Monday, October 27, 2008

Tentang Hemingway, Eco dan Itali


Sudah lebih sebulan saya pulang dari Itali. Tapi kenangan selama 40 hari di sana masih segar. Jalan dan lorong yang saya lalui, bangunan yang saya tengok, pizza yang saya nikmati, orang-orang yang saya temui, semuanya masih segar dalam ingatan. Kesibukan di Milan dan Bologna, kesegaran udara bukit di Gardone dan Pieve di Soligo, keindahan seni bina di Brescia dan Schio, ketenangan di Padova, semuanya masih terakam dalam ingatan.


Segala-gala tentang Itali nampaknya saya suka. Buku-buku dan artikel tentang Itali saya baca. Puisi-puisi penyair Itali yang ada dalam simpanan saya, saya nikmati kembali.

Dan sekarang saya sedang membaca novel A Farewell to Arms karya Ernest Hemingway berselang-seli dengan puisi-puisi Eugenio Montale, Cesare Pavese dan Giuseppe Ungaretti. Hemingway menggunakan beberapa bandar di utara Itali seperti Mestre, Vicenza, Verona dan Milan sebagai latarbelakang novel ini. Dan tentulah menarik dan meninggal kesan istimewa kepada saya kerana saya telah pun menjejak dengan kaki sendiri bandar-bandar itu.

Verona pula menjadi latarbelakang kepada karya Shakespeare Romeo dan Juliet, Venice latar belakang kepada Merchant of Venice.

Ezra Pound, penyair Amerika yang terkenal sebagai "poet's poet" menetap di Itali dan meninggal di Venice.

Umberto Eco, tokoh semiotik terkenal dan pengarang novel The Name of the Rose rupanya mengajar di Universiti Bologna. How to Travel with a Salmon adalah kumpulan esai yang ditulis oleh Eco tentang berbagai topik seperti bagaimana makan dalam kapal terbang, bagaimana menjadi host tv, bagaimana melalui pemeriksaan kastam, bagaimana kalau tidak menggunakan telefon selular dan bagaimana makan aiskrim.

Filem-filem Itali lakonan Sophia Loren juga menarik. Dan La Vita e Bella (Life is Beautiful) sebuah filem Roberto Benigni juga sukar dilupa.

Oh Itali!