Wednesday, July 30, 2008

Pulau Syros, Greece

Minggu lepas kami telah pergi ke Pulau Syroz. Pulau ini terletak di tenggara Athens. Kami pergi ke sana dengan menaiki sebuah cruise. Perjalanan mengambil masa lebih kurang lima jam. Oleh kerana perjalanan itu dibuat pada malam hari, maka kami tidak dapat menikmati keindahan alam sekitar Laut Aegean sepenuhnya. Tetapi kami beruntung kerana malam itu bulan masih bersinar dan angin berhembus dengan nyaman.

Walau pun kapal ini tidak secanggih Titanic, tetapi kelengkapan yang disediakan memang tidak kurang hebatnya, lengkap dengan bilik tidur, kolam mandi dan cafe.

Penumpang-penumpang pada malam itu kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Greece yang akan menghabiskan cuti musim panas dan hujung minggu di pulau itu.

Kami juga dapat menikmati keindahan pulau Syros jam 03:00 pagi sewaktu kapal perlahan-lahan menghampirinya. Lampu-lampu dari rumah kediaman masih menerangi suasana malam.

Greece mempunyai banyak pulau peranginan yang indah. Tetapi kami dihantar ke pulau itu kerana terdapat sekelompok orang-orang Pakistan dan sebuah masjid di situ. Kebanyakan mereka bekerja di kebun-kebun anggur, tomato dan kentang. Ada juga yang sudah lama menetap di situ menjalankan perniagaan runcit dan membuka kedai roti.

Kami berada di pulau itu selama empat hari. Kami dilayan dengan baik seperti keluarga sendiri. Selama dua hari berturut-turut kami dijamu dengan susu lembu dan daging kambing yang dipelihara sendiri oleh mereka.

Walau pun hanya empat hari berada di situ, kemesraan yang wujud antara kami seperti sudah bertahun.

Monday, July 07, 2008

Athens(2)

Kami masih di Athens. Kebanyakan penduduk Islam di sini terdiri daripada orang Bangla dan Pakistan, juga keturunan Arab dari Palestin, Jordan dan Syria. Mereka mempunyai beberapa masjid sendiri yang diubahsuai dari bangunan kediaman. Orang Bangladesh sendiri mempunyai kira-kira 10 masjid di Athens.

Mereka juga menguasai beberapa bidang perniagaan seperti komunikasi dan peruncitan. Dan lebih penting mereka mempunyai fikir agama. Mereka berusaha menghidupkan amal agama di kalangan mereka dengan melakukan sembahyang jemaah dan kerja-kerja dakwah.

Mereka banyak membantu kami. Bahkan makan minum kami juga mereka sediakan.

Saturday, July 05, 2008

Athina, Greece

Kami sampai di Athina (sebutan orang tempatan untuk Athens) dua hari lepas. Kami memasuki Greece melalui jalan darat dari Istanbul. Kami dihantar ke sempadan Turki-Greece oleh seorang teman dengan vannya. Di sempadan kami diperiksa dengan agak ketat oleh imigresen dan polis. Beg kami diselongkar satu persatu. Macam-macam pertanyaan dikemukakan.

Selepas pemeriksaan, kami berjalan lebih daripada satu kilo untuk mendapatkan bas ke Komotini, sebuah bandar yang mempunyai ramai penduduk Islam. Kami sebenarnya teraba-raba kerana tidak ada rahba (guide). Kami mendapat maklumat ini dari seorang pekedai runcit berbangsa Turki. Masalah kami ialah tidak tahu berbahasa Turki atau Greek. Mereka pula tidak tahu berbahasa Inggeris. Bahasa isyarat dan bahasa tangan menjadi bahasa utama.

Untuk sampai ke Komotini, kami terpaksa menaiki beberapa bas. Dari Kastanis, bandar sempadan ke Orestiada. Dari Orestiada ke Alexandroupoli. Dan dari Alexandroupoli ke Komotini. Kami terpaksa menghubungi beberapa nama yang diberikan kepada kami semasa di Istanbul, tetapi kami tidak tahu lokasi mereka tinggal. Tetapi akhirnya kami sampai di Komotini dan dibawa ke sebuah masjid masyarakat Turki.

Komotini didiami ramai masyarakat Islam Turki. Mereka mendiami kawasan itu sejak zaman Ottoman lagi. Susah untuk mengenali orang Islam di sini. Pakaian mereka sama - berkemeja dan berseluar, bahkan waktu sembahyang juga. Mereka dapat dikenali apabila mereka memberi salam. Banyak masjid di sini. Bahkan masjid jamik terdiri di tengah-tengah bandar Komotini.

Setelah beberapa hari di Komotini, kami ke Athina dengan kereta api. Perjalanan mengambil masa lebih daripada sepuluh jam. Kami tidak dapat menikmati pemandangan di sepanjang jalan ke Athina, kerana perjalanan itu adalah malam hari. Hanya beberapa jam sebelum sampai ke Athina baru dapat kami melihat pemandangan di luar. Banyak kebun anggur dan zaitun di sepanjang jalan. Pertanian nampaknya dititik-beratkan di Greece. Di beberapa tempat kelihatan juga kebun bunga mata hari yang menguning.

Sekarang musim panas. Siang lebih panjang daripada malam. Pukul 9:00 malam baru masuk Maghrib dan Isyak pukul 11.00. Pukul 4.00 pagi sudah masuk waktu Subuh.

Kami akan berada kira-kira sebulan di Greece, sebelum bertolak ke Itali.