Sunday, October 04, 2009

Terkandas di Jeddah

Pesawat Airbus A310 kepunyaan Biman, syarikat penerbangan Bangladesh yang saya tumpangi dari Dhaka selamat mendarat di KLIA tepat jam 01:30. Kami berenam baru saja berkunjung ke Tanah Suci mengerjakan umrah bulan Ramadhan.


Sebelum itu kami terbang dari Jeddah dengan syarikat penerbangan yang sama. Sudah dua malam kami terkandas di Jeddah. Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz pada petang Khamis. Penerbangan kami dijangka berlepas jam 05:00 pagi Jumaat.

Sebaik kaunter check-in dibuka kami terus menolak troli yang penuh barang-barang, beratur di salah satu kaunter yang ditetapkan untuk ke Dhaka. Kami yang nak ke Kuala Lumpur, diminta beratur di kaunter hujung sekali. Kami sungguh terkejut apabila diberitahu kami terpaksa membayar USD50.00 untuk membolehkan kami terbang. Teket kami rupanya belum diupgrade walaupun sudah reconfirm. Pakca memberitahu bahawa beliau telah menjelaskan bayarannya melalui wakil penerbangan di KL, tetapi mengikut pegawai bertugas tidak ada di dalam sistem komputer Biman Jeddah. Dia minta bukti pembayaran dari Pakca. Tapi Pakca tidak mempunyai resit dan tidak dapat membuktikannya.

Kami terpaksa mengumpulkan jumlah wang tersebut untuk enam orang. Dan pihak Biman hanya menghendaki USD saja. Kami terpaksa menukarkan wang ke dalam mata wang USD. Kemudian apabila wang diserahkan, mereka meminta nombor tiket pula. Pakca terpaksa menelepon ke KL untuk mendapatkan nombor itu. Apabila nombor diserahkan, pegawai itu mengatakan bahawa nombor itu bukan nombor tiket. Keadaan sungguh agak gawat. Menelepon KL lagi. Kredit hp dah hampir habis. Kami diminta menemui pengurus di pejabatnya.


Akhirnya masa check-in berakhir. Pegawai itu meninggalkan kaunter. Tunggu esok saja, katanya. Kami pun dengan lesu menolak 3 troli barang-barang keluar dan mencari tempat yang sesuai untuk menunggu satu hari dan satu malam lagi.


Peristiwa ini sungguh menguji kesabaran kami. Pakca sudah pun meninggikan suara dengan pegawai bertugas dan wakil penerbangan di KL. Dan kepada kami, berkali-kali meluahkan rasa kecewanya.



2/


Kami berusaha menemui pengurus Biman di Jeddah. Kali ini kami cuba menukar pendekatan yang lebih lembut, lebih diplomatik - memujuk dan merayu. Pegawai bertugas itu pun nampaknya bersimpati dan bersedia membantu kami. Sambil menghadapi komputer sambil bercerita. Kami pun bertanya sudah berapa lama bertugas di Jeddah dan jumlah keluarganya. Bagaimana dengan keadaan Jeddah dan wanita Arab.

Akhirnya kami berjaya mendapat tiket. Bahkan berjaya juga mendapat jaminan sarapan, makan tengah hari dan makan malam di kafetaria lapangan terbang, Le Cuisine.

Kami terpaksa lepak di lapangan terbang sehari lagi - tidur di atas kerusi, keluar mengambil angin atau masuk ke masjid membaca Al Quran. Di lapangan terbang ini, nampaknya tidak ada kedai buku seperti di lapangan terbang negeri lain. Saya juga tidak nampak orang membaca. Apakah orang Arab tidak suka membaca?

Sesekali saya membuka juga buku yang saya bawa dari rumah.


3/

Saya juga suka membaca tayangan komputer tentang jadual ketibaan dan pelepasan beberapa syarikat penerbangan di lapangan terbang ini. Penerbangan kami BG038 ke Dhaka mula keluar menjelang tengah malam: berlepas 06:30. Tentu sekali kami dapat menunaikan solat subuh di lapangan terbang bukan dalam pesawat.

Apabila kaunter check-in dibuka, kami diberi keistimewaan. Kami dipanggil awal. Borang transit juga diisi oleh pegawai bertugas. Barang-barang kami ditimbang dan tidak dikenakan sebarang bayaran, walaupun saya percaya beratnya berlebihan daripada yang dihadkan.

Kami mula masuk ke dewan pelepasan dan menunggu waktu subuh di surau.

Tetapi kami terkejut sebaik saja kami selesai solat Subuh, kami dipanggil segera kerana pesawat akan berlepas beberapa minit lagi. Rupanya kami berenam adalah penumpang yang terakhir sekali. Kami berlari menuju pintu. Pegawai-pegawai bertugas menyemak boarding pass kami. Ada yang sibuk menyemak di komputer. "Kamu tidak tahu, pesawat akan segera berlepas?" salah seorang bertanya dalam bahasa Inggeris. "Bukan 06:30?" tanya kami. "Bukan. Itu salah! Bukankah kami dah beritahu masanya 05:30? Cepat!" Kami segera menaiki bas shuttle yang sedang menunggu dan membawa kami ke pesawat.

Penumpang-penumpang lain ( kebanyakan Bangladesh) sudah pun berada di tempat duduk masing-masing. Kami adalah penumpang yang terakhir.


4/

Penerbangan dari Jeddah ke Chittagong mengambil masa kira-kira enam jam. Dan satu jam lagi ke Dhaka.

Kami sampai ke Dhaka hampir Maghrib. Kami tunaikan jamak Zohor dan Asr dahulu, sebelum menguruskan sambungan penerbangan kami ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, kami bernasib baik penerbangan malam itu masih lagi terdapat kekosongan. Jadi tidaklah lama kami menunggu.

Kami temui lagi beberapa orang jemaah dari Malaysia yang akan bersama kami ke Kuala Lumpur. Mereka tiba di Dhaka semalam. Dan mereka juga telah membayar untuk "transit visa" sebanyak USD20.00 seorang.

Penerbangan Dhaka-Kuala Lumpur mengambil masa tiga setengah jam. Sebaik saja pesawat berlepas, saya terus terlena dan terjaga apabila dikejutkan untuk makan malam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home