Nama
"Dan Dia mengajarkan kepada Adam
nama-nama seluruhnya..." Begitulah antara firman Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 31.
Nama sangat penting. Setiap makhluk mempunyai nama. Manusia mempunyai nama. Pokok dan binatang mempunya nama. Sebab itu Allah mengajarkan kepada Nabi Adam nama-nama benda seluruhnya.
Setiap manusia yang dilahirkan akan diberi nama. Bahkan ibu bapa akan menyediakan beberapa nama sebelum bayi dilahirkan. Suatu masa dulu, orang-orang Melayu mengambil nama-nama nabi atau sahabat-sahabat nabi, atau orang-orang alim sebagai nama anak mereka. Maka terdapatlah nama-nama Ibrahim, Ishak, Yaakub, Ismail, Yusoff, Daud dan Sulaiman sebagai nama anak lelaki. Aisyah, Mariam, Zainab, Fatimah dipilih bagi nama anak perempuan. Nama-nama Allah pula seperti Abdul Rahman, Abdul Rahim, Abdul Halim, Abdul Hamid juga menjadi pilihan.
Nama-nama sahabat dan ulama juga pernah menjadi pilihan seperti Umar, Othman, Ali, Nawawi, Ghazali, Termizi, Baihaki.
Nama-nama Melayu juga pernah digunakan: Merah, Bunga, Melor, Melati, Embun, Bulat. Nama-nama Arab digunakan ikut sebutan Melayu: Dolah, Mamat, Deraman, Minah, Munah, Jenab, Esah.
Nama-nama penyanyi dan bintang filem pun pernah menjadi pilihan. Saya pernah bertemu dengan nama-nama P. Ramlee, R. Azmi, Roomai Noor, Saloma, Mariani, Normadiah. Bila ditanya apa maksud R di depan namanya, tak tau, katanya.
Mengikut seorang ustaz yang memberi kuliah pada pagi Jumaat lepas, nama-nama ini akan menjadi semacam doa kepada pemilik nama itu, dan akan digunakan berkekalan hingga ke akhirat. Sebab itu katanya, ibu bapa haruslah memberi nama yang baik sama ada sebutan atau pengertiannya kepada anak-anak mereka.
Setengah anak akan merasa malu dengan nama yang diberikan kepada mereka. Sebab itu mereka tidak suka nama itu digunakan untuk memanggil mereka.
Ada setengah nama panjang berjela atau terdiri dari dua tiga nama, tetapi yang digunasebut hanya satu atau satu sukukata saja. Misalnya "Na" untuk Zalina, Roslina, Marina, Darlina, "Dah" untuk Hamidah, Rasyidah, Roshadah, Zuraidah.
Saya minta maaf kepada anak-anak saya kalau nama yang diberikan kepada mereka, mereka tidak suka.
Tomato

Beberapa bulan dulu kami telah menanam dua pokok tomato dalam pasu, di depan rumah kami. Hasilnya sudah boleh dinikmati. Buahnya tidaklah besar, tetapi sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada kami.
Tomato membesar amat cepat. Saya tidak ingat bila pokok itu mula berbunga dan bila pula mula mengeluarkan buah dan mula masak. Tetapi boleh dikatakan setiap pagi kami memerhatikan pertumbuhannya. Sayang, ketika hujan yang lalu, pokoknya hampir rebah dan layu, tetapi alhamdulillah masih hidup.
Saya suka makan tomato begitu saja. Kadang-kadang sebagai ulam, dicecah dengan kicap yang dibubuh bawang dan cili burung. Saya mula menjadikan tomato sebagai ulam ketika saya berada di Mekah mengerjakan haji untuk pertama kali pada tahun 1982. Saya memang tak berselera tanpa ulam.
Di Mekah ketika itu memang sukar untuk mendapatkan ulam. Sayur pun tak banyak, kecuali bendi, timun dan terung. Kami sekeluarga menyewa semacam apartment dan memasak sendiri. Kami menyediakan tabung khas mengutip sejumlah wang. Orang perempuan ditugaskan memasak, orang lelaki ditugaskan ke pasar mencari lauk dan sayur.
Seorang kawan saya, hanya makan tomato dan telur saja ketika berada beberapa hari di Rome. Seorang anak perempuan saya juga suka makan tomato mentah-mentah.
Mengikut Ong Hean Chooi dalam bukunya
"Sayuran: Khasiat Makanan & Ubatan" buah tomato boleh melawaskan buang air besar, digunakan sebagai ubat demam tifoid, batu karang, sampu, mata merah dan bengkak serta telinga bengkak.
Asyura
Bulan Muharam adalah bulan Asyura. Orang kampung akan membuat bubur asyura (Kelantan,
syura saja) setiap tiba bulan Muharam, terutama selepas 10 Muharam. Surau dan masjid juga akan membuat bubur asyura, kadang-kadang sampai tujuh lapan kawah. Sekolah juga biasa membuat asyura.
Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak dulu bagaimana orang kampung bergotong royong menyediakan bubur asyura ini, mengikut kemampuan masing-masing. Ada orang menyedekahkan wang atau beras, ada orang menyedekahkan kelapa, daging, gula, rempah dan bahan-bahan lain. Ada pula yang menyediakan kayu api. Ada pula yang hanya menyedekahkan tenaga, mengoyak dan mengukur kelapa, mengawal api dan mengacau.
Bahkan saya masih ingat, saya dan rakan-rakan membantu mengumpulkan kelapa atau beras dari rumah ke rumah.
Biasanya mereka akan mulakan kerja selepas 'Asar hari Khamis. Ada yang mengoyak bawang, belah dan kukur kelapa, ada yang sediakan dapur dan menyalakan api. Apabila bahan-bahan sudah disediakan, kawah sudah di atas dapur, maka mereka mulalah memasukkan bahan-bahan itu ke dalam kawah. Mereka bergilir mengacau bubur itu hingga masak. Kadang-kadang sampai tengah malam, baru masak, atau kadang-kadang sampai ke subuh.
Kanak-kanak melicinkan tempurung untuk dibubuh syura panas bila masak nanti. Saya masih ingat sungguh enak makan syura ramai-ramai dalam tempurung. Atau atas daun pisang.
Syura yang sudah masak akan dibubuh dalam talam atau dulang untuk dimakan oleh orang ramai. Dan syura itulah yang akan dihidangkan untuk para jemaah pada hari Jumaat.
Kini suasana itu sudah tidak ada lagi. Syura sudah jarang disediakan. Kata mereka, penat. Tidak ada yang sanggup menyediakannya, tidak ada yang sanggup bersengkang mata. Masa yang diambil agak lama, sedang memakannya tak seberapa.
"Mereka tidak tahu nilai dan hikmah di sebaliknya," kata ustaz yang berkuliah di masjid kami pada pagi Jumaat lepas. "Sebenarnya di situlah letaknya nilai kerjasama dan gotong royong, perpaduan dan silaturrahim di kalangan masyarakat kampung," tambah ustaz itu lagi.
"Amalan ini patut dihidupkan semula," anjurnya.
Dia lalu menceritakan asal mula bubur asyura ini.
Ia dimulakan oleh Nabi Nuh 'a.s. tanda kesyukuran setelah selamat daripada banjir besar. Nabi Nuh meminta kaumnya mengeluarkan bahan-bahan yang ada pada mereka seperti kacang, beras, gandum atau apa saja lalu dibuat bubur. Peristiwa itu berlaku pada 10 Muharam, setelah berada di atas bahtera selama enam bulan, iaitu bermula dari 10 Rajab.
RM 2608.57 Untuk 88 Buku

Pada tahun 2008 saya telah membelanjakan RM 2608.57 untuk membeli sebanyak 88 buah buku. Jumlah ini agak berkurangan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Buku-buku itu termasuklah novel dan antologi puisi, kritikan sastera dan proses kreatif, buku ehwal semasa dan ekonomi, biografi, agama dan sejarah.
Tiga buah buku yang pertama, saya beli melalui online dari Kinokuniya. Buku-buku itu ialah Other Colors dan Istanbul: Memories and the City, keduanya oleh Orhan Pamuk, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2006, dan The Gang That Wouldn't Write Straight oleh Marc Weingarten.
Saya juga membeli buku 1001 Books You Must Read Before You Die yang diedit oleh Peter Boxall dan The Road oleh Cormac McCarthy secara online dari MPH. Buku 1001 Books saya beli setelah membaca ulasan oleh Baha Zain dalam Dewan Masyarakat.
Saya juga telah membeli beberapa buah buku lagi setelah membaca ulasan. Ini termasuk If Only oleh Shahril Nizam, Growing Up in Trengganu oleh Awang Goneng dan Poet In New York oleh Federico G. Lorca.
Buku Rumi: Past And Present, East And West karya Franklin D. Lewis adalah buku yang termahal saya beli, iaitu RM 113.81. Buku ini saya beli di Kinokuniya bersama sebuah lagi buku karya F.D. Lewis, Rumi: Swallowing the Sun. Dan buku termurah pula ialah Hikayat Panji Semirang, terbitan Pustaka Antara 1993, dengan harga RM 2.50. Buku ini dibeli di M. Yusoff Bookstore KB bersama dengan buku yang dijual murah yang lain, Tafsir al Bayan (I) dan Tafsir al Bayan (II) oleh TM Hasbi Ash-Shiddiqy dan Iakah Salmah (Fajar Bakti,1983), oleh Ahmad Rashid Talu.
Selain dibeli di kedai buku atau di gerai pameran, saya juga mendapat beberapa buku percuma daripada pengarangnya sendiri atau penerbit. Darma Mohammad menghadiahkan novelnya Kejora di Langit (Creative,2008) dan Muhammad Haji Salleh, The Malaysian Laureate (DBP,2008). Saya juga menerima buku daripada DBPWT ketika menghadiri Seminar Norhisham Mustafa dan Bicara Karya di Cameron Highlands.
Di antara buku puisi yang saya beli ialah karya Eugenio Montale, Basho, George Trakl, Rainer Maria Rilke dan Joko Pinurbo. Buku novel ialah The Known World (Edward P. Jones), Half of a Yellow Sun (Chimamanda Ngozi Adichie) dan Bukan Pasar Malam (Pramoedya A Toer) untuk menggantikan naskhah saya yang hilang. Buku autobiography/proses kreatif antaranya Hidup Tanpa Ijazah (Ajip Rosidi), Dua Dunia (Anis Sabirin), Kuras-Kuras Kreatif (Azizi Haji Abdullah) dan Mencari Jalan Pulang (Kassim Ahmad).
Saya juga suka buku-buku ekonomi dan ehwal semasa. Di antara buku jenis ini yang saya beli ialah The Age of Turbulence (Alan Greenspan)' Making Globalization Work (Joseph Stiglitz) dan The Undercover Economist (Tim Harford).
Buku kritikan/teori kesusasteraan yang sempat saya beli pada tahun lepas termasuklah How to Read a Poem (Terry Eagleton), Sastra Indonesia Dalam Enam Pertanyaan (Ignas Kleden) dan Kebenaran dan Dusta Dalam Sastra (Radhar Panca Dahana).
Buku terakhir saya beli ialah Travelog Dakwah oleh Muhd Kamil Ibrahim dan The World Without Us oleh Alan Weisman. Buku ini dibeli di Popular KB.
Memasuki 2009
Dan memasuki 2009:
Now I have entered the year without words -Anne Sexton