Bicara Karya di Cameron Highlands
Saya baru kembali dari Cameron Highlands - menghadiri Majlis Bicara Karya Wilayah Timur 11-13 November 2008 anjuran DBPWT. Kami ke sana berempat - Norhisham Mustafa, Aziz Mohd Noor, Abdul Hadi Yusoff dan saya - menaiki kereta Abdul Hadi. Perjalanan pergi ikut Jeli mengambil masa kira-kira enam jam. Jalan dari Jeli ke Jerimbong, yang menjadi jalan alternatif ke KL untuk mengelak kesesakan jalan KK-Gua Musang ketika musim hari raya, sudah agak banyak rosak dan berlubang. Dan jalan dari simpang Kuala Betis ke Brincang, walaupun jalan baru, masih banyak yang berliku.Saya telah diminta membicarakan tentang, "Puisi dalam Kembara" pada Sesi 1 selepas makan malam, malam itu. Saya memulakan catatan saya dengan kutipan sajak A. Latiff Mohidin, seorang penyair-pelukis pengembara yang saya mula-mula ingat jika disebut penyair kembara, dan kata-kata dari Matsuo Basho, seorang penulis haiku Jepun yang terkenal.
Dalam pembicaraan itu, saya antara lain menyebut bahawa bagi seorang penyair, tanah asing mungkin dapat memberi idea dan kesegaran baru dalam karya mereka. Saya juga menyebutkan bahawa pengembaraan bukanlah asing bagi penyair atau seniman. Semaklah perjalanan hidup penyair-penyair besar dunia, kata saya, nescaya akan ditemui kehidupan mereka yang tak terpisah dari pengembaraan. Jalaluddin Rumi, Matsuo Basho, Federico Garcia Lorca, Pablo Neruda dan Octavio Paz adalah di antara penyair pengembara. Saya juga mengambil contoh puisi-puisi yang dilahirkan hasil dari pengembaraan seperti karya Rendra, Muhammad Haji Salleh dan T.Alias Taib.
Saya turut membaca puisi-puisi karya Eugenio Montale dan Giuseppe Ungaretti, dua orang penyair besar Itali dalam bahasa Itali.
2.
Zaen Kasturi turut dijemput untuk membicarakan empat kumpulan sajak yang masing-masing ditulis oleh Nassury Ibrahim (Elipsis), Wikunila MS (Rahim Hayat), Sahrunizam Talib (Di Ruang Ini) dan Marsli NO (Kepada Angin Juga). Pembicaraan Zaen agak menarik, kerana dia melihat ke empat-empat antologi itu dari sudut yang agak berbeza dari pengkritik lain. Untuk dua kumpulan pertama dilihat menerusi kacamata psikologi harapan, dan dua kumpulan kedua dari sudut potensi membangun petunjuk normatif.
Keempat-empat penyair juga diberi peluang untuk membicarakan karya masing-masing. Nassury dengan tajuk "Nikmat Sajak", Wikunila "Kolaj Kehidupan yang Sederhana", Sahrunizam "Satu Dasawarsa Di Ruang Ini" dan Marsli "Pengakuan dan Kesaksian Seorang Penyair dalam Kepada Angin Juga".
3.
Ketika makan malam, saya diperkenalkan kepada seorang wanita Jepun yang fasih berbahasa Melayu. Dia sudah tujuh tahun bermukim di Malaysia. Namanya Saki Sasamori. Dia dijemput khas oleh DBPWT untuk membimbing peserta teknik bercerita kepada kanak-kanak. Sayang saya tidak sempat mengikuti sesinya.
4.
Pada malam akhir satu persembahan peserta-peserta yang mengikuti program Bulan Bahasa dan Sastera Negara diadakan. Persembahan mereka - termasuk sketsa, wayang kulit dan dikir barat - juga menarik dan menghiburkan. Aminuddin Mohamad, Rahimiddin Zahari, Zaen Kasturi, Abdul Hadi Yusoff dan Marsli NO turut memeriahkan malam itu dengan pembacaan puisi masing-masing.
5.
Kami bertolak balik pada tengah hari Khamis ikut Gua Musang. Hujan renyai mengiringi kami, terutama setelah memasuki Kuala Krai. Aziz sentiasa mengingati Hadi yang kadang-kadang memotong pada tempat yang kurang sesuai. "Kalau nak memotong lori, lebih baik ketika mendaki bukit daripada ketika menurun," kata Aziz.
