Friday, December 28, 2007

RM2,983 untuk 100 Buah Buku

(Di antara buku yang telah saya beli sepanjang 2007)

Pada tahun ini saya telah membelanjakan RM2,983.04 untuk membeli 105 buah buku, berbanding pada tahun lepas RM3,042.46 untuk 148 buah. Buku-buku yang dibeli termasuklah 27 buah buku Melayu, 20 Indonesia, 38 Inggeris dan 20 terjemahan. "The Inheritance of Loss" (Penguin Books, 2006) oleh Kiran Desai, pemenang The Man Booker Prize 2006 ialah buku pertama saya beli tahun ini, iaitu pada 14/01/07. Buku yang terakhir saya beli ialah "When Nature Turns Nasty (Reader's Digest, 2007), melalui pesanan yang saya terima pada 24/12/07.

Kebanyakan buku Inggeris saya beli di KL, termasuk di Kinokuniya, Borders dan MPH Mid Valley. Buku-buku Indonesia saya beli di Alam Raya atau Fajar Ilmu Baru. Buku terbitan DBP biasanya saya beli di SMO Kota Bharu atau Pasir Mas. Ada juga saya membeli buku-buku itu secara online. Buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" saya beli dari pengarangnya sendiri, Prof Muhd Kamil Ibrahim melalui sms. Beberapa buah buku pula saya beli di Jakarta sewaktu menghadiri perhimpunan dakwah pada Ogos dan di Madinah sewaktu menunaikan umrah pada September lalu.

Beberapa buah buku saya dapat percuma sebagai hadiah dari kawan seperti "Tamu Dari Medan Perang" (Dinsman, Teater Elit, 2006) dari Dinsman dan "Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan" (Malim Ghozali Pk, Seladang, 2007) dari Malim Ghozali.



Buku puisi nampaknya paling banyak saya beli pada tahun ini, iaitu sebanyak 20 buah. Buku-buku itu termasuklah "Selected Poems of Federico Garcia Lorca" (NDP 2005), "I Explain a Few Things" (FSG 2007) oleh Pablo Neruda dan "The Voice at 3:00 a.m."(Harvest Harcourt 2006) oleh Charles Simic, penyandang poet laureate Amerika sekarang. Buku puisi Melayu yang sempat saya beli ialah "Maka Bermadahlah Masa" (DBP 2006) oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan "Deru Perjalananan Kembali Seorang Abid" (DBP 2007) oleh Yahya MS seorang penyair veteran dari Brunei Darussalam. Dari Indonesia saya sempat beli "Mitos Kentut Semar" (Poetika Indonesia 2006) oleh Rachmat Djoko Pradopo dan "Bau Betina" (I:Boekoe 2007 oleh Binhad Nurrohmat, seorang penyair mudaIndonesia. Saya juga telah membeli beberapa kumpulan puisi dari siri Puisi Jerman yang diterbitkan oleh Horison seperti Rilke (Padamkan Mataku), Paul Celan (Candu dan Ingatan) dan Goethe (Satu dari Segalanya).

Hanya 15 judul buku fiksyen saja saya beli tahun ini. Selebihnya bukan fiksyen. Di antara buku fiksyen yang saya beli ialah "This End of the Rainbow" (The Phoenix Press, n.d.) oleh Adibah Amin, "Sweetness in the Belly" (Penguin, 2007) oleh Camilla Gibb, dan "The Successor" (Canongate 2007) dari Ismail Kadare. Fiksyen Melayu hanya sebuah saja, iaitu "Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah" (PTS 2007) oleh Muhamad Ikhram Fadhly Hussin.

Buku-buku lain yang saya beli ialah autobiografi/biografi 7 buah termasuk "Setitis Embun, Semarak Api" (Alaf 21, 2006), oleh Shahnon Ahmad, "Merentas Laluan (Zaharah Nawawi, DBP 2004), "Musafir Menuju Destinasi" (Hasan Ali, DBP 2007) dan "Biografi Intelektual Said Nursi" (Sukran Vahide, Anatolia 2007). Buku kembara 6 buah, termasuk "A Backpack and a bit of Luck" (Zhang Su Li, Marshal Cavendish, 2007) "Dark Star Safari" (Paul Theroux, Penguin 2007) dan "Dawn in Madinah: A Pilgrim's Passage" (Muzaffar Iqbal, IBT 2007).

Buku kritikan/teori sastera (15) termasuk "Estetika Sastra dan Budaya" (Prof Nyoman K. Ratna, Pustaka Pelajar, 2007), "Bermain dengan Cerpen" (Maman S. Mahayana, PT Gramedia, 2006) dan "Belenggu Pasca Kolonial (Dr Faruk, Pustaka Pelajar 2007), Agama (16) termasuk 2 jilid "Tafsir Al-Munir (Dr Wahbah al Zuhaily, PUM 2007), Umum (10) termasuk "Catatan Pinggir 6" (Goenawan Mohamad, Tempo 2006) dan "50 Facts That Should the World" (Jessica Williams, Icon Books 2007), Jurnalisme (2) , motivasi (2) dan masing-masing 1 komputer, bahasa dan drama.

Labels:

Wednesday, December 12, 2007

KB Dinaiki Air

Biasanya saya ke KB pada hari Rabu atau Khamis bersama Darma untuk mengambil majalah Tempo/Gatra/Horison yang kami langgani dari sebuah kedai buku. Tapi pagi ini kami tidak dapat pergi mengambilnya kerana jalan ditutup. Jalan Sultan Ibrahim, jalan masuk ke pusat bandar sudah sesak sejak di depan balai polis.

Pada mulanya kami agak tentu kerana cuti sekolah, kerana begitulah biasanya. Kami tidak perasan air sungai sudah melempahi beberapa kawasan rendah. Memang di Bunut Payung, air sudah penuh di beberapa kawasan. Kereta-kereta sudah diletak di tempat selamat, di sepanjang tepi jalan.

Memang sebelum ini hujan turun agak lebat. Beberapa daerah sudah pun banjir dan jalan sudah ditutup.

Tapi cuaca hari ini panas. Sejak pagi tidak ada hujan. Orang-orang keluar untuk membeli belah, membeli barang-barang keperluan harian atau persiapan buka sekolah.

Mungkin air hujan dari hulu sudah sampai ke KB. Atau mungkin air dari Empangan Pergau dilepaskan untuk selamatkan empangan dari pecah.


Polis yang bertugas di Jalan Temenggong sudah mengarah kami membelok memasuki jalan di sisi pasar lama atau pusing balik. Longkang di sekitarnya sudah dilimpahi air sungai. Tuan-tuan kedai sibuk mengemas barang mereka ke tempat tinggi dan selamat.

Kereta bergerak perlahan. Kami agak cemas juga takut terperangkap dalam banjir. Sebuah kereta kancil dengan berani mengharungi air yang agak dalam di sebuah lorong ke Aked KB. Kami terus patah balik apabila sampai ke lorong yang membolehkan kami berpatah balik. Lega rasanya apabila dapat keluar dari kesesakan itu.

Tuesday, December 11, 2007

Wajah dan Suara Seni Pak Samad

Sasterawan Negara Dato' A Samad Said memulakan kertas kerjanya pada hari kedua Hari Puisi Nasional ke-17 dengan satu "jenaka": Saya bertemu Rahman Shaari di DBP. Kata saya kepadanya kita ada persamaan. Minggu depan kita akan bertemu di Melaka. Kita sama-sama akan membentangkan kertas kerja pada Hari Puisi Nasional. Dan kita adalah sama-sama penerima SEA Write Awards. Saya penerima pertama, anda penerima terakhir.

"Saya kekal penerima pertama, dan Rahman tidak kekal yang terakhir," gurau Pak Samad diikuti gelak ketawa audien.

Pak Samad kemudian memerhati kiri kanan dewan. "Saya tidak nampak Prof Zainal dalam dewan. Ketika dia bercakap, saya ada. Ketika saya bercakap dia tiada," katanya. "Mungkin ini bukan dia rancangkan, tapi ada tugas-tugas yang harus ditunaikan."

Pak Samad bercakap tentang "Wajah dan Suara Seni Dekad Terjajah" Kata Pak Samad: Saya jumpa HB Jassin, katanya, mengapa ikut Indonesia? Indonesia sepuluh tahun tertinggal dari barat. Mengapa anda tidak lansung ambil dari barat?

"Memang karya saya nampaknya pergi ke barat. Segala macam isme - existentialisme, realisme magis ada dalam karya saya.

"Tapi saya juga bertemu Mahmud Darwish, penyair Palestin, Nawal el Saadawi.... yang tersingkir di Amerika.

"Menulis adalah sukar, mengambil masa," kata Samad," semata-mata untuk melahirkan ayat yang berseni dan bermakna."

"Mahmud Ahmad pernah berkata kepada saya, 'Samad, Salina tidak akan diterima, kerana anda menulis sesuatu 50 tahun ke hadapan."

Begitu juga kata Keris Mas.

"Saya menulis berdasarkan latar belakang saya dalam sastera barat. Saya membaca Steinbeck, Hemingway, Paul Sarte. Sama ada penulisan itu bermanfaat atau tidak, saya serahkan kepada pembaca.

Tulis Samad: Dekad 60-an saya kira saya mula memasuki dunia eksperimen seni yang terkadang agak "menggila". Tidak saja saya menyedari akan peranan dan kepentingan bentuk puisi, malah saya juga menyedari akan kepentingan isi puisi itu sendiri. Dua kesedaran ini cepat menghantar saya ke dalam dunia puisi ufuk baru secara lebih "indah" dan "berisi".

"Saya masih ingat bagaimana pada dekad tersebut saya mula menulis puisi "Krisis", "Marhaenville" dan "Angin Damai Dari Timur". Judul-judulnya saja sudah membayangkan di mana dan ke mana saya sedang berada - dan ke mana saya akan mengarah. Mereka yang rajin mengkaji puisi-puisi itu akan cepat mengesani upaya saya memperkenalkan bentuk visual puisi zaman baru. Puisi Melayu tidak lagi bercitra pantun, berlanggam syair atau berbentuk gurindam. Dan puisi-puisi baru itu tidak juga membuai atau dibuai rentak dan ritme yang sama.

"Malah ke dalam puisi yang berbentuk sangat teratur itu, kini saya cuba susupkan juga unsur kesedaran dan semangat baru dari iklim dunia lama yang memang sedang berantakan. Ledakan bom atom di Hiroshima tidak sekadar merobah wajah bumi, malah ia turut menggamamkan bentuk puisi. Maksudnya, dunia nyata dan dunia seni sudah tidak lagi seperti dulu.

Demikian antara lain kertas kerja Pak Samad.

Hari Puisi Nasional ke-17 yang diadakan di Ayer Keroh, Melaka dari 2-4 Disember 2007 bertemakan "Puisi Nasional- Tradisi Menunjang Pemodenan Bangsa. Di antara pembentang kertas kerja, selain Pak Samad ialah Prof Datuk Zainal Kling, Tenas Effendy dan Prof Rahman Shaari.

Sempena Hari Puisi yang dirasmikan oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka ini juga, Anugerah Penyair Gapena 2007 disampaikan kepada Haji Mokhtar Yassin, seorang penyair berasal dari Melaka yang terkenal dengan sajaknya "Sepasang Lembu Tua."

Hari Puisi Nasional ke-17

Saya memandu seorang diri dari KL ke Melaka. Sebelum itu saya telah menghubungi, dengan sms, beberapa orang kenalan, kalau mereka juga nak ke sana. Hanafiah Samad berada di Muar. Rahimiddin tak dapat cuti. Pyanhabib tak jawab. Saya juga menghubungi Gapena, kalau-kalau disediakan bas, tapi tidak kali ini. Saya juga menghubungi Leo. Mungkin dia sudah berada di Melaka. Memang dia sudah berada di Melaka bersama Salman. Mereka datang dengan bas, katanya.

Kali ini Hari Puisi Nasional diadakan di Melaka.

Akhirnya saya terpaksa memandu sendirian. Lagi pun Melaka tak lah jauh sangat - dua jam saja dari KL. Dari Seri Gombak, saya mengambil jalan MR2 dan terus masuk Lebuhraya PLUS menuju ke selatan. Nampaknya jalan ketika itu, kira-kira jam 11.30 pagi, tidaklah sibuk. Saya berhenti mengisi petrol di R&R Seremban.

Sebenarnya sudah lama saya tidak ke Melaka. Mungkin lebih sepuluh tahun. Tapi lebuharaya tidaklah berbeza. Kalau saya ikut jalan lama, mungkin saya akan tersesat. Pembangunan yang pesat telah menukarkan wajah jalan dan tempat.

Saya keluar melalui Plaza Tol Ayer Keroh. Bayarannya RM16.50. Saya bertanya budak tol, di manakah Seri Warisan. Dia tidak tahu. "Tak perasan pula saya,"katanya. Saya memandu keluar dari plaza. Tidak jauh dari situ saya berhenti dan bertanya seseorang yang saya agak orang tempatan. "Oh tidak jauh dari sini. Encik pandu terus, selepas stesyen Petronas sebelah kiri itulah Seri Warisan." "Terima kasih," jawab saya.

Memang Seri Warisan tidak jauh dari situ, bersebelahan dengan Taman Mini Malaysia. Saya pernah membawa keluarga ke situ.

Pegawai keselamatan yang bertugas mengarahkan saya jalan terus bila saya memasuki pintu rseort. Saya memandu hingga sampai ke tempat letak kereta. Saya mencari petak yang kosong. Bila saya keluar, saya bertemu Ahmad Razali dan memberi salam kepadanya. Dia menjawab salam saya dan menegur, "Sorang saja?" "Ya, sorang saja." Saya bertanya dimana tempat daftar. Ahmad Razali menunjukkan ke arah lobi. "Dari situ turun ke bawah dan masuk ke bilik sebelah kiri." "Terima kasih," jawab saya.

Di bilik pendaftaran, saya bertemu Mokhtar Yassin dan bersalam dengannya. Saya juga bertemu Prof Madya Hashim Ismail dari UM. Saya ditempatkan di chalet no 3011 bersama Leo dan Salman.

Setelah mendaftar saya terus mencari chalet no 3011. Chalet itu terletak paling hujung, di tepi hutan. Waktu saya sampai, Leo dan Salman sudah pun berada di situ. Di chalet itu terdapat dua bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah dapur dan sebuah bilik mandi dan dilengkapi dengan tv, peti sejuk dan heater. Leo memilih bilik depan yang mempunyai satu katil besar. Saya bersama Salman di bilik belakang yang mempunyai dua katil.

Sementara menunggu sesi pertama bermula pada 3.30 ptg, kami mengambil kesempatan untuk solat dan berehat.