Kejora Di Kaki Langit

Judul: Kejora Di Kaki Langit
Pengarang: Darma Mohammad
Penerbit: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2008
Tebal: 540
Kejora Di Kaki Langit adalah novel terbaru Darma Mohammad.
"Chick lit," katanya ketika menghadiahkan novel itu kepada saya kira-kira dua bulan lalu. Saya memerhatikan kulitnya, ilustrasi dan bentuk huruf yang digunakan. Saya membelek-membelek dari kulit ke kulit sepintas lalu, membaca blurbnya. Darma tidak cuba bercakap tentang karyanya, kecuali sesudah saya membacanya dan bercakap tentang beberapa persoalan dan watak-watak yang ditampilkannya.
"Apakah sebenarnya chick lit?" Saya tanya Darma pada suatu hari yang lain. Darma menjelaskan kepada saya chick lit yang difahaminya. "Biasanya chick lit ditulis oleh orang perempuan untuk orang perempuan. Ceritanya juga tentang dunia perempuan."
Darma betul. Barangkali dia sudah pun mengkaji apakah chick lit itu.
Saya mencari pengertian chick lit dalam Wikipedia. Mengikut Wikipedia: Chick lit ialah suatu istilah yang digunakan untuk genre fiksyen yang ditulis dan dipasarkan untuk orang perempuan, terutama perempuan yang bekerja, belum kahwin, berusia dalam dua-puluhan dan tiga-puluhan.
Saya tidak kisah, apakah itu karya chick lit atau tidak. Novel ini bagi saya adalah menarik. Memang kisahnya kisah cinta, tetapi banyak unsur lain dimasukkan oleh Darma seperti falsafah, pendidikan dan ekonomi. Sebagai seorang penyair, bahasanya juga puitis terutama ketika beliau menggambarkan keindahan alam dan perasaan hati. Perhatikan petikan ini:
....menyemai cinta di laman hidup
....bertukar mekar dengan kuncup, bertukar resah dengan tenteram
Watak-wataknya adalah berpendidikan tinggi dan berfikiran matang, termasuk Aisyah, ibu Fatmi watak utama novel ini. Dazlan juga disukai oleh Fatmi kerana dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan berhujah dengan matang dalam sesuatu sesi perbincangan dan pembentangan.
Satu lagi yang menarik dalam novel ini, pengarang cuba memaparkan watak-watak yang suka membaca buku. Lalu disebutkan beberapa buku yang dibaca. Saya petik sebuah dialog di antara Fatmi dan Chong Peng Li:
"Buku ini sangat menarik," kata Chong Peng Li
Fatmi membelek-belek buku itu. Ia adalah sebuah antologi cerpen yang ditulis oleh seorang pengarang Perancis yang sungguh masyhur di seluruh dunia, Guy De Maupassant.
"Dah lama saya dengar nama pengarang ni,"kata Fatmi.
"Cerita-ceritanya bagus. Cuba baca cerpen The Necklace, tentu Fatmi akan terharu," kata Chong Peng Li...
Buku-buku lain yang disebut dan dibaca oleh watak-wataknya The Phantom of The Opera, Gadis Pantai, Bimbingan Mukminin, Minhajul Abidin.
Saya kira ini satu cara untuk mempromosikan buku.
Labels: Buku
Sirah Rasulullah

(Di antara Buku Sirah Rasulullah Dalam Koleksi Saya)
Di antara buku yang saya ulangi baca setiap tahun ialah Sirah Rasulullah (s.a.w.). Dalam koleksi saya terdapat beberapa buah yang saya beli sejak tahun 1980-an. Seingat saya, buku sejarah Rasulullah yang pertama saya baca ialah karangan Ustaz Abdullah Muhammad (NAKULA). Tetapi buku ini tidak ada dalam koleksi saya sekarang.
Buku kedua yang saya baca ialah SEJARAH HIDUP MUHAMMAD oleh Muhammad Husain Haekal yang diterjemahkan dari bahasa Arab oleh Ali Audah. Buku ini lebih bersifat bahasan daripada tuduhan orientalis terhadap beberapa segi dari kehidupan mulia Rasullah.
Buku lain ialah RIWAYAT HIDUP RASULULLAH SAW oleh Abul Hasan Ali An-Nadwi. Buku ini juga ditulis untuk menjawab kemusykilan-kemusykilan yang kerap diada-adakan oleh musuh-musuh Islam untuk mencemarkan kesucian sirah nabi dan kebenaran perjuangan kaum Muslimin.
Martin Lings, seorang sarjana Inggeris yang telah memeluk Islam (nama Islamnya: Abu Bakar Siraj al-Din), telah menulis riwayat hidup Rasulullah berdasarkan sumber terawal yang terdapat dalam bahasa Arab dari kurun ke lapan dan sembilan. Naratif buku ini kadang-kadang diceritakan secara lansung oleh orang yang mendengar dan menyaksikan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan nabi.
Buku THE LIFE OF MUHAMMAD yang diberi pengenalan dan nota oleh A. Guillaume, adalah terjemahan Sirah Rasulullah karangan Ibn Ishaq yang terkenal itu. Dalam buku ini, untuk pertama kali saya menemui semua nama yang terbabit dalam Perang Badr, iaitu seramai 314 orang - Muhajirin 83, Aus 61 dan Khazraj 170. Nama-nama Sahabat Nabi yang terbunuh seramai 8 orang juga disenaraikan.
SIRAH NABAWIYAH oleh Syaikh Shafiyyurrahman Al-Mubarakfury yang ada pada saya ialah terjemahan Kathur Suhardi dari bahasa Arab berjudul AR-RAHIQUL-MAKHTUM. Buku ini memenangi hadiah pertama dalam Pertandingan Menulis Sirah Rasulullah anjuran Rabithah Al-Alam Al-Islamy.
FIQH AL-SIRAH tulisan Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti merupakan salah satu bentuk penulisan sirah yang mempunyai cara dan pendekatan tersendiri. Penulisnya cuba memaparkan pengajaran-pengajaran dan hikmah dari setiap peristiwa yang dibentangkan. Begitu juga AL-SIRAH AL-NABWIYYAH oleh Dr Mustafa Al-Siba'ei mempunyai persamaan dengan kitab sirah karangan Al-Buti.
Buku terbaru dan terakhir yang ada dalam koleksi saya ialah BIOGRAFI MUHAMMAD BIN ABDULLAH oleh Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman. Pendekatan yang digunakan dalam biografi ini adalah pendekatan penceritaan yang agak santai. Objektif penulisannya dikatakan untuk orang bukan Islam.
PLKN
Kami sampai di Padang Majlis Daerah Machang kira-kira jam 9.00 pagi. Jalan di sekitar padang penuh dengan kereta. Ibu bapa dan anak-anak yang akan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan Dua Siri 5/2008 sudah memenuhi padang itu. Beberapa khemah untuk pendaftaran peserta dan urusetia didirikan di tengah padang. Kira-kira 20 buah bas telah sedia untuk mengangkut para peserta ke destinasi masing-masing.
Asyraf adalah di antara 3,276 peserta dari Kelantan yang terpilih. Dia akan menaiki bas yang akan membawanya ke sebuah kem latihan di Rembau. Mengikut Berita Harian hari ini, pergerakan kira-kira 37,000 peserta ke 82 kem latihan di seluruh negara semalam dan hari ini membabitkan penggunaan 959 buah bas serta penerbangan membawa peserta ke Sabah dan Sarawak.
Mengikut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Abdul Hadi Awang Kechik, tahun ini PLKN hanya membabitkan 110,000 pelatih daripada 484,909 remaja yang layak di seluruh negara.
Bas yang membawa pelatih ke Langkawi bertolak lebih awal, kerana mengejar feri. Kemudian diikuti bas-bas lain. Ketika kami meninggalkan padang itu kira-kira pukul 10.30 bas yang dinaiki oleh Asyraf belum lagi bertolak. Dan ketika saya menghubunginya kira-kira 8.00 malam, bas itu belum lagi sampai ke destinasinya.
Dua Dunia Anis Sabirin

Judul Buku: Dua Dunia
Pengarang: Anis Sabirin
Peberbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2008
Buku ini di antara buku yang cepat saya baca. Buku ini saya beli minggu lepas. Anis Sabirin, pengarang buku ini, adalah antara pengarang/penyair yang pernah saya minati waktu saya sekolah dulu. Sajak-sajaknya pernah saya gunting dan simpan. Buku lain yang pernah saya baca dari pengarang ini Dari Bayang ke Bayang (kumpulan cerpen, PN 1966), Mengenal Puisi (DBP, 1972) dan Simfoni (Kumpulan sajak, DBP, 1996).
Anis adalah seorang pengarang yang berani dan lantang. Dalam esei dan forum, dia membela kaum wanita yang dijadikan simbol seks dalam karya penulis-penulis lelaki. Dia berani berdebat dengan A. Samad Ismail, Awang Had Salleh dan Keris Mas dalam majlis-majlis forum dan seminar yang disertainya. Anis mendapat ijazah pertamanya dari Universiti Malaya, Singapura dan PhD (Ekonomi) dari Claremont Graduate School, Amerika Syarikat.
Dua Dunia, ialah sebuah memoir yang ditulis ketika beliau menjadi Karywan Tamu DBP. Banyak kisah menarik diceritakan Anis. Membaca buku ini seolah-olah kita membaca sebuah novel. Bahasanya kemas dan lancar.
Anis mula berhijrah ke Amerika sebagai mahasiswa, yang mendapat biasiswa Fulbright untuk mendapat Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam Kajian Asia Tenggara. Setelah mendapat ijazah itu beliau bertukar kepada bidang ekonomi dan akhirnya mendapat Ijazah MA dan PhD dalam bidang ekonomi antarabangsa. Dalam tahun 1980-an, beliau bertugas sebagai Profesor Adjung di beberapa buah universiti di Los Angeles.
Melihat senarai kandungan buku ini, sudah jelas kepada kita kepelbagaian tajuk dibincang dan dikisahkan oleh Anis: misalnya Saat Sebelum Berangkat, Berlumba Mencapai Kejayaan, Amerika Syarikat yang Utuh, Warga Tua di Amerika Syarikat, Jenayah dan Kekerasan, Hollywood Kota Seribu Impian, Masyarakat Pascaindustri Amerika Syarikat dan Mahasiswa Malaysia di Amerika Syarikat.
Satu sifat utama masyarakat Amerika Syarikat ialah sifat bersaing. Mengikut Anis, "Setiap orang berlumba-lumba untuk maju, untuk kaya, untuk berjaya, sama ada dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan, kedudukan dalam masyarakat atau apa-apa sahaja. Orang Amerika begitu terpesona mendengar cerita orang yang kaya raya, orang yang berjaya dan orang yang terkemuka. Masyarakat Amerika ialah masyarakat yang berorientasikan kejayaan."
Sebagai ahli ekonomi, dia tidak lupa menyentuh perkembangan ekonomi di Amerika. Dia menceritakan tentang usahawan Jepun yang berjaya mendirikan rangkaian restoran Benihama. Bagaimana dia datang sebagai mahasiswa ke Amerika, mula-mula menjual aiskrim, dan akhirnya mendirikan rangkaian restoran itu. Dia juga menceritakan kisah Bill Gates, usahawan muda yang baru berumur 38 tahun telah mempunyai nilai harta tujuh bilion ringgit kerana mendirikan syarikat Microsoft Software.
Pengalaman belajar, pengalaman bekerja menghadapi cabaran dan pengalaman berjiran, semuanya diceritakan.
Pengalamannya berkereta dari LA ke Washington juga menarik. Perjalanan ke ibukota Amerika Syarikat itu dengan kereta Volkswagen yang dipandu oleh suaminya mengambil masa lebih seminggu. Perjalanan panjang itu melalui Las Vegas, Atlanta, South Carolina, North Carolina, Virginia dan akhirnya Washington D.C.
Sebagai seorang penyair, Anis Sabirin tidak lupa juga menyelitkan beberapa buah sajak yang merakamkan kecintaan dan kerinduannya kepada tanah air. Tanah air ialah kekasih/Yang tak pernah kulupakan sepanjang umur/Tanah air ialah tumpuan/Kesetiaan dan cita-cita.
Beliau telah tinggal di Amerika Syarikat bersama suami dan dua orang anaknya selama 27 tahun (1967-1993).
Labels: Buku
Kuliah Pagi Sabtu
Pagi ini Ustaz memberi beberapa contoh negeri yang ditimpa bala oleh kerana penduduknya lalai dengan hiburan, keduniaan dan tidak menjaga agama Allah:
SABA'
Saba' adalah nama suatu kabilah Arab yang tinggal di Yaman. Mereka mendirikan sebuah kerajaan yang terkenal dan digelar oleh Allah dalam Al Quran "baldatun tayyibah" (negeri yang baik). Negeri ini dulunya kaya dan aman. Sebuah empangan yang hebat telah dibina untuk bekalan minuman dan mengairi pertanian. Allah berfirman bermaksud: "Makanlah olehmu dari rezeki yang dianugerahkan Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya! (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15).
Tetapi oleh kerana penduduknya lalai dan leka dengan hiburan, Allah Taala menghantarkan tikus-tikus untuk melubangi empangan itu yang akhirnya pecah dan runtuh. Firman Allah lagi: Tetapi mereka berpaling, maka kami datangkan kepada mereka banjir yang besar. (Saba', ayat 16).
Yaman kini kekal menjadi negeri yang mundur dan miskin. Rakyatnya ramai menjadi kuli dan hamba di Saudi.
KEMBOJA
Suatu masa dulu, Kemboja mempunyai ramai orang alim dan pondok-pondok pengajian agama. Mereka datang menuntut ilmu agama di Patani atau Kelantan. Mereka menggunakan kitab dan bahasa yang sama seperti di Patani dan Kelantan. Bahkan hari ini, masih terdapat perkataan-perkataan Kelantan yang digunakan dalam percakapan mereka. Tetapi apabila penduduknya lalai dengan hiburan dan keduniaan, amalan agama ditinggalkan, kerja "amr ma'aruf nahi mungkar" tidak dilakukan, maka Allah Taala telah menghantarkan seorang makhluk bernama Pol Pot, yang dalam masa tiga tahun pemerintahannya telah membunuh dengan kejam tiga juta rakyat Kemboja.
Ustaz memberi contoh tersebut dalam rangka mentafsir kalimah "rabb-al-alamin" dari Surah al Fatihah. Katanya Allah adalah pencipta-penjaga-pentadbir-pengurus-pemelihara alam ini. Bagi-Nya mudah saja untuk menurunkan 'bala' ke sesebuah negeri bila Dia kehendaki, biasanya setelah diberi beberapa tanda amaran. Di Saba' dihantarnya tikus, di Kemboja dihantarnya Pol Pot yang kejam.
Wallahu'alam