Ayah Su
Sudah lebih seminggu Ayah Su (Khairil Nazlee Ibrahim) menjalani pembedahan di HUSM Kubang Krian. Semalam tubuhnya agak sejuk dan membimbangkan. Matanya sentiasa pejam. Tetapi hari ini dia nampak stabil dan ceria kembali. Dia telah berpindah katil dari kawasan bertirai merah jambu ke kawasan bertirai hijau lembut.
Ayah Su ditemani oleh Tin, anak saudaranya yang datang dari Kedah.
Kami menziarahinya setiap hari. Biasanya selepas Asar hingga ke malam. Mama lebih lama bersamanya. Kadang-kadang aku menghantar dan meninggalkan Mama di sana, sementara aku meneruskan urusanku.
Sebenarnya sudah beberapa bulan Ayah Su berada di wad dan menerima rawatan di situ. Dua pembedahan kecil juga telah dilakukan. Pembedahan kali ini adalah pembedahan besar. "50-50" katanya.
Ayah Su kini berusia 44 tahun. Tidak ada anak dan isteri. Hidupnya sebatang kara. Tetapi mujurlah dia mempunyai adik angkat yang baik. "Lin anggap dia sebagai abang kandung Lin sendiri," kata Lin memberitahu kami. Dan dengan adik angkat itulah dia tinggal. Ayah Su pernah beristeri suatu masa dulu. Tetapi tidak kekal.
Kini dapat aku rasakan: betapa sukarnya seseorang pesakit yang terlantar di hospital tanpa anak dan isteri.
Pertemuan Anak Alam
Bila sampai di Stesyen LRT Wangsa Maju, saya meng-sms Pyanhabib. "Ana dah sampai," tulis saya. "Ana pun dah sampai. Ana singgah MPH beli buku sat," balas Pyan. Ketika itu jam sudah pun hampir 3:30 petang. Saya tunggu di depan Restoran Mydina.
Tidak lama kemudian Pyan sampai dengan CRV yang dipandu oleh isterinya. Saya membuka pintu dan duduk di belakang. Pyan menghulurkan komik Mat Som kepada saya dan membelek-belek menunjukkan wajahnya dan beberapa wajah lain yang dilukis oleh Lat. "Dia nak hadiahkan kepada kawannya," kata isterinya. Pyan juga menghulurkan majalah MIDI terbaru dan membelek halaman yang menunjukkan seorang wanita berjeket labuh warna putih berdiri di depan papan tanda Colour Vibration Therapy. "Saya punya isteri," katanya. Isterinya sudah saya kenali dan sudah beberapa kali bertemu. Beliau pernah menceritakan 'kuasa' warna dalam rawatan kecantikan dan perubatan.
Kami memasuki Jalan Ampang - mencari Restoran Farzana di Waterfront Ampang. Ketika itu hujan, tapi tidaklah lebat. Beberapa hari lalu Pyan telah meng-smskan saya: Jangan turun KL kalau tak perlu. Hujan.
Zurina, isteri Pyan meletakkan kereta di jalan belakang. Kami terpaksa melalui sebuah jembatan untuk sampai ke restoran itu. Di sana telah ada beberapa orang kawan sedang minum dan makan. Saya memberi salam. Mereka menjawab. "Oh mu! Bila mari? " tegur Buyung Zasdar yang hampir sudah saya lupa wajahnya. Bersamanya di meja itu ialah Tapa (Mustapha Hj Ibrahim, seorang pelukis), Zulkiflee Zain dan seorang lagi yang sudah saya lupa. Di meja satu lagi: Siti Zainon Ismail, Yam dan seorang lagi wanita yang saya tidak kenal. Yusof Gajah (Yusof Ismail) sedang bercakap-cakap dengan seseorang yang saya tidak kenal. Saya mengambil tempat di sebelah Siti Zainon. Omar Abdullah datang lewat sedikit.
Oleh kerana lama tak jumpa maka macam-macamlah tajuk cerita kami: tinggal di mana, apa projek sekarang,karya terbaru, buku yang dibaca. Abd Rahim Nazar, kawan yang diraikan, duduk di sebelah Yusuf. Dia telah menetap di Amsterdam sejak 1975. Saya lihat kepalanya bercukur licin. Garis panjang melintang dari kanan ke kiri kesan pembedahan masih jelas kelihatan. Dia mengajak kami singgah di rumahnya kalau ke Amsterdam. "Biliknya tidaklah luas. Tapi bolehlah kalau nak numpang tidur," katanya.
"Kami tak kisah," kata saya. "Dalam bilik air pun boleh kami tidur!" "Hah!Hah!Hah!" gelak Pyan, setelah kata-kata saya diterjemahkan oleh isterinya. Memang kami pernah tidur di bilik air yang diubahsuai di rumah Anak Alam dulu.
Yusuf sekali sekala mengambil gambar kami dengan kamera Leicanya.
Begitulah pertemuan di antara kawan lama dalam suasana yang cukup mesra hingga larut senja. Sayang Om (Latiff Mohidin), AGI (Abdul Ghafar Ibrahim) dan Wak (Khalid Salleh) tidak hadir
Hari Kedua
1. Sekolah mula dibuka. Haikal dihantar oleh abangnya, Asyraf dengan motosikal. Aku mengambilnya waktu tengah hari. Sejak tahun lepas, Haikal tak mau naik van. Katanya ketat macam sadin.
2. Terima buku-buku yang dipesan secara online dari Kinokuniya: Other Colors: Essays and a Story (Orhan Pamuk, Knopf 2007), Istanbul: Memories and the City (Orhan Pamuk, Faber 2005) dan The Gang That Wouldn't Write Straight (Marc Weingarten, Three Rivers Press, 2005).
3. Baca Bab 12: Nabi Muhammad dalam Karya Iqbal dari buku DAN MUHAMMAD ADALAH UTUSAN ALLAH oleh Annemarie Schimmel (Penerbit Mizan, 1999) sambil merujuk juga "Asrar-i Khudi" dan "Membangun Kembali Pikiran Agama dalam Islam".
4. Hubungi Dinsman. "Ya, ana ada di KB, Sabrina Court." jawabnya. Petang, lepas Asar bersama Darma jumpa Dinsman. Minum dan sembang-sembang di sebuah warung di Jalan Kebun Sultan. Dia menyatakan rasa sedihnya VCD yang pernah dibuatnya tentang Nik Aziz dicetak-rompak dan dijual di depan matanya. Waktu nak balik Dinsman menghadiahkan kami VCD "Wanita di Kelantan: Dihormati atau Didiskriminasi?"
5. Solat Maghrib di Masjid Muhammadi.
6. Cuaca: Hujan masih memanjang, dari pagi sampai ke petang.
Catatan Pada 01/01/2008
1. Solat Subuh di Masjid Kasa. Biasanya setiap hari di sinilah saya bersolat Subuh. Lepas solat ikut pengajian Al Quran hingga kira-kira waktu Isyrak: baca dan terjemahan. Pagi ini kami sampai ke ayat 30 hingga 40 dari Surah Yusuf. Majlis dipimpin oleh Ustaz Arifin.
2. Baca Berita Harian: Berita muka depan: Rakyat diminta berazam kekalkan keharmonian pada tahun baru. Tolak pelampau, kata PM. Dua rakyat kita cedera letupan bom di Golok.
3. Baca sajak-sajak Neruda dari antologi "I Explain a Few Things" (FSG,2007). Satu petikan dari sajak The Saddest Century:
The century of emigres,/the book of homelessness -/gray century, black book./This is what I ought to leave/written in the open book,/digging it out from the century,/tinting the pages with spilled blood.4. Ucapan Tahun Baru: Sms dari Pyanhabib: Selamat tahun masihi. Enta sudah kontak/jumpa dinsman? Sender: pyan + 60133635..., sent: 04:35:43pm 01/01/2008.
5. Cuaca: Hujan. Walaupun tidak, lebat tetapi memanjang.
Selamat Tinggal 2007, Selamat Datang 2008
Tahun lepas nampaknya saya banyak "berjalan". Mula-mula ke Bangkok (2-6 Mac, 2007), lepas itu ke Sabah (2 Mei - 11 Jun), ke Jakarta (3-8 Ogos), Cairo (2-5 Sept), Jeddah, Madinah Makkah (5-14 Sept). Sebelum itu saya baru saja balik mengerjakan haji pada 9 Januari. Saya ke Bangkok dan Jakarta ialah untuk menghadiri ijtimak dakwah, ke Sabah dalam rangka keluar (khuruj fi sabilillah) 40 hari bersama siswa USM, ke Cairo menziarahi makam Imam Syafie dan beberapa wali Allah dan beberapa masjid, termasuk Masjid Amru al 'As dan Masjid Saidina Hussein.
Pada tahun ini saya berazam untuk keluar 4 bulan ke negara jauh. Semoga Allah berikan saya kesihatan, murah rezeki dan panjang umur. Amin.