oleh Goethe, dan Matsnawi: Senandung Cinta Abadi oleh Jalaluddin Rumi terjemahan Abdul Hadi W.M. Saya juga telah membeli Dawn in Madinah: A Pilgrim's Passage oleh Muzaffar Iqbal. Buku terakhir ini menceritakan pengalaman pengarang mengerjakan umrah dan berpuasa di Madinah.

Di Kinokuniya saya telah membeli I Explain a Few Things: Selected Poems Pablo Neruda.

Saya menemui Hanafiah yang sudah pun menunggu di sebuah meja di suatu sudut berdekatan pintu. Dia tidak banyak berubah. Mungkin gemuk sedikit. Di atas meja terdapat sebuah cawan berisi kopi yang masih panas. Aromanya sudah tercium dari jauh.

"Dulu di Benteng, sekarang di Chinos," kata saya. Belum pun sempat dia berkata apa-apa, seorang lagi kawannya muncul di pintu. Dia jemput duduk bersama. Seorang pelayan datang membawa menu.

Sementara itu kami berbual bermacam tajuk, dari disiplin pelajar ke rating universiti, dari budaya ke ekonomi dan politik, dari tabligh ke gadis Melayu kawin Pakistan.