Tuesday, April 29, 2008

Chairil Anwar


Dalam tahun 1943, Chairil Anwar menulis sebuah sajak yang sangat terkenal, yang diakhiri dengan baris: "Aku mau hidup seribu tahun lagi." Ketika itu beliau baru berusia 20 tahun. Tetapi enam tahun kemudian, pada 28 April 1949 beliau telah meninggal dunia. "Sekali berarti sudah itu mati," tulisnya dalam sajak yang lain.

Meskipun menghasilkan hanya kira-kira tujuh puluh buah sajak asli sahaja, Chairil Anwar (1922-1949) telah meninggalkan impak yang besar dalam peta perpuisian Indonesia. Beliau dianggap pelopor Angkatan 45. Sajak-sajaknya dibaca dan dikaji oleh bukan saja pelajar sekolah menengah di Indonesia dan Malaysia, juga oleh siswa dan sarjana di dalam dan luar negara. Tarikh lahir dan tarikh matinya diingati.

Burton Raffel telah menterjemahkan sajak-sajak Chairil ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan dengan judul "The Complete Poetry and Prose of Chairil Anwar". Sjumandjaya telah menulis sebuah lakonlayar berdasarkan perjalanan hidup dan karya Chairil Anwar untuk difilemkan, tetapi tidak sempat kerana beliau meninggal dunia terlebih dulu.

Saya mula kenal dan membaca Chairil Anwar melalui "Kerikil Tajam" dan tulisan-tulisan H.B. Jassin dalam buku "Chairil Anwar Pelopor Angkatan 45" dan "Kesusastraan Indonesia Modern Dalam Kritik dan Esai." Ketika itu saya masih berada di bangku sekolah menengah.
Banyak perkara menarik boleh didapati daripada karya dan kehidupan Chairil. Misalnya sajak yang sama terdapat dalam beberapa versi. Sajak "Aku" dalam Deru Campur Debu menjadi "Semangat" dalam Kerikil Tajam. Bait pertama sajak "Aku" berbunyi:
Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau
sedangkan dalam versi Kerikil Tajam, sajak itu berbunyi:
Kalau sampai waktuku
kutahu tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau.
Dalam Kata Pengantar "Derai-Derai Cemara", Evawani Alissa, puteri kandung penyair ini mencatat:
Pada suatu ketika, Chairil pernah berkata kepada mama, mengenai cita-citanya.
"Gajah, kalau umurku panjang, aku akan jadi Menteri Pendidikan dan Kebudayaan," katanya. (Panggilan kesayangan mama adalah Gajah, kerana badannya memang gemuk).
"Ah, kalau umurmu panjang kamu bakal masuk penjara," gurau mama. Kemudian selanjutnya Chairil menyambung lagi,
"Tapi kalau umurku ditakdirkan pendek, anak-anak sekolah akan berziarah ke kuburku menabur bunga," demikian katanya.

Pada akhir-akhir kehidupannya beliau seperti menyedari bahawa "hidup hanya menunda kekalahan ... sebelum pada akhirnya kita menyerah." Beliau mengutarakan sajak ini, Derai-Derai Cemara dengan larik-larik yang tertib dan tenang.

hidup hanya menunda kekalahan,
tambah terasing dari cinta sekolah rendah,
dan tahu, ada yang tetap tidak diucapkan,
sebelum pada akhirnya kita menyerah.

Monday, April 28, 2008

Sepotong Sajak Terakhir Iqbal

Pada tanggal 21 April 2008 lalu, genaplah tujuh puluh tahun penyair besar Muhammad Iqbal meninggal dunia. Majalah Tempo, edisi 14-20 April 2008 menyiarkan beberapa artikel untuk mengingati pujangga yang dilahirkan pada 9 November 1877 ini. Di antaranya sebuah tulisan Abdul Hadi W.M., seorang penyair terkenal Indonesia, "Kerajaan Cinta dalam Senyap Mawar".

Membaca artikel ini telah mengingatkan saya kepada beberapa buah karya Iqbal yang telah saya baca seperti Asrar i Khudi, Pesan Dari Timur, Javid Namah dan Membangun Kembali Pikiran Agama Dalam Islam. Buku terakhir ini diterjemahkan oleh Ali Audah, Taufiq Ismail dan Goenawan Mohamad. Buku ini memuat sebuah pengantar yang sangat baik tentang Iqbal, ditulis oleh Ali Audah.

Iqbal telah menghasilkan karyanya dalam beberapa bahasa. Karangan berupa prosa ditulisnya dalam bahasa Inggeris, sedang puisi dalam bahasa Urdu dan Parsi berganti-ganti.

Peristiwa penting dalam hidup Iqbal, mengikut Ali Audah ialah terbitnya buku Asra-i-Khudi dalam tahun 1915, yang berisi ajaran-ajaran Iqbal tentang ego dan perjuangan hidup.

Mengikut Abdul Hadi, sajak Iqbal memberi dampak yang begitu kuat. Ia menganjurkan keberanian dan keharusan manusia merealisasi diri. Sajaknya merupakan paduan antara pemikiran yang dalam dan perasaan yang intens, yang diekpresikan dengan gaya Parsi penuh ketenangan.

Setengah jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, masih sempat ia membisikkan sajaknya yang terkenal:

Melodi perpisahan boleh menggema atau tidak
Bunyi nafiri boleh bertiup lagi dari Hijaz atau tidak
Saat si Fakir telah sampai ke batas terakhir
Pujangga lain boleh datang atau tidak.


Selain meninggalkan karya puisi dan prosa, Iqbal juga seorang negarawan yang telah memberi sumbangan besar dalam pembentukan negara Pakistan, yang berdiri sembilan tahun setelah kematiannya.

Saturday, April 19, 2008

Lagu Penunggang


Cordoba.

Jauh dan sendiri.


Kuda hitam, bulan purnama,

dan buah zaitun di kantung pelana.

Meski kutahu jalannya

Aku takkan capai Cordoba.


Merentas padang, menempuh angin

kuda hitam, bulan merah.

Kematian merenungi daku

dari menara Cordoba.


Ah, betapa panjangnya jalan!

kudaku gagah berani

terasa kematian menunggu

sebelum kucapai Cordoba.


Cordoba.

jauh dan sendiri.


Federico Garcia Lorca (1898-1937)

Penyair Sepanyol

Diterjemahkan oleh Wan A. Rafar dari terjemahan Inggeris oleh Stephen Spender dan J.L. Gili (The Selected Poems of Federico Garcia Lorca, A New Directions Paperback, 2005).

Tuesday, April 15, 2008

Buku Tentang Buku



Saya mempunyai beberapa buah buku tentang buku dan pembacaan. Buku terakhir yang ada pada saya berjudul "1001 Books You Must Read Before You Die". Buku ini saya beli setelah saya membaca ulasan Baha Zain dalam Dewan Masyarakat Mac 2008. Buku ini mengandungi pembicaraan ringkas novel pilihan yang ditulis sejak sebelum 1700 sehingga 2005. Buku ini akan menjadi rujukan penting kepada mereka yang ingin mengetahui karya penting dunia dalam bahasa Inggeris - karangan asli atau terjemahan daripada bahasa Itali, Jerman , Belanda, Portugis, Sepanyol, Rusia, Cina, Jepun dan Korea.


Karya novelis terkenal seperti Toni Morrison, John Updike, Margaret Atwood, Milan Kundera, Kazuo Ishiguro, J.M. Coetzee, Jose Saramago, Garcia Marquez, Arundhati Roy dan nama besar dunia sastera seperti Leo Tolstoy dan Dostoyevsky turut tersenarai dan dibicarakan. Bahkan karya bukan fiksyen seperti "The Electric Kool-Aid Acid Test" oleh Tom Wolfe dan "Wild Swans" oleh Jung Chang juga turut dibicarakan.


Setiap ulasan ditulis oleh lebih daripada 100 orang sarjana atau pengkritik secara ringkas, tetapi padat dalam kira-kira 300 perkataan sahaja.


Buku lain yang ada pada saya ialah "For the Love of Books" (Ronald B. Shwartz, Berkley Books, 2000). Buku ini memuat senarai buku yang dibaca dan meninggalkan kesan kepada lebih 100 orang penulis terkenal - kebanyakannya Amerika, Kanada dan British - termasuk novelis, cerpenis, penyair, penulis skrip, penulis esai, wartawan dan pengkritik seperti John Irving, Doris Lessing, Robert Bly, W.S. Merwin, Arthur Miller, Michael Ondaatje, Carol Shields dan Kurt Vonnegut.


Buku ini bertolak dari respon kepada pertanyaan: What books have left the greatest impression on you and why? Untuk itu penyusun buku ini telah menghantar lebih daripada 3,000 surat, faks dan e-mail. Penyusun mengharapkan buku ini akan menjadi inspirasi kepada pembaca untuk membaca lebih banyak lagi terutama dalam dunia yang digerhanakan oleh media elektronik seperti sekarang.


Sebagai contoh apakah buku yang telah banyak mempengaruhi Mario Puzo, pengarang The Godfather? atau Nadine Gordimer, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 1991?

Buku "Books of the Century" pula menyenarai dan membicarakan secara ringkas buku-buku pilihan New York Public Library. Pembaca akan menemui lebih daripada 150 karya yang dibincangkan dalam beberapa kategori yang menggambarkan tema penting dalam kurun ini, di antaranya Landmarks of Modern Literature (seperti Remembrance of Things Past, The Waste Land, Ulysses, The Great Gatsby dan Waiting for Godot), Protest and Progress (The Grapes of Wrath), Mind and Spirit (The Interpretation of Dreams, The Prophet), Popular Culture and Mass Entertainment ( Gone With The Wind, Peyton Place dan In Cold Blood) dan Economics and Technology (The Affluent Society, Small Is Beautiful).

Setiap buku dipekenalkan dengan ringkas dan signifikannya.

Labels:

Sunday, April 06, 2008

Pembedahan

Mama sudah dua hari dibenarkan keluar wad. Dia selamat menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedunya Rabu lalu. Dia dimasukkan ke Wad 28 HRPZ II Kota Bharu dua hari sebelum itu. Mama telah disahkan ada batu dalam hempedunya pada Ogos tahun lepas. Ketika itu dia mengalami sakit perut yang amat sangat. Kami membawanya ke sebuah klinik swasta. "Pada pendapat saya," kata doktor," tanda-tanda sakit begini, ada batu dalam hempedu."

Memang setelah beberapa kali berjumpa doktor pakar, perut diimbas dan di x-ray, doktor mengesahkan ada batu dalam hempedu. Lalu diberi tarikh untuk pembedahan.

Saya tidak tahu bagaimana proses pembedahan dilakukan. Tetapi dalam pertemuan sebelum pembedahan, beberapa orang doktor memberitahu mama batu itu akan dikeluarkan secara menebuk perut mama. Kalau tidak boleh dikeluarkan cara itu, barulah pembedahan akan dilakukan.

Proses pembedahan memakan masa agak lama. Mama mula dibawa masuk ke bilik bedah pada pukul 8.45 pagi, dan dibawa keluar pukul 3.45 petang.

Ketika sampai di pintu kedua dewan bedah, jururawat bertugas dengan wajah ceria mengemukakan beberapa pertanyaan kepada mama, barangkali untuk menghilangkan rasa takut mama; antaranya apakah tujuan dibawa ke situ, tarikh lahir, no kp dan nama suami. Semua soalan dijawab oleh mama. "Bagus! Lulus!" katanya.

"Pembedahan ini makan masa dua jam atau lebih sikit," kata jururawat kepadaku sebelum menolak masuk katil mama ke dalam. "Tuan boleh menghubungi kami di dalam untuk mengetahui perkembangan dengan menekan alat itu," katanya lagi.

Akhirnya, setelah tujuh jam berlalu, mama dibawa keluar dari dewan bedah dan dibawa semula ke wad 28. Alhamdulillah, kami semua bersyukur. Pembedahan selamat dijalankan.

PS: Pembedahan yang dijalani oleh mama dipanggil Laparoskopi - operasi dengan lubang kecil, satu perkembangan teknologi dunia kedoktoran yang berbeza dengan pembedahan konvensional dengan operasi yang lebih luas. Kini, teknik laparoskopi sudah umum dilakukan untuk mengeluarkan batu dalam hempedu, usus buntu dan hernia.

Labels: