Asyura
Bulan Muharam adalah bulan Asyura. Orang kampung akan membuat bubur asyura (Kelantan, syura saja) setiap tiba bulan Muharam, terutama selepas 10 Muharam. Surau dan masjid juga akan membuat bubur asyura, kadang-kadang sampai tujuh lapan kawah. Sekolah juga biasa membuat asyura.Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak dulu bagaimana orang kampung bergotong royong menyediakan bubur asyura ini, mengikut kemampuan masing-masing. Ada orang menyedekahkan wang atau beras, ada orang menyedekahkan kelapa, daging, gula, rempah dan bahan-bahan lain. Ada pula yang menyediakan kayu api. Ada pula yang hanya menyedekahkan tenaga, mengoyak dan mengukur kelapa, mengawal api dan mengacau.
Bahkan saya masih ingat, saya dan rakan-rakan membantu mengumpulkan kelapa atau beras dari rumah ke rumah.
Biasanya mereka akan mulakan kerja selepas 'Asar hari Khamis. Ada yang mengoyak bawang, belah dan kukur kelapa, ada yang sediakan dapur dan menyalakan api. Apabila bahan-bahan sudah disediakan, kawah sudah di atas dapur, maka mereka mulalah memasukkan bahan-bahan itu ke dalam kawah. Mereka bergilir mengacau bubur itu hingga masak. Kadang-kadang sampai tengah malam, baru masak, atau kadang-kadang sampai ke subuh.
Kanak-kanak melicinkan tempurung untuk dibubuh syura panas bila masak nanti. Saya masih ingat sungguh enak makan syura ramai-ramai dalam tempurung. Atau atas daun pisang.
Syura yang sudah masak akan dibubuh dalam talam atau dulang untuk dimakan oleh orang ramai. Dan syura itulah yang akan dihidangkan untuk para jemaah pada hari Jumaat.
Kini suasana itu sudah tidak ada lagi. Syura sudah jarang disediakan. Kata mereka, penat. Tidak ada yang sanggup menyediakannya, tidak ada yang sanggup bersengkang mata. Masa yang diambil agak lama, sedang memakannya tak seberapa.
"Mereka tidak tahu nilai dan hikmah di sebaliknya," kata ustaz yang berkuliah di masjid kami pada pagi Jumaat lepas. "Sebenarnya di situlah letaknya nilai kerjasama dan gotong royong, perpaduan dan silaturrahim di kalangan masyarakat kampung," tambah ustaz itu lagi.
"Amalan ini patut dihidupkan semula," anjurnya.
Dia lalu menceritakan asal mula bubur asyura ini.
Ia dimulakan oleh Nabi Nuh 'a.s. tanda kesyukuran setelah selamat daripada banjir besar. Nabi Nuh meminta kaumnya mengeluarkan bahan-bahan yang ada pada mereka seperti kacang, beras, gandum atau apa saja lalu dibuat bubur. Peristiwa itu berlaku pada 10 Muharam, setelah berada di atas bahtera selama enam bulan, iaitu bermula dari 10 Rajab.

1 Comments:
asal dari kalimah 'asyara = sepuluh.
dimasak bubur ni selepas 10 muharram.
ya, nostalgia zaman kecil dulu..kini sekawah syura mahu ratusan rm habisnya tambah2 jika dibubuh daging..tambah sedap!
Post a Comment
<< Home