Wednesday, December 31, 2008

Catatan Akhir Tahun

Saya ingin mencatat sepotong sajak dan sebuah haiku, untuk catatan akhir tahun ini:


1. Dari Rumi (1207 -1273)

I sit silent, lips shut
and yet
I speak volumes
without words
tonight


2. Dari Basho (1644 - 1694)

Year's end,
all corners
of this floating world, swept.

Tuesday, December 30, 2008

Khatam

Pagi ini, kami sekali lagi dapat mengkhatamkan pengajian al Quran kami. Pengajian kami dipimpin oleh Ustaz Arifin, diadakan setiap pagi selepas solat Subuh hingga waktu Isyraq, kecuali pagi Jumaat dan Sabtu. Teks yang kami gunakan ialah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Qur'an.

Mula-mula ustaz akan membaca satu atau dua ayat, kemudian kami mengikutinya. Selepas itu ustaz akan membaca terjemahan keseluruhan ayat yang dibaca, diikuti kata demi kata atau frasa demi frasa. Dengan cara itu kami juga secara tidak langsung dapat mempelajari bahasa Arab.

Pengajian ini sudah beberapa kali khatam, tetapi saya hanya baru dua kali. Itu pun banyak juga yang saya tidak sempat hadir. Saya harap pada tahun ini saya dapat mengikuti pengajian ini sepenuhnya.

Friday, December 26, 2008

Mumbai

Perjalanan kami di Mumbai bermula dan berakhir di Bandra Terminus. Kami tiba di perhentian kereta api di utara Mumbai ini kira-kira pukul 3.30 petang setelah lebih 22 jam perjalanan dari New Delhi dengan Paschim Express, Train No 2926. Kami dinasihatkan supaya turun di perhentian ini untuk mengelakkan kesesakan.


Kami disambut oleh beberapa orang rakan. Tidak susah untuk kami bertemu kerana penumpang yang turun-naik tidaklah terlalu ramai. Kami dibawa ke sebuah masjid di kawasan barat Bandra. Saya menaiki kereta Maruti kepunyaan seorang sahabat bernama Sufian.

Beberapa jalan yang kami lalui agak sibuk ketika itu. Dari pinggir Teluk Mahim, kelihatan dari jauh bangunan-bangunan hotel atau apartmen yang tersergam. Mumbai ialah kota raya komersial dan kewangan terbesar di India. Ia menjadi tarikan bukan saja kepada orang-orang kaya, tetapi juga orang-orang miskin. Sewaktu kami berada di sebuah masjid tidak jauh dari lapangan terbang antarabangsa Mumbai, kedengaran kapal terbang setiap 5 atau 10 minit.

Gubuk-gubuk buruk, dinding-dinding kotak adalah pemandangan biasa. Ibu yang memasak, anak-anak yang berlarian, lelaki yang masih berselimut di tepi jalan dapat dilihat di banyak tempat. Dikatakan lebih separuh daripada 16.3 juta penduduk Mumbai tinggal dan membesar di atas jalan raya atau di gubuk-gubuk kotak itu, dan puluhan ribu pula hidup dengan mengemis.

Mengikut majalah Time (15 Disember 2008), 13.4% daripada 138 juta penduduk Islam India adalah miskin dan tidak berpelajaran dan mereka juga tidak diwakili dalam kedua sektor pekerjaan terbesar di India- sistem kereta api dan perkhidmatan kerajaan.

Namun Mumbai tetap menjadi impian. Mereka sentiasa bersesak-sesak keluar masuk Mumbai, dengan kereta api atau bas. Filem-filem Bollywood tidak banyak menggambarkan kesempitan hidup ini, sebaliknya kemewahan masyarakat kaya yang glamor dengan rumah besar dan hiburan.

Peristiwa berdarah yang berlaku di Mumbai sebulan lalu tentu sekali tidak menjejaskan keharmonian dan kedamaian Mumbai. Mumbai tetap riuh dan sesak.